Site icon MuslimahHTM News

NIKMATI HARI RAYA, RENUNGKAN HAKIKATNYA

NIKMATI HARI RAYA, RENUNGKAN HAKIKATNYA

Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

ALHAMDULILLAH. Tiba saatnya kita merayakan Hari Raya Aidilfitri 1445 H.

Sebahagian orang menyebut Hari Raya Aidilfitri sebagai Hari Kemenangan. Menang melawan hawa nafsu. Menang melawan syaitan. Menang melawan setiap kecenderungan dan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Inilah yang sepatutnya dirayakan oleh orang yang berpuasa.

Oleh sebab itu Hari Raya bukanlah diperuntukkan bagi mereka yang memiliki segala hal yang serba baru seperti baju baru, perhiasan baru, kenderaan baru, atau rumah baru. Hari Raya hanya layak dipersembahkan kepada mereka yang ketaatannya baru (bertambah). Dalam bahasa sebahagian ulama dinyatakan:

لَيْسَ الْعَيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الْجَدِيْدَ إِنَّمَا الْعِيْدُ لِمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيْدُ

Hari Raya bukanlah untuk orang yang mengenakan segala sesuatu yang serba baru. Hari Raya hanyalah untuk orang yang ketaatannya bertambah.

Dengan kata lain, pasca puasa seorang Muslim sepatutnya menyandang predikat takwa. Laallakum tattaqun (QS al-Baqarah [2]: 183).

Tentu takwa yang bertambah sempurna. Takwa yang semakin baik. Takwa yang sebenarnya (haqqa tuqaatih) (QS Ali Imran [3]: 102).

Mereka inilah yang layak bergembira di Hari Raya. Demikian sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian ulama:

لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الْجَدِيْدَ إِنَّمَا الْعِيْدُ لِمَنْ تَقْوَاهُ يَزِيْدُ

“Hari Raya bukanlah untuk orang yang mengenakan segala sesuatu yang serba baru. Hari Raya hanyalah untuk orang yang ketakwaannya bertambah.”

Salah satu definisi takwa yang sebenarnya dinyatakan oleh Imam al-Hasan. Kata Imam al-Hasan, sebagaimana dikutip oleh Imam ath-Thabari di dalam tafsirnya: Kaum yang bertakwa adalah mereka yang sentiasa takut terjerumus ke dalam apa sahaja yang telah Allah haramkan atas mereka dan menunaikan apa sahaja yang telah Allah wajibkan kepada mereka (Ath-Thabari, Jaami al-Bayaan fii Tawiil al-Quran, 1/232).

Orang yang layak bergembira pada Hari Raya sebenarnya juga bukanlah orang yang berpakaian serba halus (seperti sutera; mahal), tetapi mereka yang memahami jalan meraih redha-Nya. Demikian sebagaimana kata sebahagian ulama:

لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الرَّقِيْقَ إِنَّمَا الْعِيْدُ لِمَنْ عَرَفَ الطَّرِيْقَ

“Hari Raya bukanlah untuk orang yang mengenakan pakaian yang serba halus (mahal). Hari Raya hanyalah untuk orang yang memahami jalan (untuk meraih redha-Nya).”

Satu-satunya jalan untuk meraih redha -Nya tidak lain adalah takwa. Muslim yang bertakwa tentu Muslim yang sentiasa taat kepada Allah SWT dan menjauhi maksiat kepada-Nya.

Saat setiap hari seorang Muslim mampu untuk selalu taat dan menjauhi maksiat, saat itulah hari rayanya yang sebenarnya. Demikian sebagaimana kata Imam Ibnu al-Mubarak rahimahulLaah:

كل يوم لا أعصى الله فيه فهو يوم عيد

“Setiap hari yang di dalamnya aku tidak bermaksiat kepada Allah, itulah hari raya [bagiku]”. (Al-Mawardi, Adab ad-Dunyaa’ wa ad-Diin, I/131)

Alhasil, semoga kita dapat berhari raya setiap hari. Hari-hari yang di dalamnya kita tidak bermaksiat kepada Ilahi Rabbi.

Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.

HikmahAidilfitri #hariraya

Exit mobile version