[Kisah Inspiratif] Ummu Hisyam binti Harisah, Sahabiyah Perawi Hadis Rasulullah SAW
Penulis: Chusnatul Jannah
Terdapat banyak perawi hadis dalam kalangan sahabat perempuan Rasulullah SAW. Salah seorang daripada mereka ialah Ummu Hisyam binti Harisah, anak perempuan Harisah bin Nu’man, seorang daripada sahabat Nabi SAW yang termasuk ke dalam golongan orang-orang yang masuk Islam pada masa awal Islam. Bagaimanakah keperibadian Ummu Hisyam?
Semangat Tinggi Belajar Islam
Salah satu keperibadian sahabiyah yang hidup pada masa awal-awal Islam adalah Ummu Hisyam binti Harisah. Keperibadian seorang ulama wanita yang hidup satu masa dengan Rasulullah SAW. Beliau merupakan sahabat yang masuk dalam peristiwa Baiat Ridhwan (peristiwa ketika Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan baiat di bawah pohon di Mekah).
Ummu Hisyam adalah peribadi yang taat dan patuh pada ajaran Islam. Beliau sangat bersemangat mempelajari Islam. Beliau tidak mudah berputus asa dalam menghafal al-Quran dan hadis, sehingga beliau menjadi seorang penghafal al-Quran dan meriwayatkan beberapa hadis Rasulullah SAW. Keteguhan Ummu Hisyam pada Islam tidak dapat dipisahkan daripada keperibadian ayahnya. Harisah merupakan sahabat karib Rasulullah SAW, bahkan beliau antara yang awal mengikuti ajaran Rasulullah SAW sebelum Islam dikenali di Madinah.
Harisah pernah memberikan tanah dan rumahnya kepada Rasulullah SAW saat rombongan beliau tiba di Madinah. Oleh kerana itulah, rumah mereka berdekatan dengan kediaman Rasulullah SAW. Para ulama mengatakan bahawa keluarga Harisah selalu menjaga dan mengetahui keadaan Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa keluarga Rasulullah dan Harisah memang rapat. Dengan demikian, tidak hairanlah apabila Rasulullah dan Harisah memiliki hubungan persahabatan yang baik.
Rasulullah SAW pun pernah bermimpi berada di syurga dengan mendengar seseorang membaca al-Quran. “Lalu aku bertanya, ‘Siapa beliau?’ Mereka menjawab, ‘Beliau ialah Harisah bin Nu’man.’ Itulah balasan berbakti kepada orang tua.”
Perawi Sepuluh Hadis
Ummu Hisyam memiliki jiwa belajar yang tinggi terhadap Rasulullah SAW. Beliau juga dikenali sebagai wanita yang cerdas. Beberapa sahabat meriwayatkan hadis dari Ummu Hisyam, seperti Muhammad bin Abdurrahman bin As’ad Zurarah, Yahya bin Abdullah, dan Hubaib bin Abdurrahman bin Yasaf. Jumlah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hisyam ialah sebanyak 10 hadis.
Dalam suatu riwayat juga disebutkan bahawa Ummu Hisyam mampu menghafal surah Qaf secara langsung daripada Rasulullah SAW. “Aku menghafal surah Qaf tidak lain daripada lisan Rasulullah. Baginda membacanya setiap Jumaat di atas mimbar saat menyampaikan khutbah.” Imam Nawawi menafsirkan hadis tersebut dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW memilih surah Qaf dengan membacanya saat berkhutbah. Surah itu dipilih kerana mengandungi penjelasan tentang kebangkitan, kematian, dan larangan yang tegas.
Khatimah
Semoga kita dapat mengambil hikmah daripada kisah singkat Ummu Hisyam, iaitu menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim. Rasulullah SAW bersabda,”Orang yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Para malaikat meletakkan sayapnya sebagai tanda senang kepada orang yang mencari ilmu. Orang yang mencari ilmu akan diminta keampunan oleh penduduk langit dan penduduk bumi sehinggakan ikan-ikan pun ikut beristighfar untuknya. Keutamaan orang yang berilmu dibandingkan ahli ibadah seperti keutamaan bulan berbanding dengan bintang-bintang lain.”

