[Nafsiyah] Hidup Adalah Ujian
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib
Allah SWT menegaskan dalam firmanNya, “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.” [TMQ al-Insan (76):2].
Ayat ini mengingatkan kita ketika Tuhan menciptakan manusia, Dia tidak biarkan mereka bersendirian. Ini juga dinyatakan dalam firmanNya,
“Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” [TMQ al-Qiyamah (75):36]
Dalam surah ini, Allah SWT memberi celaan, teguran, dan kritikan kepada manusia yang beranggapan apabila Allah SWT menciptakan dirinya, mereka dibiarkan begitu sahaja. Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja, tidak disuruh, tidak dilarang, dan tidak dihukum?
Ayat ini seolah-olah memberikan jawapan bahawa ketika Allah menciptakan manusia, mereka tidak dibiarkan begitu sahaja. Makan apa sahaja yang anda mahu. Tidur sesuka hati. Apa-apa sahaja yang dilakukan menurut sesuka hatinya, seperti yang dia mahu. Tidak begitu.
Sesungguhnya Allah SWT akan menguji manusia. Ini adalah perkara yang sangat penting yang perlu diketahui oleh manusia, bahawa apabila mereka hidup, Allah SWT akan memberi mereka ujian.
Ahli tafsir mengatakan bahawa ujian yang akan diberikan kepada manusia adalah berbentuk taklif hukum. Allah SWT memberi pelbagai perintah dan larangan. Itulah ujian yang akan diberikan kepada manusia. Ini sebagaimana dijelaskan para ulama bahawa ujian Allah SWT kepada manusia adalah dalam bentuk perintah dan laranganNya.
Justeru, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibnu Kathir, hasil ujian itu adalah kewujudan orang yang taat dan orang yang derhaka. Ini sebenarnya ujian yang diberikan oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman, “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” [TMQ al-Mulk (67):1-2]
Allah SWT menciptakan mati dan hidup untuk menguji manusia, dan untuk mengetahui mereka yang terbaik amalnya. Perkara ini amat penting untuk difahami oleh manusia. Ramai orang yang gagal dalam hidup sudah tentu akan gagal juga di akhirat apabila tidak faham bahawa hidup adalah ujian. Apabila perintah Allah SWT dilaksanakan, dia akan lulus. Sebaliknya, jika perintahNya diabaikan, dia akan mendapat dosa.
Jika perkara ini tidak difahami, manusia akan mengambil mudah perintah dan laranganNya. Dia akan mengabaikannya kerana dia tidak fikir ia adalah masalah.
Sesungguhnya, ini adalah kunci kepada kehidupan manusia. Kesedaran bahawa kita telah diciptakan oleh Allah SWT untuk menjalani ujian. Semoga bermanfaat.
*Disarikan dari channel YouTube Khilafah Channel Reborn

