[Fikih] Apakah Iktikaf Mesti Sepuluh Hari?
Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Apakah iktikaf itu mesti sepuluh hari?
Jawapan:
Tidak ada dalil syarie yang mewajibkan bahawa iktikaf itu tempohnya mesti sepuluh hari, baik pada bulan Ramadhan mahupun di luar bulan Ramadhan. Bahkan beriktikaf selama satu malam sahaja (tanpa siang harinya) dibenarkan oleh syarak. Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra.,
“Bahawa Umar pernah bertanya kepada Nabi saw., Umar berkata, ‘Aku pernah bernazar pada masa jahiliyah untuk beriktikaf selama satu malam di Masjidil Haram.’ Nabi saw. bersabda, ‘Penuhilah nazarmu!’” (HR Bukhari, hadis no 2032, juga diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa`i, dan Ad-Daruquthni). (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, hal. 298).
Dalil hadis di atas menunjukkan bahawa beriktikaf pada malam hari sahaja tanpa siangnya adalah boleh. Jadi tidak ada dalil yang mewajibkan bahawa iktikaf mesti sepuluh hari, baik pada bulan Ramadhan mahupun di luar bulan Ramadhan.
Meski demikian, memang iktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah suatu ibadah yang afdhal (lebih utama) untuk mencari Lailatul Qadar. (Asy-Syarbaini al-Khathib, Al-Iqna’, 1/212; Zakariyya Al-Anshari, Fathul Wahhab, 1/125). Hal itu kerana Rasulullah saw. sentiasa melakukan iktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh ‘Aisyah ra.,
“Bahawasanya Nabi saw. selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan hingga beliau diwafatkan Allah Azza wa Jalla, kemudian isteri-isteri beliau beriktikaf setelah beliau (meninggal).” (Muttafaq ‘alaihi) (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/174).
Hadis ‘Aisyah di atas dengan jelas menerangkan bahawa Rasulullah saw. selalu beriktikaf selama sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. Namun, tidak bererti bahawa iktikaf itu mesti wajib sepuluh hari, dalam erti kata lain tidak boleh kurang dari sepuluh hari, sebab dalil hadis Ibnu Umar di atas telah menunjukkan bolehnya beriktikaf selama satu malam saja.
Oleh sebab itu, yang perlu diketahui adalah berapa tempoh iktikaf paling singkat yang dibolehkan syarak? Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini, perinciannya sebagai berikut:
Pertama, ulama mazhab Hanafi (Hanafiyah) berpendapat bahawa tempoh minimum iktikaf adalah “tempoh yang singkat tanpa batas tertentu” (muddatun yasiratun ghairu mahduudatin), tetapi cukup sekadar “berdiam diri” disertai niat. (Maraqi Al-Falah wa Nurul Idhah, hal. 119; dikutip oleh Wahbah az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/695). Ada riwayat lain mengenai pendapat ulama mazhab Hanafi, yakni minimum adalah satu hari (siang hari sahaja tanpa malamnya) (yaumun). (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 299).
Kedua, Ulama mazhab Maliki (Malikiyah) berpendapat tempoh iktikaf yang minimum adalah satu hari satu malam (yaumun wa lailatun). Pendapat yang terpilih (ikhtiyar) menurut ulama Malikiyah: iktikaf itu hendaklah tidak kurang dari sepuluh hari. (Asy-Syarhul Kabir, 1/541; Asy-Syarhush Shaghir, 1/725; dikutip oleh Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/695).
Ketiga, ulama mazhab Syafie (Syafi’iyah) berpendapat tempoh iktikaf yang minimum adalah suatu kadar yang dapat disebut “berdiam diri” (ukuuf/iqamah), iaitu lebih lama dari waktu thama’ninah dalam rukuk dan yang semisalnya (fauqa zaman at-tuma`niinah fi ar-rukuu’ wa nahwihi), dan tidak cukup disebut iktikaf kalau lamanya hanya selama waktu thama’ninah. (Lihat Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, 1/215; Syarbaini Al-Khathib, Al-Iqna’, 1/213; As-Sayyid Al-Bakri, I’anah Ath-Thalibin, 2/259; Zakariyya Al-Anshari, Fathul Wahhab, 1/125).
Keempat, ulama mazhab Hanbali (Hanabilah) berpendapat tempoh iktikaf minimum adalah “sesaat” (saa’atun), iaitu suatu kadar yang dapat disebut “berdiam diri” (mu’takifan laabitsan) walaupan hanya sekejap (lahzhatan). (Kasysyaf Al-Qana’, 2/404; dikutip oleh Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/695).
Ringkasnya, pendapat jumhur (Hanafiyah, Syafi’iyah, dan Hanabilah) menyatakan bahawa tempoh iktikaf minimum adalah “waktu yang singkat” (muddatun yasiiratun). Sedangkan pendapat ulama mazhab MALIKI berpendapat bahawa tempoh iktikaf minimum adalah satu hari satu malam (yaumun wa lailatun). (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/695; Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 299-300; Muhammad bin Abdurrahman Ad-Dimasyqi, Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A`immah, hal. 71).
Menurut penarjihan kami (wallahualam), yang lebih kuat (rajih) adalah pendapat jumhur. Hal ini disebabkan dalil-dalil tentang iktikaf dalam Al-Quran dan sunnah adalah dalil-dalil yang bersifat mutlak, yakni mutlak dari segi tidak menyebut batas tempoh yang minimum untuk iktikaf. Dengan kata lain, tidak terdapat dalil yang membatasi (men-taqyid) bahawa tempoh minimum iktikaf adalah satu hari satu malam (sebagaimana mazhab Maliki). (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, hal. 298).
Kaedah usul dalam masalah ini menyatakan,
“Al-Mutlaqu yajriy ‘ala ithlaaqihi maa lam yarid daliilun yadullu ‘alaa at-taqyiid.”
“Dalil yang mutlak tetap dalam kemutlakannya selagi tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya taqyid (pemberian batasan atau sifat tambahan).” (Wahbah Az-Zuhaili, Ushul Al-Fiqh al-Islami, 1/208; Imam Asy-Syaukani, Irsyadul Fuhul, hal. 164).
Oleh sebab itu, berdasarkan pendapat jumhur, sah hukumnya beriktikaf selama waktu yang singkat yang dapat disebut “berdiam diri” (al-lubtsu), meski hanya sebentar. Dalam mazhab Syafie bahkan menjelaskan bahawa sah beriktikaf walaupun lamanya hanya sedikit lebih lama daripada waktu untuk thama’ninah (katakanlah 20 hingga 30 saat saja).
Namun demikian, kami menganjurkan agar dalam beribadah kita berusaha bukan sekadar pada batas minimum, tetapi yang lebih dari itu. Meski pada batas minimum itu sudah sah dan tidak mengapa. Kaedah fikh menyatakan,
“Maa kaana aktsara fi’lan kaana aktsara fadhlan.”
Ertinya,
“Suatu aktiviti yang lebih banyak perbuatannya, lebih banyak pahalanya.” (Lihat Imam As-Suyuthi, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, Maktabah Syamilah, 1/257).
Berdasarkan kaedah itu, memisahkan solat witir yang tiga rakaat (yakni dua rakaat salam, ditambah satu rakaat salam), lebih utama dari menggabungkannya (tiga rakaat sekali salam), kerana lebih banyak niat, takbir, dan salamnya; solat sunnah dengan berdiri lebih utama daripada dengan duduk; solat dengan duduk lebih utama daripada solat dengan berbaring; dan seterusnya. Begitu juga dengan iktikaf satu jam lebih utama daripada iktikaf seperempat jam, dan iktikaf sepuluh hari lebih utama daripada lima hari, dan seterusnya.
Kesimpulannya, tidak ada dalil yang mewajibkan bahawa iktikaf itu lamanya mesti sepuluh hari. Iktikaf sah dilakukan walau hanya sebentar, sesuai pendapat jumhur yang lebih kuat (rajih). Namun, syarak lebih menyukai agar kita melakukan ibadah dengan perbuatan yang lebih banyak, maka iktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah afdal (lebih utama), dalam rangka mencari Lailatul Qadar. Wallahualam.
#hukumfikh #soaljawab #iktikaf

