Bekal Perjalanan
Oleh : Arief B. Iskandar
Ramai kaum Muslim yang pernah melakukan perjalanan jauh seperti safar ke luar negara contohnya untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah. Apa yang biasa mereka lakukan sebelum berangkat safar? Tentu saja mempersiapkan bekal. Terkadang mereka mempersiapkannya lebih awal. Bahkan untuk ibadah haji yang rata-rata cuma sebulan saja, persiapannya boleh memakan masa berbulan-bulan malahan bertahun-tahun jika kita menghitung faktor lain seperti menabung kos pembiayaan ke Tanah Suci contohnya.
Kerana tidak mahu ada yang tertinggal, seringkali sebelum berangkat safar, bekalan-bekalan itu dicatat dan disemak kembali. Tidak dapat dibayangkan jika saat mahu berangkat untuk menunaikan haji atau umrah, setelah sampai di lapangan terbang, passport atau visa tertinggal di rumah. Apalagi jika rumahnya jauh di luar bandar dan waktu juga sudah suntuk untuk pulang dan mengambil barang yang tertinggal. Akhirnya, perjalanan haji pun gagal. Yang tinggal cuma penyesalan yang amat dalam. Harapan untuk menginjakkan kaki ke Tanah Suci juga terkubur bersama.
Kerana itu, sudah pasti setiap calon jemaah haji atau umrah akan memastikan -bahkan berkali-kali- perkara-perkara penting yang perlu dibawa supaya jangan sampai ada satu pun yang tertinggal. Demikianlah, setiap orang yang akan melakukan safar/perjalanan jauh -seperti ibadah haji atau umrah- benar-benar akan mempersiapkan bekalan secara bersungguh-sungguh.
Demikianlah, itu hanya berkaitan dengan perjalanan/safar di dunia seperti ibadah haji atau umrah yang sangat singkat.
Soalannya, pernahkah kita membayangkan, bagaimana pula bekalan kita dengan “perjalanan” yang sangat jauh iaitu perjalanan akhirat? Sebuah perjalanan pasca kematian? Adakah setiap Muslim benar-benar dan sungguh-sungguh mempersiapkan bekal sebaik mungkin untuk melakukan perjalanan menuju Allah SWT di akhirat kelak? Mungkin tidak semuanya. Bahkan mungkin hanya sebahagian kecil yang benar-benar mempersiapkan bekal untuk perjalanan akhiratnya.
Apakah bekalan untuk perjalanan akhirat? Tidak lain adalah takwa. Malahan takwa merupakan satu-satunya bekal terbaik (khayr zaad) dalam perjalanan panjang menuju Allah SWT. Allah SWT. berfirman, Wa tazawwaduu fa inna khayr az-zaad at-taqwaa (Berbekallah kalian kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa) [TMQ Al-Baqarah (2): 197]
Ya, satu-satunya bekal menuju syurga-Nya di akhirat adalah takwa. Bukan harta, kecuali yang disedekahkan/diinfakkan atau diwakafkan, bukan jawatan, kecuali yang digunakan untuk kemaslahatan orang ramai, bukan kekuasaan, kecuali yang digunakan dengan amanah untuk melayani segala urusan/kepentingan umat, menegakkan syariah-Nya, menolong agama-Nya serta mengemban dakwah dan jihad fi sabilillah.
Di sinilah letak permasalahannya. Ramai orang ternyata tidak betul-betul mempersiapkan bekalan untuk menuju syurga-Nya. Mereka sangat menginginkan syurga tetapi “tiketnya” tidak dibawa. Apakah “tiket’ untuk ke syurga? Tidak lain tidak bukan adalah takwa. Saat seseorang di akhirat nanti tidak membawa takwa (kerana di dunia hanya sedikit melakukan amal-amal soleh, malahan lebih banyak melakukan dosa) alamatnya dia akan gagal masuk ke syurga. Ketika itulah, ramai orang -yang telah mati- akan benar-benar menyesai. Sebabnya, setelah mati nanti barulah dia akan benar-benar sedar bahawa amal-amal yang dia lakukan saat di dunia itu amat sedikit sementara dosa-dosanya pula begitu banyak.
Ketika itu, dia benar-benar berharap dapat kembali ke dunia. Ingin hidup semula walaupun hanya sesaat. Untuk apa? Tentu saja agar dia dapat bertaubat sekaligus bersungguh-sungguh untuk taat. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Rajab al-Hanbali : “Sungguh orang-orang yang telah mati berangan-angan dapat hidup kembali walaupun hanya sesaat. Tidak lain agar mereka dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan. Sedangkan hal demikian adalah mustahil bagi mereka.” (Ibnu Rajab al-Hanbali, Lathaa’if al-Ma’aarif, hlm. 727).
Mengapa taubat? Sebabnya syurga itu hanya dapat dimasuki oleh orang-orang yang suci dari dosa. Kerana itu, kata-kata Imam Ibnu al-Jauzi rahimahullah patut kita renungkan. Beliau berkata, “Wahai engkau yang mengejar syurga, sungguh dahulu Bapa kalian, Adam AS. dulu dikeluarkan dari syurga hanya kerana satu dosa. Maka, layakkah engkau bercita-cita masuk syurga dengan membawa banyak dosa yang tidak segera engkau taubati? (Ibnu al-Jauzi, At-Tabshirah, 1/326).
Kerana itu, orang yang bertakwa akan banyak bertaubat. Dia juga tidak pernah menunda-nunda taubat. Kerana dia sedar kematian akan datang tanpa diduga. Kematian tidak pernah menunggu orang-orang untuk bertaubat dahulu. Benarlah nasihat Lukmanul Hakim kepada anaknya, “Nak, janganlah engkau menunda-nunda taubat, kerana sesungguhnya kematian itu datang secara tiba-tiba.” (Al-Baihaqi, Tahdziib az-Zuhd al-Kabiir, hlm. 137).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali berkata, “Menunda-nunda taubat di usia muda itu sangat buruk. Jauh lebih buruk lagi apabila menunda-nunda taubat saat di usia tua.” (Ibnu Rajab al-Hanbali, Lathaa’if al-Ma’aarif, hlm. 737).
Setelah taubat, berikutnya adalah berusaha untuk selalu taat. Mengapa? Tidak lain adalah kerana hanya orang yang taat -dengan melakukan semua perintah dan menjauhi larangan-Nya- yang layak untuk masuk ke syurga. Malik bin Dinar RA. pernah berkata, “Jadikanlah ketaatan kepada Allah sebagai perniagaan yang mendatangkan keuntungan (di akhirat kelak) tanpa (perlu menjual) barangan dagangan.’ (Ibnu Hibban, Rawdhah al-‘Uqalaa, hlm. 63).
Banyak bertaubat dan selalu berusaha taat kepada Allah SWT itulah ciri-ciri orang yang bertakwa. Yang tinggal hanya bagaimana agar takwa itu selalu dibawa -di manapun, bila-bila masa dan dalam keadaan apapun- sehingga ajal menjemput setiap manusia.
Semoga kita diberi taufik oleh Allah SWT untuk selalu bersungguh-sungguh dan bekerja keras mempersiapkan bekalan takwa demi sebuah perjalanan yang panjang di akhirat kelak. Kerana, hanya dengan bekalan takwalah yang akan melayakkan kita ke syurga-Nya.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

