[Nafsiyah] Perbuatan yang Boleh Menghapuskan Pahala
Setiap Muslim yang mengerjakan ibadah dan amal kebaikan pasti mengharapkan redha dan pahala dari Allah Taala. Selain itu, setiap umat Islam juga berharap adanya pahala menjadi jalan menuju syurga-Nya. Namun, ada perbuatan yang boleh menghapuskan pahala hingga tidak ada yang tertinggal sedikit pun.
Oleh sebab itu, kita hendaklah berhati-hati dengan perkara-perkara yang dapat menghapuskan pahala. Pertama, murtad (keluar dari agama Islam). Firman Allah Swt., “Barang siapa di antara kalian yang murtad dari agamanya, lalu mati dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang terhapus amalannya di dunia dan akhirat. Mereka itulah penghuni neraka. Mereka kekal berada di dalamnya.” (TMQ Al-Baqarah: 217).
Kedua, syirik. Orang yang mati membawa dosa syirik tidak akan diampuni Allah jika tidak bertaubat. Allah Swt. berfirman, “Seandainya mereka menyekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka lakukan.” (TMQ Al-An’am: 88).
Antara bentuk kesyirikan yang banyak terjadi dalam masyarakat ialah mendatangi dukun, peramal, tukang sihir, atau memakai tangkal. Seperti yang terjadi saat pilihanraya di Indonesia baru-baru ini, diberitakan di media online bahawa sebahagian calon yang bertanding telah mendatangi dukun untuk mendapat kemenangan dalam pilihanraya seterusnya meraih kerusi di Parlimen. Jika di Malaysia, ada yang mendatangi dukun, atau tukang sihir untuk melariskan jualan, dan dengan tujuan mengkhianati orang-orang tertentu dengan niat kejahatan dan disebabkan oleh dendam dan sengketa.
Ironinya, sistem yang jauh dari penerapan aturan Islam, menghalalkan berbagai cara demi meraih kepentingan tertentu. Padahal Nabi saw. bersabda, “Barang siapa yang mendatangi tukang ramal dan bertanya kepadanya tentang suatu perkara, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.” (HR Muslim).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw. bersabda, “Barang siapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal dan dia membenarkan ucapannya, bererti dia telah kufur kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepada Muhammad.” (HR Ahmad).
Ketiga, riak dan sum’ah. Riak ialah memperlihatkan suatu amal ibadah agar dipuji orang lain. Sum’ah pula menceritakan amal ibadah dan kebaikan yang dilakukan dengan tujuan agar dipuji. Allah Swt. berfirman, “Celakalah bagi orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riak.” (TMQ Al-Ma’un: 4—6).
Nabi saw. bersabda, “Siapa yang memperdengarkan amalannya (kepada orang lain), Allah akan memperdengarkan (bahawa amal tersebut bukan untuk Allah). Siapa saja yang ingin menunjuk-nunjuk amalannya, maka Allah akan mempertontonkan aibnya (bahawa amalan tersebut bukan untuk Allah).” (HR Bukhari).
Riak dan sum’ah juga boleh menjangkiti para pendakwah, pemilik ilmu, serta orang-orang yang mengajarkan ilmu dan mendakwahkan agama. Mereka merupakan sasaran syaitan untuk digoda dengan perasaan riak dan sum’ah. Mohonlah perlindungan dari Allah Swt. agar kita dijauhkan dari sifat riak dan sum’ah.
Keempat, derhaka kepada kedua orang tua dan mengungkit pemberian. Firman-Nya, “Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.” (TMQ Al-Isra: 23).
Kemudian, al-mann (mengungkit-ungkit sedekah) dan al-adza (menyakiti perasaan penerima sedekah) boleh membatalkan amal sedekahnya. Allah Swt. berfirman, “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima).” (TMQ Al-Baqarah: 264).
Nabi saw. bersabda, “Tiga golongan yang Allah tidak menerima amal ibadahnya, yang wajib dan sunnah, yakni anak yang derhaka kepada orang tuanya, orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, dan orang yang mendustakan takdir.” (HR Ibnu Abi ‘Ashim).
Sebenarnya masih ada perbuatan-perbuatan lain yang boleh menghapuskan pahala, seperti meninggalkan solat wajib, minum khamar (minuman keras), melakukan bid’ah (mengada-adakan perkara dalam agama), bermaksiat ketika menyendiri, dan membunuh.
Setelah mengetahui perbuatan-perbuatan yang boleh menghapuskan pahala, kita diharapkan menjadi orang yang sentiasa memperbaiki dan menyempurnakan setiap amalan agar diterima Allah seterusnya mendapatkan pahala darinya. Saat Ramadhan, bulan yang dilimpahi peluang pahala, hendaklah kita berlumba-lumba melakukan amal soleh, bukan amal salah. Menghindari segala perbuatan yang boleh menghapuskan pahala.
Kita juga hendaklah sentiasa ingat akan firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta jangan batalkan amal-amalmu!” (TMQ Muhammad: 33).
Wallahualam bissawab.
*Diterjemah dan diolah
Sumber: https://muslimahnews.net/2024/03/17/27924/
#Ramadhan1445h #AmalSoleh #RefleksiRamadhan #MotivasiRamadhan

