Site icon MuslimahHTM News

Al-Quran dan Lailatul Qadar

[Ibrah] Al-Quran dan Lailatul Qadar
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

Allah SWT berfirman (yang ertinya): “Sungguh Kami menurunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (TMQ al-Qadar [97]: 1-3).

Ayat di atas sekurangnya mengandungi dua perkara: Pertama, tentang turunnya al-Quran pada Lailatul Qadar. Kedua, tentang keistimewaan Lailatul Qadar. Suatu malam yang dinyatakan oleh Allah SWT sendiri lebih baik daripada seribu bulan.

Turunnya al-Quran pada malam yang amat istimewa, Lailatul Qadar, pasti menunjukkan bahawa al-Quran adalah kitab yang sangat istimewa. Lebih-lebih lagi al-Quran berfungsi sebagai petunjuk (hud[an]) bagi manusia dalam mengharungi kehidupan di alam dunia ini (QS al-Baqarah [2]: 185). Tanpa petunjuk al-Quran, manusia bakal tersesat di dunia. Saat tersesat di dunia, mereka tidak mungkin dapat meraih syurga-Nya. Malah, mereka bakal menjadi penghuni neraka. Bahkan tanpa petunjuk al-Quran, seorang Muslim tidak mungkin berusaha meraih keutamaan puasa Ramadhan, juga mengharapkan keutamaan Lailatul Qadar. Oleh sebab itu al-Quran yang turun pada Lailatul Qadar sesungguhnya lebih istimewa dibandingkan dengan Lailatul Qadar sendiri. Disebabkan itu juga, peristiwa turunnya al-Quran—apalagi pada Lailatul Qadar—sesungguhnya  adalah peristiwa yang sangat dahsyat.

Berkaitan dengan dahsyatnya al-Quran ini, Allah SWT berfirman (yang ertinya): “Andai Kami menurunkan al-Quran pada sebuah gunung, pasti kamu (Muhammad) menyaksikan gunung itu tunduk dan terpecah-belah kerana takut kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan demikian Kami buat agar mereka mahu berfikir.” (TMQ al-Hasyr [59]: 21).

Menurut Imam ath-Thabari, ayat ini bermakna: “Andai Kami menurunkan al-Quran pada suatu gunung, sementara gunung itu berupa bebatuan, pasti kamu, wahai Muhammad, menyaksikan gunung itu tunduk, terhina dan terpecah-belah kerana besarnya rasa takutnya kepada Allah. Padahal gunung (yang berupa bebatuan, pen.) itu amat keras. Hal ini kerana gunung itu khuatir tidak sanggup/mampu menunaikan hak Allah yang telah Dia wajibkan atas dirinya, yakni dengan mengagungkan al-Quran.” (Ath-Thabari, Jâmi al-Bayân fî Tawîl al-Qurân, 23/300).

Menurut Imam al-Alusi, ayat ini adalah tamsil sekaligus gambaran tentang ketinggian al-Quran dan kekuatan pengaruh nasihat dan peringatannya. Tujuan ayat ini adalah untuk mencela manusia yang keras hati, sedikit rasa takutnya kepada Allah saat al-Quran dibacakan, serta sedikit sekali merenungkan berbagai ancamannya. Padahal andai al-Quran itu diturunkan ke atas sebuah gunung yang keras dan gunung itu memiliki akal, pasti gunung itu pun akan merasa takut kepada Allah SWT dan terpecah-belah (Al-Alusi, Rûh al-Ma’âni, 20/442).

*****

Terkait keutamaan Lailatul Qadar, Allah SWT berfirman (yang ertinya): “Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (TMQ al-Qadar [97]: 3), Mujahid menyatakan, “Usaha menghidupkan malam tersebut dan beramal di dalamnya adalah lebih baik daripada menghidupkan amalan selama seribu bulan.” Ertinya, pahala menghidupkan Lailatul Qadar adalah lebih baik dari pahala ibadah selama kira-kira 83 tahun 3 bulan (Ibnu al-Jauzi, At-Tadzkirah fi al-Wa’zh, 1/218).

Keutamaan Lailatul Qadar juga dinyatakan oleh Rasulullah saw., “Siapa saja yang menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampuni.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Begitu istimewanya Lailatul Qadar, Imam Syafie bahkan berpendapat, “Siapa saja yang meninggalkan solat pada Lailatul Qadar, dia wajib menggantinya dengan solat selama seribu bulan. Hal ini di-qiyas-kan pada keutamaan Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Muhammad ‘Uwaidhah, Fashl al-Khithâb fi az-Zuhd wa ar-Raqâ’iq wa al-Adab, 1/1007).

Oleh sebab begitu besarnya keutamaan Lailatul Qadar, Rasulullah saw. mendorong setiap Muslim untuk bersungguh-sungguh meraih keutamaan malam tersebut. Beliau bersabda, “Carilah oleh kalian keutamaan Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di sepuluh terakhir Ramadhan.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Begitu besar keutamaan Lailatul Qadar juga ditunjukkan oleh fakta bahawa Allah SWT merahsiakan keberadaannya. Mengapa? Tidak lain dan tidak bukan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nasafi, agar kaum Muslim bersungguh-sungguh mencari keutamaan malam tersebut di seluruh malam-malam Ramadhan (Abdurrahman ash-Shafudi, Najhah al-Majâlis wa Muntakhab an-Nafâ’is, 1/162).

Hal senada ditegaskan oleh Imam al-Ghazali. Kata beliau, “Boleh jadi maksud Allah merahsiakan keberadaan Lailatul Qadar adalah untuk meningkatkan kesungguhan manusia dalam mencarinya.” (Al-Ghazali, Ihya’ Ulûm ad-Dîn, 3/121).

*****

Namun demikian, sebenarnya ada keutamaan amal yang setara bahkan melebihi keutamaan Lailatul Qadar. Ini juga sudah sepatutnya boleh diraih oleh setiap Muslim. Apakah amalan itu? Jawapannya ada dalam sabda Rasulullah saw., “Berjaga-jaga selama satu jam di medan perang fi SabililLah adalah lebih baik daripadaa menghidupkan Lailatul Qadar di samping Hajar Aswad.” (HR Ibnu Hibban dan al-Baihaqi).

Bayangkan. Menghidupkan Lailatul Qadar adalah keutamaan. Apatah lagi dilakukan di tempat yang utama. Di Tanah Suci. Tentu jauh lebih utama. Namun, berdasarkan hadis di atas, keutamaan tersebut dapat dikalahkan oleh jihad (perang) fi sabililLah meski sekadar berjaga-jaga selama satu jam saja.

Hadis di atas dikuatkan oleh sabda Rasulullah saw., “Mahukah kalian, aku beritahu tentang suatu malam yang lebih utama dari Lailatul Qadar? Iaitu (malamnya) seorang penjaga yang berjaga-jaga di suatu wilayah yang menakutkan (di medan perang fi SabililLah) dan dia amat berharap tidak kembali kepada keluarganya (berharap mati syahid, pen.).” (HR al-Hakim).

Masalahnya, bagaimana kita dapat meraih keutamaan jihad/mati syahid, sementara kita saat ini tidak berada di dalam wilayah perang dan berada dalam keadaan damai? Masih bolehkah kita meraih keutamaan jihad dan mati syahid? Tentu saja boleh. Bagaimana caranya? Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan melibatkan diri di medan dakwah atau amar makruf nahi mungkar. Terutamanya dakwah kepada para penguasa zalim. Hal ini kerana, Rasulullah saw. pernah bersabda, “Pemimpin para syuhada (di Hari Kiamat nanti) adalah Hamzah bin Abdul Muthalib (bapa saudara Rasulullah saw. yang syahid di medan Perang Uhud, pen.) dan seorang lelaki yang berdiri tegak di hadapan seorang penguasa zalim, dia menasihati penguasa tersebut, lalu penguasa itu membunuh dirinya.” (HR ath-Thabarani dan al-Hakim).

Rasulullah saw. juga bersabda, “Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kata-kata kebenaran di hadapan penguasa zalim.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).

Alhasil, sebagaimana kita sangat berharap meraih keutamaan Lailatul Qadar—yang lebih baik dari seribu bulan—sudah sepatutnya kita juga berusaha bersungguh-sungguh meraih amal yang jauh lebih utama dari itu, iaitu dakwah dan amar makruf nahi mungkar. Kerana kemungkaran terbesar saat ini yang dilakukan oleh penguasa adalah tidak menerapkan syariah Islam—maka ke sanalah amar makruf nahi mungkar lebih layak ditujukan.

Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh!

#ibrahlailatulqadar #amarmakruf #nahimungkar #lailatulqadar


Exit mobile version