[Tarikh Khulafa] Sultan Murad I dan Penaklukan Wilayah Balkan
Penulis: Nabila Ummu Anas
Sebagai ketua negara, Sultan Murad I sedar sepenuhnya bahawa Daulah Uthmaniyyah perlu terus berjihad fisabilillah, berjuang di jalan Allah SWT. Dia juga tahu bahawa kemenangan hanya dapat dicapai dengan pertolongan dari Allah SWT. Oleh itu, selain menyiapkan pasukan yang akan ditakuti musuh, Sultan Murad I banyak berdoa, mendekatkan diri serta bertawakkal kepada Allah SWT.
Doa pemimpin yang bertakwa
Ketika peperangan di jalan Allah SWT semakin rancak, salah satu doa yang dipanjatkan oleh Sultan Murad I ialah, “Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit dan mengabulkan permintaan setiap hambaNya. Jangan Engkau hinakan aku. Ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, perkenankanlah doa hambamu saat ini, utuskanlah kami malaikat dari langit, pecahkanlah kegelapan malam ini agar kami dapat melihat kedudukan musuh-musuh kami.”
“Wahai Tuhan yang mengawasi setiap makhlukNya. Engkau Maha Pemberi, sedangkan kami adalah hamba yang memohon pertolongan kepadaMu. Aku hanyalah hambaMu yang miskin dan hina. Engkaulah yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan segala rahsia yang tersembunyi serta yang tersimpan di dalam hati. Aku bukanlah orang yang mementingkan dan mengharapkan keuntungan, aku juga tidak mahukan harta rampasan perang yang banyak.”
“Aku tidak tamak melainkan pada keredhaanMu dengan penuh keikhlasan, Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Agung. Wahai Tuhan yang mengawasi setiap makhlukNya. Aku membela Engkau dengan nyawaku, maka terimalah harapanku. Jangan jadikan orang Islam ini dihina di hadapan musuh. Ya Allah Yang Maha Pengasih, janganlah Engkau jadikan aku penyebab kematian mereka. Malah, berikan mereka kemenangan.”
“Sesungguhnya kuserahkan jiwaku ini untuk mempertahankan keagunganMu, ya Tuhanku. Aku berharap dan memohon agar diberikan pangkat syahid demi kegemilangan tentera Islam. Ya Allah, janganlah Engkau tunjukkan kepadaku ujian yang getir, kekalahan mereka di hadapan musuhMu. “Dengarkanlah permohonanku kali ini, ya Tuhan, sesungguhnya di jalan-Mu dan keredhaanMu aku berperang, sebelum Engkau jadikan aku pejuang esok hari.”
Percaya kepada Kemenangan Tuhan
Sultan Murad I berjaya masuk ke kawasan Balkan melalui panglima-panglimanya. Hal ini membangkitkan kemarahan Serbia. Mereka berulang kali mengambil kesempatan untuk menyerang tentera Uthmaniyyah di kawasan Balkan dan sekitarnya. Namun, mereka sentiasa gagal dan tidak pernah mendapat kemenangan yang bermakna.
Kemudian tentera Serbia, Bosnia dan Bulgaria bersekutu. Mereka menyiapkan sejumlah tentera Salib Eropah untuk memerangi tentera Sultan Murad I yang telah tiba di wilayah Kosovo, setelah menyediakan tentera yang kuat di Balkan. Peperangan berkecamuk antara kedua-dua pasukan dan semakin sengit sehingga tentera muslim mencapai kemenangan yang gemilang.
Tentera Uthmaniyyah gembira dan optimis untuk mencapai kemenangan. Semangat jihad mereka semakin membara dengan firman Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Anfal ayat 65, “Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.”
Syahidnya Sultan Murad I
Selepas mencapai kemenangan di Kosovo, Sultan Murad I berdiri untuk memeriksa pasukan di medan perang. Dia berjalan mengelilingi orang yang terbunuh dari kalangan kaum muslimin dan berdoa untuk mereka. Dia juga memeriksa tentera yang cedera. Ketika itu seorang askar Serbia berpura-pura mati dan berlari ke arah Sultan Murad I, lalu menikamnya. Sultan Murad I mangkat sebagai syahid pada 15 Sya’ban tahun 791 H.
Kata-kata terakhir Sultan Murad I, “Tiada apa yang dapat diucapkan ketika dalam perjalanan terakhirku, melainkan aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui perkara ghaib, yang mengabulkan hajat seorang hamba yang fakir. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT. Tiada yang berhak disembah dan disyukuri melainkan Dia. Kini perjalanan hidupku semakin hampir ke penghujungnya dan aku melihat kemenangan tentera Islam di hadapan mataku. Taatilah anakku Yazid. Jangan kalian seksa para tahanan, jangan sakiti mereka, dan jangan ambil harta benda mereka. Hari ini aku tinggalkan kalian dan tenteraku yang menuai kemenangan menuju rahmat Allah SWT. Dialah yang akan melindungi negara kita daripada segala kejahatan.”
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Utsmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura.

