[Tsaqafah] Sudahkah Kita “Membaca” Al-Quran?
Penulis: Halima Noer
Ramadhan adalah bulan penuh kemuliaan dan keberkahan. Pada bulan inilah Allah melipatgandakan pahala atas semua amal ibadah yang dilakukan hamba-hamba-Nya. Inilah yang mendorong umat Islam untuk memperbanyak amal ibadah pada bulan ini, salah satunya membaca Al-Quran.
Dalam hadis riwayat Ibnu ‘Abbas dijelaskan, dari Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah saw. adalah manusia yang paling lembut, terutama pada bulan Ramadhan; dan paling lembutnya Rasul saw. saat Ramadhan adalah ketika Malaikat Jibril mendatanginya setiap malam pada bulan Ramadhan. Maka ia (Malaikat Jibril) mengajarkan Al-Quran. Sungguh, Rasulullah saw. adalah orang yang paling lembut (lebih lembut) daripada angin yang berhembus.” (HR Bukhari).
Rasulullah saw. mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam setahun saat Ramadhan, kecuali pada tahun terakhir menjelang wafatnya. Malaikat Jibril mendatangi Rasulullah saw. sebanyak dua kali, maka Rasulullah saw. mengkhatamkannya sebanyak dua kali. Dari Aisyah ra., dari Fatimah ra., “Nabi saw. menitipkan rahsia kepadaku bahawa Jibril as. memaparkan kepadaku Al-Quran setahun sekali dan ia memaparkannya kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya hadir, kecuali telah tiba saatnya ajalku.”
Dengan bersandar pada nas-nas hadis di atas, maka banyak di antara umat Islam yang berusaha memperbanyak membaca Al-Quran saat Ramadhan hingga khatam. Ada yang berjaya khatam sekali, ada juga yang berjaya khatam hingga berkali-kali selama Ramadhan. Masyaallah! Betapa semangatnya umat Islam menjalankan ibadah membaca Al-Quran yang mereka biasa sebut dengan istilah “tadarus Al-Quran”.
Hanya saja perlu diingat bahawa Al-Quran adalah lafaz yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. dan memiliki beberapa pengertian. Al-Quran merupakan lafaz dan makna sekaligus. Allah Swt. memerintahkan bukan hanya untuk membaca lafaznya, tetapi juga memahami maknanya. (Syekh Taqiyuddin an-Nabhany, Syakhshiyyah Islamiyyah Juz 1).
Kita perlu ada kemampuan berbahasa Arab dalam usaha memahami makna Al-Quran kerana Al-Quran diturunkan Allah Swt. dalam bahasa Arab. Inilah yang tidak dimiliki majoriti umat Islam negeri ini (kemampuan berbahasa Arab) sehingga hanya mampu melafazkan Al-Quran, tetapi tidak memahami maknanya. Akhirnya, membaca Al-Quran hanya menjadi ibadah ritual, yakni dibaca berulang-ulang semata untuk mendapatkan pahala membaca. Dan sudah tentu bukan hanya sekadar ini yang Allah Swt. perintahkan.
Bukan Sekadar Membaca
Allah Swt. menurunkan Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca akan lafaz-lafaznya, melainkan sebagai petunjuk atau pedoman hidup bagi umat manusia. Ini sebagaimana firman-Nya, “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (TMQ Al-Baqarah: 185).
Lebih khusus lagi, Al-Quran diturunkan Allah untuk menjadi petunjuk (hudan) bagi orang yang bertakwa. Allah Swt. berfirman, “Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (TMQ Al-Baqarah: 2).
Agar mampu menjadi pedoman hidup, Al-Quran perlu difahami secara maknanya, kemudian diamalkan dalam kehidupan hingga mampu menjadi solusi bagi semua permasalahan umat manusia. Realitinya pula, Rasulullah saw. membaca Al-Quran dengan sangat lama, yakni dengan tartil (perlahan-lahan) dan tenang, serta memahami dan menghayati maknanya. Rasulullah saw. juga mengamalkan dan mendakwahkannya. Beliau saw. menyampaikan kepada kaum muslim setiap ayat yang turun dan memerintahkan agar mereka mengamalkan dan mendakwahkannya.
Begitu juga para sahabat, mereka tidak mencukupkan hanya dengan membaca Al-Quran, tetapi juga mempelajari, memahami, dan mengamalkannya. Bahkan, mereka tidak berpindah pada ayat lain sebelum setiap ayat yang dipelajari berjaya mereka fahami dengan baik dan isinya diamalkan.
Dengan demikian, sebuah kekeliruan jika kaum muslim hari ini hanya menyibukkan diri dengan membaca lafaz Al-Quran. Menjalankan ibadah Ramadhan yang identik dengan tadarus (membaca) Al-Quran seharusnya ditambah dengan memperbanyak mempelajari isi Al-Quran, kemudian berusaha mengamalkannya dan mendakwahkannya.
Beberapa Istilah “Membaca” dalam Al-Quran
Ada beberapa istilah “membaca” di dalam Al-Quran. Semuanya mengarah kepada satu makna, yakni bukan sekadar membaca lafaznya, melainkan juga memahami maknanya.
Pertama, tartil.
Allah Swt. berfirman, “Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan.” (TMQ Al-Muzammil: 4).
Menurut tafsir Ibnu Katsir, maksudnya adalah bacalah Al-Quran dengan tartil (perlahan-lahan) kerana sesungguhnya bacaan seperti ini membantu untuk memahami dan merenungkan makna yang dibaca; dan memang demikianlah bacaan yang dilakukan oleh Nabi saw. sehingga Aisyah ra. mengatakan bahawa Nabi saw. apabila membaca Al-Quran, iaitu dengan perlahan-lahan sehingga bacaan beliau terasa paling lama dibandingkan dengan orang lain.
Adapun tartil menurut Ibnu Abbas adalah ‘dibaca dengan jelas setiap hurufnya’. Menurut Ali bin Abi Thalib, tartil adalah ‘melafazkan dengan tajwid setiap huruf-hurufnya dengan mengetahui tempat-tempat berhentinya’. (Syarh Mandhumah al-Jajazariyah).
“(Maka) membaca (Al-Quran) dengan tajwid hukumnya wajib. Barang siapa yang tidak membacanya dengan tajwid, dia berdosa kerana dengan tajwidlah Allah menurunkan Al-Quran, dan dengan demikian pula Al-Quran sampai kepada kita dari-Nya.” (Imam Ibnul Jazari).
Kedua, tilawah.
Allah Swt. berfirman, “Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah (sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (TMQ Al-Jumu’ah: 2).
Tilawah berasal dari kata talaa-tatlu-tilawah yang maksudnya ‘mengikuti’. Jadi, tilawah adalah membaca dengan maksud untuk mengikuti yang dibaca, yakni Al-Quran.
Ketiga, qiraah.
Allah Swt. berfirman, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.” (TMQ Al-’Alaq: 1).
Qiraah adalah masdar dari qaraah yang bererti ‘mengumpulkan’. Derivatif kata dari kata ini adalah tafahhama, daarasa, tafaqqaha, hafizha, jama’a, dhamma. (Mu’jam Mufradat Alfazhil Quran, hlm. 413—414; Lisanul Arab I/128—133). Dengan demikian, qiraah ertinya ‘membaca untuk mempelajari, memahami, dan sebagainya’.
Keempat, tadabur.
Allah Swt. berfirman, “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka mentadaburi (memperhatikan, menghayati) ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (TMQ Shad: 29).
Ibnu Katsir dalam tafsirnya, mengutip pendapat Hasan Bashri, “Demi Allah! Tadabur Al-Quran itu bukanlah dengan menghafal huruf-hurufnya, tetapi mengabaikan batas-batas hukumnya, hingga ada yang mengatakan, ‘Aku telah membaca Al-Quran seluruhnya, tetapi Al-Quran itu tidak tampak dalam akhlak dan perbuatannya.’”
Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah, “Tadabur Al-Quran adalah menggunakan ketajaman mata hati melalui proses perenungan mendalam secara berulang-ulang agar dapat menyingkap pesan-pesan Al-Quran yang terdalam dan mencapai tujuan maknanya yang terjauh.”
Ibnu Taimiyyah mengatakan, “Barang siapa yang mentadaburi Al-Quran demi untuk mendapatkan petunjuk darinya, akan jelas baginya jalan kebenaran.”
Demikianlah beberapa istilah “membaca” yang ada di dalam Al-Quran. Dari berbagai pemaparan tersebut, makin jelas bahawa perintah Allah untuk membaca Al-Quran bukanlah semata membaca lafaz (teks)nya, melainkan juga merenungkan dan memahami maknanya.
Hal ini seharusnya mendorong kita untuk melakukan introspeksi diri, apakah yang sudah kita lakukan selama ini, adakah baru sekadar membaca lafaz Al-Quran saja? Sudahkah “membaca” sebagaimana yang Allah Swt. kehendaki dari perintah-Nya membaca, yakni memahami makna Al-Quran dan mengamalkannya?
Khatimah
Saat Ramadhan ini, tidak seharusnya umat Islam hanya disibukkan dengan mengkhatamkan Al-Quran dari sisi membaca teksnya. Melainkan mari kita juga perbanyak mempelajari makna yang dikandung Al-Quran. Kita boleh mulai dengan sasaran yang kita anggap paling ringan, misalnya kita mensasarkan untuk mempelajari makna surah-surah pendek juzuk 30 terlebih dahulu sepanjang Ramadhan, setelah itu kita teruskan untuk juzuk-juzuk lain pada bulan-bulan berikutnya.
Di samping itu, kita juga disarankan untuk mengajak seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan kita untuk melakukan hal tersebut. Luruskan juga pemahaman umat yang masih salah dalam memahami makna “membaca” Al-Quran.
Walaubagaimanpun, menjadi cabaran bagi umat Islam hari ini ketika Al-Quran sudah pun dibaca dan maknanya dipelajari, tetapi ternyata sukar dan mencabar untuk mengamalkannya kerana kita hidup di dalam sistem yang tidak Islami. Oleh kerana itu, kita hendaklah terus mengupayakan agar sistem Islam—Khilafah Islamiah ‘ala minhaj an-nubuwwah—segera tertegak kembali agar hukum-hukum di dalam Al-Quran dapat diterapkan, seterusnya dipraktikkan secara keseluruhan dalam kehidupan. Wallahualam bissawab.
#nuzulquran #ramadhan1445h #terapislamkaffah #tadabburquran

