Site icon MuslimahHTM News

Keluarga Berdaya Tahan Sebagai Komponen Pembangunan Negara, Bolehkah Ia Dimanifestasikan Dalam Sistem Kapitalis?

Keluarga Berdaya Tahan Sebagai Komponen Pembangunan Negara, Bolehkah Ia Dimanifestasikan Dalam Sistem Kapitalis?

 

Penulis: Ummu Nashir N.S.

 

Sejak kebelakangan ini, isu kekeluargaan sebagai elemen pembinaan negara sering diperkatakan.  Mungkin kerana peranan ini sering dipandang remeh atau mungkin diabaikan.  Dalam artikel di laman web Mubadalah, dikatakan sebuah keluarga tidak akan hidup aman dan bahagia tanpa peraturan, kawalan dan disiplin yang tinggi.

 

Begitu juga sesebuah negara. Kepincangan dalam melaksanakan peraturan akan mengakibatkan kepincangan dalam kehidupan. Keluarga merupakan unit terkecil yang menyokong dan menjana kelahiran negara dan masyarakat. Selagi penjana mampu mengagihkan arus yang kuat dan sihat, selama itu rakyat negara akan sihat dan kuat.

 

Dikatakan lagi bahawa memimpin rumah tangga adalah satu tanggungjawab, begitu juga memimpin sesebuah negara.  Kepimpinan sesebuah negara tidak dapat dicapai sekiranya pemimpin wilayah tidak sehaluan dengan pemimpin pusat.  Kepimpinan di setiap wilayah tidak akan berjaya jika langkah keluarga bercanggah dengan kepimpinan wilayah.  Ini menunjukkan perkaitan erat antara langkah sesebuah keluarga dan negara kerana keluarga itu tidak lain hanyalah tunjang kepada sesebuah negara. (Mubadalah, 5-2-2024).

 

Tidak salah jika dikatakan negara adalah sebuah organisasi besar yang di dalamnya terdapat banyak struktur organisasi masyarakat. Walaupun ia merupakan unit masyarakat yang paling kecil, keluarga memainkan peranan yang strategik dalam sesebuah negara. Ini kerana keluarga juga akan melahirkan masyarakat yang kukuh yang akan melahirkan negara yang kuat dan menjadi tempat kelahiran pemimpin negara.

 

Namun begitu, ada satu perkara yang sering luput dari perhatian kita apabila berbincang tentang keluarga, iaitu bagaimana kita boleh mewujudkan keluarga yang kuat? Tambahan pula, adakah keluarga yang kuat secara automatik akan melahirkan negara yang kuat?

 

Bagaimana Mewujudkan Keluarga yang Kuat?

 

Keluarga merupakan institusi awal pendidikan asas bagi seseorang manusia. Keluarga, sekolah dan masyarakat adalah tonggak asas pendidikan dan keluarga adalah pengaruh pertama.

 

Keluarga memainkan peranan strategik dalam proses pendidikan anak-anak dan juga kemanusiaan.  Pengaruh keluarga lebih kuat daripada sendi lain.  Sejak awal kehidupan, keluarga memberi pengaruh yang lebih banyak pada seorang manusia. Lebih banyak masa dihabiskan dalam kehidupan berkeluarga berbanding di tempat lain.

 

Pada dasarnya, pendidikan dalam keluarga adalah pendidikan sepanjang hayat.  Pembentukan dan perkembangan sahsiah serta penguasaan tsaqafah Islamiah dilaksanakan melalui pengalaman hidup seharian dan dipengaruhi oleh sumber pembelajaran yang terdapat dalam keluarga khususnya ibu dan bapa.

 

Betapa pentingnya pembinaan dan pendidikan anak sejak kecil di dalam keluarga agar pendidikan itu akan tertanam kuat dalam diri seorang anak. Pengalaman hidup pada masa-masa awal umur manusia akan membentuk ciri-ciri khas, baik di dalam tubuh ataupun pemikirannnya yang boleh jadi tidak akan dapat berubah setelah masa itu.

 

Untuk itu, keluarga -secara langsung ataupun tidak- turut mempengaruhi jati diri sebuah masyarakat. Dari keluargalah muncul generasi manusia yang bermartabat, memiliki rasa kasih sayang juga saling tolong-menolong di antara mereka. Hasilnya, terciptalah tatanan kehidupan masyarakat yang kuat yang disokong oleh keluarga-keluarga yang harmoni dan berkasih-sayang. Ini kerana, keluarga memiliki pemikiran ideologi sebagai asasnya.

 

Jadi, bagaimana usaha kita untuk mewujudkan keluarga yang kuat? Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan.

 

Pertama, asas perkahwinan adalah akidah Islam, bukan manfaat ataupun kepentingan. Dengan menjadikan Islam sebagai landasan, apa pun yang terjadi dalam keluarga tersebut akan dikembalikan kepada Islam semata.

 

Kedua, adanya visi dan misi yang sama antara suami dan isteri tentang hakikat serta tujuan hidup berkeluarga dalam Islam.

 

Ketiga, memahami dengan betul fungsi dan kedudukan masing-masing dalam keluarga dan berusaha semaksimal mungkin untuk menjalankannya mengikut petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya.

 

Keempat, menjadikan Islam dan syariatnya sebagai penyelesaian atas segala permasalahan yang terjadi dalam kehidupan berkeluarga. Halal-haram menjadi landasan dalam perbuatan, bukan hawa nafsu.

 

Kelima, menyuburkan amalan amar makruf nahi mungkar dalam anggota keluarga sehingga setiap anggota sentiasa berjalan di atas landasan Islam.

 

Keenam, menghiasi rumah dengan membiasakan amalan-amalan sunnah seperti membaca Al-Quran, bersedekah, mengerjakan solat sunat dan sebagainya. Kemudian yang ketujuh, sentiasa memanjatkan doa kepada Allah dan bersabar dalam situasi apa saja.

 

Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa pengukuhan keluarga mampu melahirkan sumber manusia yang berkualiti.  Kewujudan keluarga yang berkualiti dan kukuh mempunyai nilai strategik dalam merealisasikan pembangunan negara.

 

Namun, sudah tentu ia tidak boleh hanya bersandarkan kepada keluarga yang kukuh, tetapi ada perkara asas lain yang perlu ada dalam kalangan masyarakat agar bangsa yang benar-benar maju dapat direalisasikan iaitu wujudnya sistem yang sah untuk dilaksanakan.

 

Nilai Strategik Keluarga Memerlukan Peranan Sistem

 

Faktanya, sebuah keluarga tidak dapat tumbuh dan berkembang tanpa ada faktor-faktor luaran yang mendukungnya. Kita tidak boleh mengharapkan keluarga yang kuat saja jika mereka hidup dalam kemiskinan dan kekurangan sehingga mengalami malnutrisi dan pelbagai masalah kesihatan lainnya.

 

Kita juga tidak boleh mengharapkan keadaan keluarga boleh kuat jika mereka terus-menerus diserang oleh pemikiran asing yang rosak. Pada masa yang sama, sistem pendidikan yang ada semakin menjauhkan anak-anak dari agama atau membuatkan mereka menjadi penganut sekularisme liberalisme.

 

Kita juga tidak boleh mengharapkan ikatan keluarga yang kuat jika sistem pergaulan dan sosial yang ada semakin rosak dan rosak. Pergaulan bebas, perselingkuhan, penceraian, semuanya menjadi ancaman besar bagi keluarga. Ditambah pula dengan ancaman kejahatan yang semakin marak dan seringkali menghancurkan tatanan keluarga.

 

Dengan demikian, untuk mewujudkan keluarga yang kuat, bukan hanya keluarga yang perlu diperbaiki, tetapi sistem kehidupan yang diterapkan juga perlu diperbetulkan dan diganti.

 

Jika kita berfikir secara mendalam, maju atau mundurnya peradaban sebuah negara atau bangsa, dapat dilihat dari ideologi atau sistem kehidupan yang dianutinya. Jika sistem kehidupan yang dianut adalah sekular kapitalisme, dapat dipastikan kemajuannya hanyalah sementara kerana sistem tersebut gagal membangun peradaban yang menghasilkan masyarakat yang berbudi luhur dan berkeperibadian tinggi.

 

Jika menganut sistem komunisme sosialisme, boleh jadi ekonominya maju, tetapi sama gagalnya dengan kapitalisme dalam membangun peradaban manusia. Ini kerana sistem ini telah menghilangkan dimensi kerohanian yang menjadi asas utama setiap manusia dalam merumuskan tujuan hidupnya.

 

Jika ingin menjadi negara maju dan berperadaban mulia, kita hanya boleh berharap pada Islam. Islamlah satu-satunya ideologi atau sistem kehidupan yang mampu memberikan segala keperluan dan harapan buat umat manusia dengan cara mewujudkan nilai keadilan, kesejahteraan, keharmonian, kecerdasan dan ketinggian moral. Belum pernah ada peradaban mana pun yang dapat menyamai kegemilangan dan kejayaan Islam sebagai peradaban yang berkuasa selama 13 abad lamanya.

 

Dengan penerapan sistem Islam secara keseluruhan oleh negara, sistem pendidikan Islam akan dapat diterapkan dan kemudian akan dapat juga melahirkan generasi yang berkualiti. Ini sekaligus akan melahirkan pemimpin-pemimpin dan kepemimpinan yang adil serta amanah dalam mentadbir dan mensejahterakan rakyatnya, juga melahirkan pemimpin yang faham bahawa imam adalah raa’in (gembala) dan junnah (perisai).

 

Rasulullah SAW. bersabda, “Imam adalah raa’in (pengembala) dan dia bertanggungjawab atas rakyatnya.” (HR Bukhari).

 

“Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu adalah perisai yang dimana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” (HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud).

 

Dengan demikian, untuk membangunkan negara ini sehingga kelak menjadi bangsa yang maju bahkan menjadi kuasa besar, maka semua itu hanya dapat diwujudkan jika kita menjadikan sistem kehidupan Islam sebagai landasan hidup bermasyarakat dan bernegara. Hanya sistem kehidupan Islam yang memiliki aturan lengkap dan sempurna. Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk memajukan negara ini?

 

Langkah Nyata

 

Kemajuan atau kebangkitan hakiki adalah kemajuan yang diletakkan pada asas rohiah (kerohanian). Maksudnya, kemajuan dibangun dengan landasan pemikiran yang mengaitkan segala aktiviti manusia dengan Allah SWT, iaitu bersesuaian dengan perintah dan larangan-Nya.

 

Kerana itu, usaha yang perlu dilakukan adalah dengan menyedarkan kaum muslim agar kembali menegakkan sistem aturan Islam dalam kancah kehidupan. Ini kerana, kemajuan dan kebangkitan bangsa tidak akan dapat direalisasikan kecuali dengan adanya sistem aturan yang satu di tengah-tengah masyarakat sehingga terwujudlah bangsa yang damai, tenteram dan sejahtera, tentu saja bersandarkan pada akidah Islam.

 

Langkah pertama yang mesti diambil ialah mengubah minda atau cara berfikir masyarakat yang terlalu asyik dengan pemikiran asing—terutama pemikiran sekular kapitalisme—dengan tsaqafah Islam atau fahaman Islam.  Dalam erti kata lain, mendidik umat Islam dengan kefahaman Islam agar rakyat boleh bangkit dengan cara yang betul dan atas dasar yang benar iaitu akidah Islam.

 

Caranya adalah dengan mendidik manusia dengan Islam.  Pemikiran dan undang-undang Islam bukan sahaja perlu dilihat sebagai maklumat, tetapi perlu dijadikan rujukan untuk membincangkan dan menjawab pelbagai fakta yang dihadapi dengan wajar dan betul berdasarkan perspektif Islam.

 

Dengan pembinaan ini, kefahaman tentang Islam akan terbentuk dalam kalangan umat Islam seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan mendorong mereka untuk bersedia bergerak menyampaikan syiar Islam kepada umat.

 

Umat juga akan memahami Islam dan menjadikan seluruh hukum Islam sebagai pijakan dalam mengharungi kehidupan. Selanjutnya, muncullah kerinduan di tengah umat agar aturan Allah dan Rasul-Nya ditegakkan di muka bumi ini. Umat akhirnya yakin bahawa hanya dengan sistem Islamlah mereka akan mampu meraih kemajuan, iaitu sebagai khaira ummah atau ‘umat terbaik’ di muka bumi ini.

 

Khatimah

 

Amat jelas bahawa keluarga yang kukuh merupakan komponen penting bagi merealisasikan pembangunan negara. Bagaimanapun, perkara ini tidak akan berlaku secara serta-merta, sebaliknya perlu ada sistem hidup yang melindungi keluarga yang kuat ini.

 

Potret suram keluarga Muslim dalam sistem kehidupan sekular kapitalis—seperti yang berlaku di negara ini sekarang—sepatutnya menjadi cambuk bagi setiap Muslim. Umat ​​Islam tidak boleh mengharapkan sistem yang rosak dan merosakkan, dan mereka juga tidak boleh berdiam diri mengenainya. Apa yang mesti dilakukan adalah kita perlu membuang sistem kapitalisme sekular, meruntuhkannya, dan menggantikannya dengan sistem yang sah.

 

Sistem sahih itu tiada lain adalah sistem kehidupan Islam yang lahir dari akidah Islam yang datang dari Allah Taala. Hanya sistem Islam, sistem yang datang dari Yang Maha Sempurna, yang bersesuaian dengan fitrah manusia dan memuaskan akal sehingga akan melahirkan ketenteraman bagi seluruh umat manusia. Oleh sebab itu, perjuangan menegakkan sistem Islam di muka bumi ini perlu menjadi agenda utama umat saat ini. Wallahualam bissawab.

Exit mobile version