[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH AL-ISRA’ AYAT 58
وَإِن مِّن قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًۭا شَدِيدًۭا كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مَسْطُورًۭا ٥٨
“Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).”
———————
PERINGATAN ALLAH SWT BAGI UMAT YANG INGKAR PADA SYARIAT-NYA
Dr Wahbah Az-Zuhaili menerangkan terkait ayat ini:
Dan tidaklah penduduk suatu daerah (negeri) yang menzalimi diri sendiri dengan berbuat kufur dan maksiat kecuali mereka akan dihancurkan sebelum hari kiamat, baik dengan kematian atau azab yang sangat dahsyat yang akan menumbangkan mereka dengan membantai mereka atau yang lainnya. Pembinasaan dan azab itu sudah ditetapkan dan tertulis di Lauhil Mahfuz
Menjadi satu peringatan penting bagi kita umat Islam agar tidak melakukan kemungkaran dan kemaksiatan apa pun, atau, membiarkan kemungkaran dan kemaksiatan berleluasa tanpa melakukan usaha mencegahnya. Ini kerana perbuatan mungkar dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat atau sesebuah negeri merupakan tindakan yang mengundang kemurkaan Allah swt. Dan Allah swt, melalui Rasulullah saw, telah pun menyampaikan banyak peringatan terkait azab bagi kelompok yang kufur kepada Allah dan memaksiati-Nya. Sebagaimana yang ditimpakan kepada kaum Tsamud, Luth, Firaun dan pengikutnya, serta lain-lain disebabkan kekufuran mereka. Dan disetiap peristiwa tersebut juga, telah jelas Allah berikan contoh teladan kelompok yang melakukan amar makruf nahi munkar, memuhasabah dan menyampaikan peringatan kepada orang-orang yang menolak perintah Allah. Justeru itu, wajarlah kita mengambil iktibar dengan mengikut jejak langkah orang-orang beriman terdahulu dan melaksanakan tugas-tugas mengajak pada kebenaran dan mencegah kemungkaran sebagai tanda keimanan dan ketaatan pada perintah Allah. Dalam masa yang sama, jika kita perhalusi, kini sudah 100 tahun umat ditadbir urus oleh sistem negara yang tidak Islami, tidak menerapkan syariat Islam secara kaffah. Banyaknya negara yang berasaskan sistem negara bangsa hari ini “membiarkan” kemungkaran dilakukan secara terang benderang dan diabsahkan pula oleh undang-undang negara. Haq dan batil dibiarkan bercampur-aduk. Justeru, di sinilah tanggungjawab besar kita sebagai umat Islam perlu mendakwahkan tentang khilafah sebagai ajaran Islam agar umat kembali ditadbir urus oleh institusi negara yang haq. Yang akan menerapkan syariat Islam secara menyeluruh dan mencegah kemungkaran dengan lebih efektif. Dakwah bagi individu serta jamaah pada hari ini juga adalah sebagai sarana memelihara diri daripada fitnah-fitnah yang berleluasa dalam masyarakat (negeri) akibat kemungkaran yang diterapkan secara sistematik oleh pemerintah. Usaha mencegah kemungkaran perlu giat dilakukan, agar keburukan tidak menular terus menerus. Sungguh, azab Allah tidak hanya menimpa kaum yang kufur dan zalim, bahkan turut menimpa kaum yang beriman di dalam masyarakat/negeri tersebut. Sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Anfal ayat 25:
“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja diantara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya“,.
Demikian juga peringatan disampaikan oleh Rasulullah saw:
Dari Abdullah bin Umar r.a., dia berkata, Aku mendengar SAW bersabda, “Jika Allah hendak menimpakan azab kepada satu kaum, maka azab itu menimpa semua orang yang ada di tengah-tengah mereka. Setelah itu mereka dibangkitkan sesuai amalannya.” [Hadis sahih – Muttafaq ‘alaih]
Semoga kita mengambil serius peringatan-peringatan yang disampaikan dalam Al-Quran, serta istiqamah melakukan amar makruf nahi mungkar demi mengharapkan redha Allah dan pertolongan Allah di Hari Akhir kelak. Walaupun ramai yang membenci, tetaplah teguh menyampaikan yang haq. Wallahu`alam.
#100TahunTanpaKhilafah #1hari1ayat

