[Syarah Hadis] Janji Allah, Khilafah Akan Segera Tegak Kembali
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahaman
تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ
“Di tengah-tengah kalian terdapat zaman kenabian, atas izin Allah ia tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada khilafah yang mengikuti minhaj kenabian. Ia ada dan atas izin Allah ia akan tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan (kerajaan) yang zalim; ia juga ada dan atas izin Allah ia akan tetap ada. Lalu Dia ada jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan (kerajaan) diktator yang menyengsarakan; ia juga ada dan atas izin Alah akan tetap ada. Selanjutnya akan kembali khilafah yang mengikuti minhaj kenabian.” Baginda kemudian diam. [HR Ahmad dan Al-Bazar].
Sanad Hadis
Imam Ahmad menerimanya dari Sulaiman bin Dawud ath-Thuyalisi dari Dawud bin Ibrahim al-Wasithi dari Habib bin Salim dari An-Nu‘man bin Basyir. Ia berkata:
Kami sedang duduk di masjid bersama Rasulullah SAW. Basyir adalah orang yang berhati-hati dalam berbicara. Lalu datang Abu Tsa‘labah al-Khusyani. Ia berkata, “Wahai Basyir bin Saad, adakah engkau hafal hadis Rasulullah SAW tentang para pemimpin?”
Hudzaifah berkata, “Aku hafal khutbah baginda.”
Lalu Abu Tsa‘labah duduk dan Hudzaifah berkata, “Rasululah SAW bersabda: (sesuai dengan matan hadis di atas).”[1]
Al-Bazzar [2] menerimanya dari Al-Walid bin Amru bin Sikin dari Ya‘qub bin Ishaq al-Hadhrami dari Ibrahim bin Dawud dari Habib bin Salim dari An-Nu‘man bin Basyir. Dia bercerita bahawa dia sedang berada di masjid bersama bapanya, Basyir bin Saad. Lalu datang Abu Tsa‘labah al-Khusyani. Kemudian terjadilah dialog seperti di atas.
Al-Haytsami berpandangan,[3]″Imam Ahmad meriwayatkannya dalam Terjamah an-Nu‘mân, juga Al-Bazzar seumpama, At-Thabrani secara sebahagiannya di dalam Al-Awsath dan para perawinya tsiqah. Ibnu Rajab al-Hanbali juga menukilkan riwayat Ahmad ini. [4]
Makna dan Faedah
Hadis ini memberitahu mengenai lima tahapan perjalanan kaum muslim sejak masa kenabian. Tahapan pertama adalah tahapan kenabian.
Tahapan kedua adalah tahapan khilafah yang mengikuti minhaj kenabian. Para ulama sepakat bahawa tahapan Khilafah Rasyidah adalah tahapan khilafah yang berjalan di atas minhaj kenabian. Menurut sebahagian ulama, tahapan ini adalah tahapan Khulafa Rasyidin sampai tahap Khilafah Al-Hasan bin Ali. Khalifah Umar bin Abdul Aziz oleh sebahagian ulama juga dikategorikan Khilafah Rasyidah sehingga beliau juga digelar Khulafa Rasyidin.
Tahapan ketiga adalah tahapan pemerintahan dan kekuasaan yang zalim. Lafaz mulk boleh bererti kerajaan, boleh juga al-hukm wa as-sulthân (pemerintahan dan kekuasaan). Lafaz mulk dalam hadis ini kurang tepat jika bermakna kerajaan sebagai sebuah bentuk pemerintahan, sebab setelah Khulafa Rasyidin, bentuk pemerintahan kaum muslim tidak berubah menjadi kerajaan, tetapi tetap Khilafah. Ketua negara tetap seorang khalifah dan tidak pernah berubah menjadi raja. Ini adalah fakta yang telah disepakati oleh para ulama. As-Suyuthi dalam Tarîkh al-Khulafâ’ berkata, “Aku hanya menyebutkan khalifah yang telah disepakati keabsahan imamahnya dan keabsahan akad baiatnya.”[5]
Secara fakta, Khilafah terus menerus berjalan sehingga diruntuhkan oleh penjajah Barat pada tahun 1924 M. Namun, juga disepakati, selama tempoh waktu tersebut terjadi penyimpangan dan keburukan penerapan Islam di sana sini. Maka, tahapan tersebut adalah tahapan pemerintahan dan kekuasaan yang di dalamnya terjadi kezaliman, iaitu penyimpangan dan keburukan penerapan sistem dalam beberapa hal.
Tahapan selanjutnya iaitu tahapan keempat adalah tahapan pemerintahan dan kekuasaan jabbariyah (diktator). Dalam riwayat Abu Tsa‘labah al-Khusyani dari Muadz bin Jabal dan Abu Ubaidah, tahapan ini digambarkan sebagai tahapan pemerintahan dan kekuasaan yang sewenang-wenangnya, zalim , diktator, dan melampaui batas. [6] Gambaran demikian adalah gambaran pemerintahan dan kekuasaan yang bukan Islam. Tahapan pasca runtuhnya Khilafah saat ini jelas sesuai dengan gambaran tersebut.
Tahapan terakhir adalah tahapan kembalinya Khilafah yang mengikuti minhaj kenabian. Ini merupakan bisyârah (berita gembira) akan tegaknya kembali Khilafah setelah keruntuhannya. Makna yang sama juga diriwayatkan dalam banyak periwayatan. Jika riwayat ini digabung dengan riwayat lain yang sama makna, iaitu riwayat akan masuknya Islam di setiap rumah, hadis al-waraq al-mu’allaq, hadis Khilafah turun di bumi Al-Quds, hadis mengenai Darul Islam kaum mukmin berpusat di Syam, hadis ‘adl wa al-jur, hadis hijrah setelah hijrah, hadis al-ghuraba’, hadis al-mahdi, dan hadis akan ditaklukkannya Rom, maka makna tersebut bahkan boleh sampai pada tingkat mutawatir. [7]
Bisyârah ini selayaknya mendorong semangat kita untuk terus berjuang demi tertegaknya Khilafah, kerana kita ingin mendapatkan kemuliaan, iaitu turut menjadi pejuang bagi terlaksananya janji Allah tersebut. Allâhummarzuqnâ dawlah Khilâfah Râsyidah.
Wallahu’alam bissawab.
Catatan Kaki :
1 Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad bin Hanbal, IV/273, Muassasah Qurthubah, Mesir. t.t.
2 Al-Bazar, Musnad al-Bazar 4-9, VII/223, ed. Mahfuzh ar-Rahman Zainullah, Muassasah ‘Ulum al-Quran-Maktabah al-‘Ulum wa al-Hukm, Beirut-Madinah, cet. I. 1409.
3 Al-Haytsami, Majma’ az-Zawâ’id, v/188-189, Dar ar-Rayan li Turats-Dar al-Kitab al-‘Arabi, Kaero-Beirut. 1407.
4 Ibn Rajab al-Hanbali, Jâmi’ al-ulûm wa al-Hukm, I/264, Dar al-Ma’rifah, Beirut. cet I, 1408.
5 As-Suyuthi, Târîkh al-Khulafâ’, hlm. 8, Dar al-Fikr, Beirut. t.t.
6 Al-Haytsami, op. cit.
7 Lihat: Muhammad asy-Syuwaiki, Ath-Tharîq ilâ Dawlah al-Khilâfah, Bait al-Maqdis, 1411; Hafizh Abdurrahman, Khilafah Islam dalam Hadist Mutawatir bi al-Ma’na, al-Azhar Press, Bogor. Cet. I. 2003-1424.

