Bagaimana Pandangan Islam terhadap Jihad bagi Wanita?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Perbincangan tentang jihad memang seolah-olah tiada habisnya, selalu saja akan ada pembahasan tentangnya. Kali ini, laman Mubadalah menyingkap sebuah pembahasan tentang jihadnya kaum wanita.
Dijelaskan di dalamnya bahawa secara harfiah, jihad bermaksud kesungguhan, kemampuan maksimal, kepayahan dan usaha yang sangat melelahkan. Dari perkataan ini terbentuknya kosa kata ijtihad. Namun, perkataan ini lebih berkonotasi pada usaha dan aktiviti intelektual yang serius dan memenatkan. Dalam terminologi Islam, jihad bermaksud perjuangan dengan mengerahkan seluruh potensi dan kemampuan manusia untuk sebuah tujuan. Tujuan jihad adalah kebenaran, kebaikan, keadilan, kemuliaan, kesolehan dan kedamaian.
Keseluruhan inti perjuangan orang-orang mukmin, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran, adalah melakukan amar makruf nahi mungkar. Perintah Al-Quran mengenai perkara ini bukan sahaja untuk lelaki, tetapi juga wanita. Walaupun pandangan umum tradisional sering mengehadkan perjuangan wanita hanya pada ruang sempit, di dalam rumah. Namun, pandangan tauhid memberikan peluang kepada wanita untuk berjihad dalam ruang sosial, ekonomi, politik dan budaya. Jihad membina kebersamaan tanpa diskriminasi, menegakkan keadilan dan menghapuskan segala bentuk kezaliman dan keganasan, merealisasikan ketakwaan budaya, dan membatasi kerakusan dan hawa nafsu harus menjadi cara hidup manusia di masa hadapan. (Mubadalah, 14-2-2024).
Jika kita meneliti pembahasan ini, ada dua perkara yang perlu dikritik. Pertama, terkait penggunaan istilah “jihad”, adakah boleh hanya dimaknai sebatas makna bahasa? Kedua, terkait jihad bagi wanita muslim, bagaimana hukumnya menurut Islam?
Penggunaan istilah atau makna lafaz, bagaimana menurut Islam?
Pembahasan terkait jihad ini kenyataannya hanya dibahas sebatas pemahaman makna bahasa. Jihad dimaknakan sebagai perjuangan dengan mengerahkan seluruh potensi dan kemampuan manusia demi sebuah tujuan. Tujuan jihad adalah kebenaran, kebaikan, keadilan, kemuliaan, kesolehan dan kedamaian. Dengan makna ini, ruang lingkup jihad diterapkan pada seluruh aspek kehidupan.
Memang tidak salah bahawa makna bahasa dari jihad adalah bersungguh-sungguh. Namun, apabila setiap perkataan “jahada” dan yang seumpama dengannya diertikan sebagai “berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan dan menyebarkan agama Islam,” maka ia tidaklah tepat. Ini kerana terkait makna kata atau makna lafaz, sesungguhnya Islam memiliki garis panduan yang perlu ditaati dan tidak boleh sembarangan kerana boleh jadi salah dalam penerapannya.
Dalam pembahasan syariat, terdapat istilah makna syarak, makna istilah dan makna bahasa. Makna syarak adalah makna yang ditunjukkan dan dikenalkan oleh syarak yang dapat difahami dari sekumpulan nas/dalil syarak. Makna istilah merupakan makna yang dipakai oleh komuniti tertentu berlepas dari makna asalnya (makna bahasa). Makna bahasa pula adalah makna yang ditunjukkan oleh lafaz-lafaz itu sendiri yang dipakai oleh pemilik bahasa.
Muhammad Husain Abdullah dalam kitab Mafahim Islamiyyah menjelaskan bahawa aturan pemaknaan suatu lafaz dalam nas perlulah mengikuti urutan-urutan tertentu. Pertama, nas harus difahami terlebih dahulu dengan makna syarie. Jika tidak ditemukan makna syarie-nya, kemudian nas difahami dengan makna istilahnya. Jika makna istilahnya juga tidak ada, maka dicari maknanya secara bahasa (lughawy).
Contohnya adalah lafaz “solat”. Secara bahasa, solat bermaksud doa. Namun, dalam aturan pemaknaan, kita perlu menyusun dari makna syarie terlebih dahulu. Makna syarie dari “solat” adalah amal yang diawali dengan takbir dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Atas dasar ini, ketika Rasulullah memerintahkan sahabat untuk solat, yang terlintas di fikiran mereka adalah melakukan amal yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Bukan hanya aktiviti memanjatkan doa.
Maka, bagaimana pula dengan jihad? Apabila kita kaji dari dalil-dalil jihad baik dari Al-Quran mahupun Sunnah, kelihatan bahawa syarak telah menanggalkan jihad dari makna bahasanya. Syarak menggunakan perkataan jihad dengan makna qital (perang) dan apa saja yang terkait dengannya, dan tidak ada kata jihad di dalam Al-Quran yang membawa maksud selain qital. Dengan demikian, istilah jihad merupakan lafaz yang bermakna syarie sehingga makna syarie inilah yang sepatutnya kita ambil, bukan makna bahasanya.
Makna jihad
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa jihad menurut pengertian bahasa adalah badzlul wus’i atau mengerahkan segenap kemampuan. Sedangkan secara syarie, pengertian jihad adalah badzlul wus’i fil qitaali fii sabilillahi mubasyarotan au mu’awanatan bi maalin au ro’yin au taktsiri sawaadin au ghairi dzalika yang bermaksud ‘mencurahkan kemampuan untuk berperang di jalan Allah secara langsung atau dengan bantuan harta, pemikiran, memperbanyak perbekalan dan sebagainya’. (Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah Jilid 2).
Imam Ibnul Atsir menyatakan, “Jihad adalah memerangi orang kafir, iaitu berusaha sungguh-sungguh mencurahkan kekuatan dan kemampuan, baik berupa perkataan atau perbuatan.” (An-Nihaayah fii Ghariibil Hadiits (I/319), karya Ibnul Atsir).
Menurut Al-Hafizh Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (meninggal pada 852 H), “Jihad menurut syarie adalah mencurahkan seluruh kemampuan untuk memerangi orang-orang kafir.” (Fat-hul Baari (VI/3), cet. Daarul Fikr). Makna syarie dari jihad ini diambil dari Al-Quran dan Sunnah.
Di antaranya adalah firman Allah Taala, “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” [TMQ At-Taubah (9): 41]
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…” [TMQ Al-Hajj (22): 78]
Juga dalam sabda Nabi SAW., “Wajib atas kalian berjihad di jalan Allah Taala kerana sesungguhnya jihad di jalan Allah itu merupakan salah satu pintu dari pintu-pintu Syurga, Allah akan menghilangkan dengannya dari kesedihan dan kesusahan.” (HR Al-Hakim dan Ahmad).
Makna jihad dalam dalil-dalil di atas, dilihat dari asbabun nuzulnya, dan pentafsiran para mufasir yang muktabar, setara dengan qital seperti yang Allah firmankan, “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.” [TMQ At-Taubah (9): 29]
Bagaimana pandangan Islam terhadap jihad bagi kaum wanita?
Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, rumusan laman Mubadalah tentang makna jihad wanita membawa kepada usaha agar wanita diletakkan setaraf dengan lelaki dalam aktiviti awam. Mereka menggunakan makna jihad yang berbelit-belit supaya dapat menampung idea mereka kerana sehingga kini terminologi jihad dianggap hanya terpakai kepada kaum lelaki. Oleh itu, mereka menyuarakan keperluan untuk mengangkat istilah jihad wanita. Ini adalah usaha untuk menjauhkan lagi istilah jihad daripada maksud sebenar.
Kesalahan dalam penggunaan istilah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, malah ia amat berbahaya. Salah tafsir istilah akan memberi implikasi kepada penggunaan istilah atau makna tersebut dalam kehidupan. Ini bermakna apabila kita tidak menggunakan makna atau istilah dengan betul, boleh jadi kesilapan dalam penerapannya sehingga boleh berlaku pelanggaran terhadap pelaksanaan hukum. Salah satunya berkaitan dengan isu jihad wanita. Di sinilah pentingnya memahami pandangan Islam tentang jihad wanita.
Mengenai keterlibatan wanita dalam peperangan, dijelaskan dalam beberapa hadis, antaranya hadis Ar-Rabi’ binti Mu’awidz ra. bahawa dia berkata, “Kami pernah berperang dengan Rasulullah SAW. untuk menyediakan air minum dan membantu mereka, serta menjaga tentera yang cedera dan gugur untuk dikembalikan ke kota Madinah.” (HR Bukhari).
Di sisi lain, dalam beberapa riwayat juga dinyatakan bahawa Aisyah ra. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW. “Ya Rasulullah, kami mengetahui bahawa jihad adalah amalan yang paling utama. Tidak bolehkah kita menyertai jihad?” Baginda SAW. menjawab, “Bagi kamu ada jihad yang paling utama, iaitu Haji Mabrur.” (HR Bukhari).
Dalam riwayat lain, masih dari Aisyah ra., dia berkata, “Wahai Rasulullah, apakah ada jihad bagi perempuan?” Baginda menjawab, “Jihad yang tidak ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah.” (HR Ibnu Majah).
Berdasarkan hadis-hadis di atas, para ulama sepakat bahawa jihad tidak wajib bagi perempuan. Imam Al-Kasani, salah seorang ulama dari kalangan Hanafiah berkata, “Jihad tidak diwajibkan bagi anak kecil dan wanita, kerana kedua-duanya tidak layak memikul beratnya peperangan.” (Al-Bada’i Sana’i).
Sementara itu, dari kalangan Malikiah, Imam Ad-Dasuki berkata, “Tidak diwajibkan jihad pada anak kecil dan wanita ketika hukumnya tidak fardhu ain atau tidak ada perintah dari imam kaum muslim kerana kondisi yang tidak mampu. Namun kalau tidak, kewajipan jihad berlaku padanya.” (Hasyiyah Ad-Dasuki).
Al-Adawi juga menulis, “Jihad hukumnya fardhu kifayah bagi lelaki yang merdeka, berakal, baligh dan mampu. Tidak ditujukan kepada yang sebaliknya (wanita, tidak berakal, hamba sahaya, belum baligh, tidak mampu.” (Hasyiyah al-Adawi).
Pendapat yang sama juga diungkapkan oleh ulama Syafi’iyah. Dalam kitab Al-Majmu’ Syarhul Muhadzab, Imam An-Nawawi berkata, “Tidak diwajibkan jihad bagi wanita kerana terdapat riwayat dari Aisyah ra. bahawa dia pernah berkata, ‘Aku bertanya kepada Nabi saw. tentang kewajipan jihad,’ maka Nabi SAW. bersabda, ‘Jihad kalian adalah haji, cukuplah kalian dengan kewajipan haji, kerana jihad adalah perang, sedangkan para wanita tidak terbiasa dengan perang.’” (Majmu Syarhul Muhadzab).
Ibnu Bathal berkata, “Hadis Aisyah ra. menunjukkan tidak ada kewajipan jihad bagi para wanita. Tidak adanya kewajipan ini adalah disebabkan mereka dituntut untuk menutup aurat dan menghindari fitnah kaum lelaki.” (Fat-hul Bari).
Namun demikian, ketetapan hukum ini bukan bermaksud kaum wanita dilarang mutlak untuk ikut serta dalam medan jihad. Para ulama juga sepakat bahawa wanita tetap dibolehkan untuk ambil bahagian dalam medan perang—sebagaimana riwayat yang disebutkan di atas—untuk membantu barisan belakang, iaitu merawat yang terluka, menyediakan makanan dan menghalau kaum muslim yang cuba lari dari medan tempur. Tentunya semua itu ada batasan-batasan khusus yang telah diatur dalam syariat Islam.
“Kami (para wanita) dahulu (ikut berjihad) bersama Nabi SAW., kami memberi minum dan mengubati orang yang terluka dan mengurusi jenazah agar dipulangkan ke Madinah.” (HR Bukhari).
Dalam catatan sejarah Islam, keterlibatan muslimah dalam medan jihad bukanlah perkara asing. Kisah para sahabiyah yang berjihad bersama kaum muslim menjadi bukti yang tidak dapat disangkal lagi. Kehadiran mereka di medan jihad cukup memberi sumbangan untuk meraih kemenangan.
Selain menjadi pasukan yang berada di barisan belakang, iaitu bekerja untuk menyiapkan makanan dan minuman, serta mengubati yang terluka, tidak sedikit di antara mereka yang terlibat dalam peperangan melawan musuh. Di antaranya adalah Ummu Amarah binti Ka’ab Al-Anshari.
Dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala, Imam Adz-Dzahabi menyebutkan, “Ummu Imarah pernah mengikuti peristiwa Baiat Aqabah, Perang Uhud, Perang Hudaibiyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah, beliau berjihad dan terlibat secara langsung dalam pertempuran bersama suami dan anak-anaknya.”
Khatimah
Demikianlah, telah sangat jelas bahawa Islam memberikan garis panduan dalam penggunaan istilah sehingga menutup peluang terjadinya kesalahan dalam penerapan. Jihad tidak boleh dimaknai semata dari makna bahasa, melainkan perlunya makna syarie iaitu qital (perang).
Islam telah mewajibkan lelaki untuk berjihad, tetapi tidak ada larangan bagi wanita untuk berjihad. Apalagi jika diserang, maka perlu tetap melawan. Hanya saja, Islam memberikan aturan dan tata caranya sehingga kehormatan dan kemuliaan wanita tetap terjaga. Wallahualam bissawab.

