[Fikih] Hukum Mengubah Piutang Menjadi Hadiah
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Assalamualaikum Ustaz Shiddiq yang dirahmati Allah SWT.
Izin bertanya, Ustaz, terkait muamalah dalam jual beli yang diperbolehkan oleh Al-Quran sesuai dengan surah Al-Baqarah ayat 275, sunnah, dan hukumnya mubah. Namun, pada pelaksanaannya antara kedua belah pihak terkadang terjadi “perselisihan” yang disebabkan oleh tidak jelasnya atau mungkin kurang faham dalam berakad, khususnya pada saat muamalah tersebut dilakukan di kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan dalam komuniti.
Salah satu transaksi yang biasa berlaku di sini adalah jual beli makanan. Jadi biasanya si penjual akan mengumumkan di dalam Group WhatsApp bahawa dia akan membuat makanan A, B, C misalnya pada hari Rabu dengan gambar dan harga yang jelas. Kemudian terdapat pilihan penghantaran/pick up (ambil) di rumah penjual atau berjanji di tempat tertentu (pick-up point), tergantung kesepakatan. Kemudian, ada beberapa masalah yang berlaku sehingga menimbulkan perselisihan.
Salah satu masalah yang berlaku: Pihak penjual tidak komitmen dengan akad yang telah disepakati dari awal terkait delivery (penghantaran), pada saat mereka menawarkan makanan yang seharusnya makanan tersebut dihantar sampai ke tempat yang telah disepakati (delivery) ke rumah tinggal pembeli atau tempat yang telah disepakati bersama.
Jadi, di sini pihak penjual merubah kesepakatan dengan meminta agar makanan tersebut diambil (pick-up) di rumah penjual atau di tempat yang penjual sendiri yang menentukan (sebelah pihak) yang tidak sesuai dengan perjanjian awal sehingga menyebabkan pembeli merasa keberatan dan tidak senang. Kerana merasa tidak suka dan berat, akhirnya pihak pembeli memilih untuk tidak membayar makanan yang ditempah dan ianya menjadi hutang, meskipun makanannya sudah habis. Hal ini membuatkan pihak penjual merasa tidak suka dan berat hati untuk menagih bayaran.
Saya mohon pencerahan Ustaz terkait hal tersebut, apakah boleh akad jual beli dicampuradukkan dengan akad tolong menolong (dalam erti jual beli berubah menjadi hadiah) yang tidak ada kesepakatan dari awal? Saya berharap dengan pertanyaan ini akan memberi pencerahan bagi kita yang sedang melakukan muamalah jual beli, baik dengan keluarga mahupun dengan rakan-rakan dalam komuniti. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kemudahan kepada kita semuanya dalam mentaati syariat-Nya. Amin Ya Rabbal Alamiin. Jazakumullah khairan katsiran, Ustaz, atas waktu dan pencerahannya. Wassalam (Sydney, Australia).
Jawapan:
Waalaikumussalam wr. wb.
Dari surat di atas, inti pertanyaannya adalah: Apakah boleh akad jual beli dicampuradukkan dengan akad tolong-menolong (dalam erti jual beli berubah jadi hadiah) yang tidak ada kesepakatan dari awal?
Namun, sebelum saya menjawab pertanyaan tersebut, ada 3 (tiga) hal yang secara syariat perlu diluruskan dalam muamalah yang terjadi di kalangan ikhwan dan akhwat di Sydney, Australia sesuai pertanyaan di atas.
Pertama, seharusnya pihak penjual dan pembeli wajib melaksanakan syarat atau perjanjian yang sudah disepakati, misalnya bahawa makanan yang dipesan akan dikirimkan oleh penjual ke rumah pembeli. Ini seharusnya wajib dilaksanakan oleh penjual, tidak diubah secara sepihak oleh penjual setelah itu.
Kewajipan penjual untuk melaksanakan syarat atau perjanjian tersebut didasarkan pada dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah sebagai berikut:
Firman Allah Swt.,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah janji-janji!” (TMQ Al-Maidah [5]: 1).
Imam Ibnu Taimiyyah menafsirkan ayat tersbut dengan berkata,
” فَقَدْ جَاءَ الْكِتَابُ وَالسُّنَّةُ بِالْأَمْرِ بِالْوَفَاءِ بِالْعُهُودِ وَالشُّرُوطِ وَالْمَوَاثِيقِ وَالْعُقُودِ، وَبِأَدَاءِ الْأَمَانَةِ وَرِعَايَةِ ذَلِكَ، وَالنَّهْيِ عَنْ الْغَدْرِ وَنَقْضِ الْعُهُودِ وَالْخِيَانَةِ وَالتَّشْدِيدِ عَلَى مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ… ” انتهى . “القواعد النورانية” (ص 272)
“Al-Quran dan sunnah telah memerintahkan untuk memenuhi berbagai perjanjian, syarat, kesepakatan, dan akad. Al-Quran dan sunnah juga telah memerintahkan untuk menunaikan dan memelihara amanah, telah melarang untuk berkhianat dan membatalkan (secara sepihak) berbagai perjanjian yang ada, serta bersikap tegas terhadap siapa saja yang melakukan hal-hal tersebut.” (Imam Ibnu Taimiyyah, Al-Qawā’id Al-Nūrāniyyah, hlm. 272).
Rasulullah saw. bersabda,
اَلْمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ. رواه الحاكم وأبو داود عن أبي هريرة رضي الله عنه وهو صحيح
“Kaum muslim bermuamalah sesuai dengan syarat-syarat yang telah disepakati di antara mereka.” (HR Al-Hakim dan Abu Dawud, dari Abu Hurairah ra., hadis sahih).
Berdasarkan dalil Al-Quran dan sunnah tersebut, menjadi satu kewajipan ke atas pihak penjual untuk melaksanakan perjanjian yang disepakati di awal, iaitu bahawa makanan akan dihantarkan oleh penjual ke rumah pembeli, bukan pembeli yang diminta mengambil (pick up) makanan itu di rumah penjual.
Kedua, apabila penjual ingin mengubah syarat atau perjanjian yang ada tersebut, iaitu pembeli diminta mengambil barang ke rumah penjual maka perubahan syarat ini tidak boleh ditetapkan secara sepihak oleh penjual, melainkan perlu disepakati bersama oleh kedua belah pihak secara sukarela. Dalilnya adalah sabda Rasulullah saw.,
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
“Sesungguhnya jual beli itu haruslah berdasarkan sukrela (antara penjual dan pembeli).” (HR Ibnu Majah, no. 1792, hadis sahih).
Ketiga, pihak pembeli seharusnya tetap membayar harga makanan, meskipun penjual telah mengubah perjanjian secara sepihak. Pelanggaran (pengkhianatan) perjanjian yang dilakukan secara sepihak oleh penjual, tidak boleh dibalas dengan pelanggaran yang serupa oleh pihak pembeli (tidak mahu membayar), sesuai sabda Rasulullah saw. berikut ini,
أدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ ، وَلا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ. رواه الترمذي
“Tunaikanlah oleh kamu amanah dari pihak yang mengamanahi kamu, dan janganlah kamu membalas mengkhianati orang yang telah mengkhianati kamu.” (HR Tirmidzi, no. 1264, hadis sahih).
Demikianlah 3 (tiga) hal yang secara syariat perlu diluruskan dalam muamalah yang terjadi, sebelum kami menjawab inti pertanyaan dari akhwat di Australia, “Adakah boleh akad jual beli dicampuradukkan dengan akad tolong menolong (dalam erti jual beli berubah jadi hadiah) yang tidak ada kesepakatan dari awal?”
Jawapan untuk pertanyaan tersebut adalah hukumnya boleh mengubah piutang dalam jual beli menjadi akad hibah (atau hadiah), walaupun sejak awal akadnya adalah jual beli, dan tidak ada klausul (atau ketentuan) bahawa penjual akan menghibahkan barangnya kepada pembeli.
Bolehnya mengubah piutang menjadi akad hibah tersebut didasarkan pada bolehnya ibrā’, iaitu dalam hal ini bererti pembebasan hutang yang dilakukan oleh pihak yang berhak atas hutang kepada pihak yang berhutang. Pengertian ibrā’ secara makna syarie adalah:
اَلْإِبْرَاءُ هُوَ إِسْقَاطُ شَخْصٍ حَقًّا لَهُ فِيْ ذِمَّةٍ أَخَرَ
“Ibra` adalah pengguguran suatu hak yang dimiliki oleh seseorang yang berada dalam tanggungan orang lain.” (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, Juz I, hlm. 307).
Dalil bolehnya ibrā` (pengguguran hak) atau disebut juga at-tanāzul ‘an al-haq (pelepasan hak), antara lain didasarkan pada dalil-dalil syarie sebagai berikut, seperti firman Allah Swt.,
وَاِنْ كَانَ ذُوْ عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ اِلٰى مَيْسَرَةٍۗ وَاَنْ تَصَدَّقُوْا خَيْرٌ لَّكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
“Jika dia (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, berilah senggang waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Kamu bersedekah (membebaskan hutang) itu lebih baik bagimu apabila kamu mengetahui(-nya).” (TMQ Al-Baqarah [2]: 280).
Bolehnya ibrā` didasarkan juga pada firman Allah Swt.,
وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيْرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَّدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ اِلٰٓى اَهْلِهٖٓ اِلَّآ اَنْ يَّصَّدَّقُوْا ۗ
“Barang siapa membunuh seorang yang beriman kerana tersalah (hendaklah) dia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta (membayar) tebusan yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga si terbunuh) membebaskan pembayaran.” (TMQ An-Nisa`[4]: 192).
Bolehnya ibrā` didasarkan juga dalam firman Allah SWT.,
وَاِنْ طَلَّقْتُمُوْهُنَّ مِنْ قَبْلِ اَنْ تَمَسُّوْهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيْضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ اِلَّآ اَنْ يَّعْفُوْنَ اَوْ يَعْفُوَا الَّذِيْ بِيَدِهٖ عُقْدَةُ النِّكَاحِ
“Jika kamu menceraikan mereka sebelum kamu sentuh (campuri), padahal kamu sudah menentukan maharnya, maka (bayarlah) separuh dari apa yang telah kamu tentukan, kecuali jika mereka atau pihak yang memiliki kuasa nikah (suami atau wali) membebaskannya.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 237).
Ayat-ayat di atas telah dijadikan dalil oleh para fuqaha untuk membolehkan apa yang disebut ibrā` (pengguguran hak) atau sering disebut juga at-tanāzul ‘an al-haq (pelepasan hak). (Shalih bin Abdurrahman Al-Muhaimid, Al-Ibrā` min al-Haq fi al-Fiqh al-Islāmi, hlm. 5-9).
Dengan demikianlah, jelaslah bahawa boleh hukumnya akad jual beli yang tidak dibayar tunai kemudian berakhir dengan hibah atau hadiah yang tidak ada kesepakatannya dari awal.
Sedikit kami tambahkan bahawa ada hubungan antara ibrā` (pengguguran hak) dengan hibah. Syekh Shalih bin Abdurrahman Al-Muhaimid, menjelaskan bahawa ada hubungan antara ibrā` (pengguguran hak) dengan hibah. Hubungannya, hibah yang pengertiannya tamlīk bilā ‘iwadh (memindahkan hak milik tanpa imbalan) adalah istilah umum, yang mencakup di dalamnya ibrā`. Jadi ibrā` merupakan salah satu dari bentuk hibah. (Shalih bin Abdurrahman Al-Muhaimid, Al-Ibrā` min al-Haq fi Al-Fiqh Al-Islāmi, hlm. 24). Wallahualam.
#hukumfikh #hibah #jualbeli #muamalah

