Site icon MuslimahHTM News

Syuhdah ad-Dinawariyah, Ahli Kaligrafi yang digelar Fahrunnisa’

[Kisah Inspiratif] Syuhdah ad-Dinawariyah, Ahli Kaligrafi yang digelar Fahrunnisa’

Penulis: Chusnatul Jannah

 

Bukan sahaja saintis, peradaban Islam juga melahirkan ramai seniman hebat yang berbakat. Kebolehan mereka di dalam bidang seni dan sastera diakui berkualiti tinggi. Seni Islam yang dahulunya berkembang pesat ialah seni khat atau kaligrafi. Ramai tokoh Islam mencuba untuk mempelajari seni penulisan yang indah ini sama ada lelaki atau perempuan. Ahli khat ini digelar khatah.

 

Beberapa sumber mengatakan bahawa jumlah ahli kaligrafi wanita tidak melebihi 20 orang. Namun begitu, sumber sejarah lain menyatakan bahawa terdapat beribu-ribu ahli kaligrafi wanita yang tersebar di seluruh dunia terutamanya di wilayah Andalusia. Ribuan ahli kaligrafi Islam ini tidak terkenal kerana sengaja menyembunyikan identiti mereka. Antara ahli khat atau khatah yang terkenal ialah Syuhdah ad-Dinawariyah.

 

Kehidupan Syuhdah

 

Syuhdah dilahirkan dari keluarga ulama. Ayahnya, Abu Nashr Ahmad bin Al-Farj bin Umar ad-Dinawari (w 506 H) adalah seorang ahli hadis (muhaddis) dan murid dari banyak ulama besar pada zamannya. Datuk Syuhdah ialah seorang peniaga yang gemar belajar hadis. Syuhdah dilahirkan di Baghdad daripada keluarga Dinawar, Kurdistan pada tahun 484 Hijrah atau 1091 Masihi.

 

Syuhdah mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan Islam daripada bapanya. Beliau mula menghafal sejarah hadis sejak berusia 8 tahun. Di dalam diri Syuhdah terdapat banyak keutamaan, maka tidak salah jika dia digelar fahrunnisa’ (kebanggaan wanita) kerana kehebatannya dalam ilmu hadis dan seni kaligrafi.

 

Selain memiliki tulisan (khat) yang sangat indah, beliau merupakan seorang ulama muhaddisah (ahli hadis), penulis dan pemegang riwayat dan sanad kitab hadis yang paling banyak termasuk kitab-kitab Imam Malik, Imam Ibnu Abi Dunya, Imam Abu Ubaid dan kitab-kitab lain. Beberapa ulama juga belajar daripadanya untuk mendapatkan riwayat kitab-kitab tertentu.

 

Syuhdah mempunyai ramai pelajar yang hebat seperti Ibnu Asakir, As-Sam’ani, Ibnu al-Jauzi, Abdul Ghani dan lain-lain. Menurut riwayat salah seorang muridnya, Ibnu al-Jauzi, Syuhdah bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan berkawan dengan ulama untuk menimba ilmu daripada mereka.

 

Selepas 40 tahun menguruskan rumah tangga, suami Syuhdah meninggal dunia. Ketika menjadi janda, dia mengisi hari-harinya dengan belajar dan mengajar. Bahkan, Khalifah Al-Muqtadi bi Amrillah dari Dinasti Abbasiyah memberinya tanah yang luas.

 

Syuhdah memanfaatkan tanah yang diberikan dengan membina madrasah dan pusat pendidikan Islam yang terletak di tebing Sungai Tigris. Pelajar yang belajar di sana berjumlah lebih daripada seribu orang. Mereka mendapat biasiswa daripada Syuhdah sendiri.

 

Khatimah

 

Syuhdah meninggal dunia pada 574 H ketika berumur 90 tahun. Jenazahnya disolatkan di pusat bandar Baghdad dan dihadiri ribuan orang termasuk murid, ulama dan pegawai kerajaan Daulah Islam.

Kehidupan Syuhdah sebagai ahli khat dan ahli hadis sangat dekat dengan ilmu. Dari tangannya, terlahir ramai ulama seperti dirinya. Semoga kisah Syuhdah dapat memberi inspirasi kepada para muslimah untuk terus berkarya kepada umat, di samping melahirkan saintis dan cendekiawan hebat yang mampu membina kembali tamadun Islam yang dinanti-nantikan.

 

*Dikutip daripada pelbagai sumber.

Exit mobile version