[KAPSUL SYAWAL] Kesatuan dan Kemenangan Umat Islam di Aidilfitri
“IKATAN ISLAM”
Takbir kemenangan yang kita alunkan di hari raya adalah pertama kali dilaungkan ketika Perang Khandaq iaitu tatkala Islam dimenangkan atas kekufuran. Namun, pada hari ini, kesempitan hidup dan penindasan Umat Islam masih belum berakhir. Kedua-dua keperitan ini adalah disebabkan tiadanya hukum syariah dan pembelaan sebenar di bawah pemerintahan Islam yang sebenar.
Sabda Rasulullah SAW,
“Ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Setiap kali satu ikatan yang menjadi tempat bergantungnya manusia terlepas, akan diikuti dengan terlepasnya ikatan-ikatan yang lain. Dan ikatan pertama yang terlepas adalah pemerintahan, sedangkan ikatan terakhir (yang terlepas) adalah solat” [HR Ahmad].
Dari pemerintahan yang buruklah, wujudnya segala keburukan lain dalam negara serta kerosakan ke atas umat Islam. Pemerintahan merupakan tali utama kepada kebaikan dalam negara, tatkala tali ini terputus, maka terputuslah tali-tali kebaikan lain dengan mudahnya.
Justeru, hendaklah umat Islam mengikat semula pemerintahan Islam yang telah diburaikan bagi meraih kembali kemenangan hakiki. Selagi ikatan pemerintahan Islam tidak diikat semula, maka selagi itulah ikatan-ikatan kebaikan lainnya tidak akan terhasil.

