[Tafsir Al-Quran] Jalan yang Lurus [Tafsir Surah Al-Fatihah: 6-7] [Bahagian 1/2]
Allah SWT berfirman,
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ
“Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.” [TMQ Al-Fatihah (1): 6-7]
Ayat ini termasuk dalam surah Al-Fatihah. Ia dinamakan Al-Fâtihah (pembuka) atau Fâtihat al-Kitâb (pembuka Al-Kitab) kerana ia berada di tempat pertama dalam mushaf al-Quran, bukan mengikut urutan turunnya. Nama lain baginya ialah Umm al-Kitab (Induk Al-Kitab) dan As-Sab’u al-Matânî (tujuh ayat yang diulang-ulang).[1]
Kandungan surah ini terbahagi kepada dua bahagian. Ayat pertama hingga ayat Malik yawm ad-dîn berisi pujian kepada Allah SWT. Ayat seterusnya hingga ayat terakhir mengandungi pengajaran bagi hamba dalam bermunajat kepada Tuhannya.[2]
Setelah mengikrarkan keesaan Allah SWT dalam ibadah dan permohonan, ayat ini mengandungi permohonan hamba kepada Tuhannya agar ditunjukkan jalan yang lurus; jalan orang-orang yang dikurniakan nikmatNya, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan jalan orang-orang yang sesat.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, “Ihdinâ as-shirâth al-mustaqîm” (Tunjukilah kami jalan yang lurus). Perkataan ihdi ialah fi’l al-amr (kata perintah) daripada perkataan al-hudâ atau al-hidâyah. Dari segi bahasa, al-hudâ ialah ar-rasyâd wa ad-dalâlah (penjelasan dan petunjuk).[3]
Perkataan ini adalah lawan dari ad-dhalâl (kesesatan). Adapun secara syarie, al-hudâ bermaksud al-ihtidâ’ ilâ al-Islâm wa al-îmân bihi (mendapat hidayah dalam Islam dan beriman kepadanya).[4]
Perkataan as-shirâth secara bahasa bermaksud at-tharîq (jalan).[5] Maksud as-shirâth al-mustaqîm ialah at-tharîq al-wâdhih al-lazî lâ i’wâja fîh (jalan yang sangat jelas yang tidak ada kebengkokan di dalamnya). Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, pemahaman ini telah disepakati oleh ahli takwil umat ini.[6]
Terdapat beberapa tafsiran mengenai apa yang dimaksudkan dengan as-shirâth al-mustaqîm. Sebahagian ahli tafsir menafsirkannya sebagai al-Quran. Tafsiran ini berdasarkan hadis Ali RA yang mendengar Rasulullah SAW bersabda mengenai al-Kitab,
وَهُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ
“Kitabullah adalah tali Allah yang kukuh, peringatan yang bijaksana, dan jalan yang lurus.” [HR At-Tirmidzi]
Yang lain berpendapat bahawa yang dimaksudkan ialah Islam. Ibnu Abbas berkata, “Itulah dînullâh yang tidak ada kebengkokan padanya.”[7]
Jabir juga menyatakan, “Itulah Islam yang lebih luas daripada antara langit dan bumi.”[8]
Begitu juga Ibnu Mas’ud dan sejumlah sahabat.[9] Ibnu Hanifah menegaskan, “Itulah agama Allah yang tidak diterima daripada hambaNya selainnya.”
Pendapat yang sama turut dikemukakan Ibnu Zaid bin Aslam.[10]
Al-Quran atau dîn al-Islâm sebagai shirâth mustaqîm (jalan lurus) disebutkan dalam Surah Al-An’am [6]: 126, 153). Mujahid menafsirkannya sebagai al-haq (kebenaran). Abu al-‘Aliyah berkata bahawa jalan yang lurus adalah Rasulullah SAW beserta sahabatnya.[11]
Pendapat tersebut kelihatan berbeza-beza. Namun, seperti yang ditegaskan oleh Ibnu Kathir, semua ini boleh dikembalikan kepada satu perkara, iaitu mengikut Allah dan RasulNya. Oleh itu, semua pendapat itu adalah benar dan saling berkaitan.[12]
As-Syaukani juga menyampaikan kesimpulan yang sama. Menurutnya, semua pendapat ini membenarkan dan menegaskan antara satu sama lain. Oleh itu, “Sesiapa yang mengikut Islam, al-Quran, atau Nabi SAW maka sesungguhnya dia telah mengikuti kebenaran.”[13]
Dalam ayat ini, orang beriman diajar untuk meminta hidayah kepadaNya. Kerana dalam setiap solat surat ini wajib dibaca, permintaan ini wajib diucapkan berulang kali setiap hari. Mengapa mereka masih diperintahkan untuk meminta hidayah kepadaNya lagi? Bukankah ia bermakna apabila seseorang itu telah beriman dia telah mendapat hidayahNya?
As-Syaukani menjelaskan bahawa makna thalab al-hidâyah (permintaan hidayah) dari orang yang telah mendapat hidayah adalah thalab az-ziyâdah (permintaan tambahan hidayah), sebagaimana firmanNya dalam Surah Muhammad [47]: 17.[14]
Ibnu Jarir at-Thabari menafsirkan ayat ini sebagai permohonan taufik agar tetap berada di atas hidayahNya. Ahli tafsir terkemuka itu menafsirkannya, “Waffaqnâ li as-thabât ‘alayhi” (berilah taufik kepada kami agar kami teguh dalam hidayah itu).[15]
Al-Baghawi juga menafsirkannya sebagai at-tathbît wa thalab mazîd al-hidâyah (pengukuhan dan permintaan tambahan hidayah).[16]
Menurut Ibnu Kathir, pemahaman ini selari dengan Surah An-Nisa’ [4]: 136 yang memerintahkan orang mukmin agar beriman. Perintah itu bukan untuk menghasilkan suatu hasil, tetapi agar kukuh, tetap berlangsung, dan berterusan.
Hal yang sama juga terdapat dalam Surah Ali Imran [3]: 8 yang memberitakan doa orang-orang beriman agar hati mereka tidak condong kepada kesesatan setelah diberi hidayah. Oleh itu, makna Surah Al-Fatihah [1]: 6 ialah: “Tetapkan kami sentiasa mendapat petunjuk itu dan tidak berpaling daripadanya kepada yang lain.”[17]
Dalam ayat seterusnya dijelaskan dengan lebih terperinci tentang jalan lurus yang dimaksudkan. Allah SWT berfirman, “Shirâth al-lazîna an’amta ‘alayhim” ([iaitu] jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat). Menurut Ibnu Abbas, jalan orang-orang yang diberi nikmat adalah jalan orang-orang yang beriman. Ibnu Zaid menafsirkannya sebagai jalan Nabi SAW beserta sahabatnya.[18]
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa mereka adalah, “Para malaikat, para nabi, siddiqûn, para syuhada’, dan orang-orang soleh yang taat dan beribadah kepada-Mu.”[19] Tafsiran ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ [4]: 69.
Gambaran tentang jalan yang lurus itu ditegaskan dan diperjelaskan lagi dengan frasa seterusnya, “ghayri al-maghdhûb ‘alayhim wa la ad-dhâllîn” (bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat).
Abdurrahman as-Sa’di menjelaskan bahawa orang-orang yang dimurkai ialah mereka yang mengetahui kebenaran, tetapi meninggalkannya, seperti yang berlaku kepada orang-orang Yahudi. Adapun orang-orang yang sesat ialah mereka yang meninggalkan kebenaran kerana kebodohan dan kesesatan, seperti yang dialami oleh orang-orang Nasrani.[20]
Jumhûr al-mufassirîn berpendapat bahawa makna al-maghdhûb ‘alayhim (orang-orang yang dimurkai) adalah orang-orang Yahudi, manakala ad-dhâllîn (orang-orang yang sesat) adalah orang-orang Nasrani.[21] Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu ‘Abbas, Ibnu Mas’ud, Rabi’ bin Anas, Ikrimah, Mujahid, dan Said bin Jubair.[22] Tafsiran ini berdasarkan hadis daripada ‘Adi bin Hatim bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,
إِنَّ الْمَغْضُوبَ عَلَيْهِمْ الْيَهُودُ وَ الضَّالِّينَ النَّصَارَي
“Sesungguhnya yang dimurkai ialah Yahudi dan yang sesat ialah Nasrani.” [HR Ahmad].
Tafsiran ini semakin dikukuhkan dengan banyaknya ayat yang memberitakan bahawa kaum Yahudi adalah kaum yang dimurkai-Nya (lihat Surah Al-Baqarah [2]: 61, Ali Imran [3]: 112, dan Al-Ma’idah [5]: 60). Kesesatan kaum Nasrani diberitakan dalam Surah Al-Maidah [5]: 77.
Pemahaman Hidayah dalam al-Quran
Dalam al-Quran, perkataan al-hudâ atau al-hidâyah disebut dalam banyak ayat. Walaupun menggunakan perkataan yang sama, ia merujuk kepada objek yang berbeza. Antara objek yang ditunjuk oleh perkataan al-hudâ atau al-hidâyah ialah: Pertama, hidayah yang diberikan sama rata kepada semua mukallaf berupa akal, kepintaran, dan ilmu pengetahuan penting yang meliputi segala sesuatu dengan kadar yang sesuai. Pemahaman ini terdapat dalam Surah Thaha [20]: 50.[23]
*Bersambung di bahagian 2/2
Sumber: Majalah Al-Wa’ie edisi Julai 2009

