Site icon MuslimahHTM News

MENAKAR KADAR KEBERSIHAN HATI

MENAKAR KADAR KEBERSIHAN HATI

Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

 

Pernahkah kita, atau bahkan mungkin sering, merasa malas untuk membaca al-Quran? Jangankan satu juzuk sehari. Bahkan satu muka surat sehari pun kita tak mampu/malas. Jangankan satu muka, bahkan setengah muka surat pun terasa berat. Jangankan setengah muka surat, bahkan sekadar membuka mushaf al-Quran pun tak sanggup dan terasa susah. Jauh lebih mudah dan ringan saat membuka handphone/gajet. Boleh berpuluh kali pun kita sanggup. Dengan jumlah durasi masa berpuluh jam setiap hari.

 

Jika begitu keadaannya, boleh jadi hati kita kotor. Banyak noda. Akibat kita terlalu banyak dan terlalu sering melakukan dosa. Hanya saja kita yang tidak merasakannya.

 

Begitulah yang dapat kita fahami dari pernyataan Sayyidina Uthman bin Affan ra. (w. 35 H):

*لو طهرت القلوب لم تشبع من قراءة القرآن*
“Jika hati bersih, maka dia tidak akan pernah kenyang dari membaca al-Quran.” (Imam al-Ghazali, Ihyaa’ ‘Uluum ad-Diin, 3/ 5).

 

Disebabkan kebersihan hati generasi salafush-shaalih, merea dapat mengkhatamkan al-Quran sekurangnya sebulan sekali, atau seminggu sekali, atau tiga hari sekali. Bahkan banyak yang sanggup melakukannya pada setiap hari. Contohnya adalah Imam Syafie rahimahulLaah. Beliau biasa mengkhatamkan bacaan al-Quran setiap hari. Ertinya, dalam sebulan beliau khatam Quran sebanyak 30 kali. Apatah lagi di bulan Ramadhan. Sebagaimana disebutkan oleh muridnya, Rabi’ bin Sulaiman, “Imam Syafie biasa mengkhatamkan al-Quran selama Ramadhan sebanyak kira-kira 60 kali (rata-rata 2 kali khatam al-Quran setiap hari).” Menurut Ibnu Abi Hatim, khataman al-Quran tersebut sering beliau lakukan di dalam solat-solat beliau. (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubalaa’, 10/36).

 

MashaAllah. Begitulah keadaannya jika hati bersih. Bersihnya hati seseorang adalah kerana dia jarang melakukan dosa. Sebab kewarakan yang dimilikinya, yakni selalu merasa khuatir terjatuh ke dalam suatu dosa. Sekecil apapun dosa tersebut. Bahkan dia akan selalu berhati-hati agar tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhat.

 

Semoga Allah SWT sentiasa menjaga kebersihan hati kita. Aamiin.

 

#muhasabahramadhan #refleksiRamadhan

Exit mobile version