[Nafsiyah] Allah SWT Menciptakan Kedudukan Manusia Bertingkat-tingkat
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dalam kedudukan dan tingkatan yang berlainan di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT, “(Kedudukan) mereka itu bertingkat-tingkat di sisi Allah dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.” [TMQ Ali Imran (2) :163]
Kemudian, Allah SWT juga berfirman, “Dia melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya dan menyempitkan(nya). Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TMQ Asy-Syura (42): 12]
Ketika menciptakan manusia, Allah SWT memberikan perbezaan kedudukan kepada hamba-hambaNya. Hal ini merupakan salah satu bentuk keadilan Allah SWT. Semua ketetapan Allah SWT memiliki hikmah. Allah SWT berfirman, “Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-hambaNya. Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.” [TMQ Al-An’am (6): 18)]
Hikmah Kedudukan Manusia yang bertingkat-tingkat
Pertama, agar manusia menyedari bahawa di akhirat mereka tidak sama tingkatannya.
Firman Allah SWT, “Perhatikanlah bagaimana Kami melebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). Pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya.” [TMQ Al-Isra (17): 21]
Ketika dibangkitkan, manusia akan memiliki rupa yang berbeza. Bahkan, di syurga dan neraka pun memiliki tingkatan-tingkatannya. FirmanNya, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka.” [TMQ An-Nisa (4): 145]
Nabi SAW bersabda, “Syurga itu ada 100 tingkatan yang dipersiapkan Allah SWT untuk para mujahid di jalan Allah SWT. Jarak antara dua syurga yang berdekatan adalah sejauh jarak langit dan bumi. Jika kalian meminta kepada Allah SWT, mintalah syurga Firdaus. Syurga ini yang paling tengah dan paling tinggi. Di atasnya terdapat ‘Arsy milik Ar-Rahman, darinya pula (Firdaus) bercabang-cabang sungai-sungai syurga.” [HR Bukhari]
Kedua, melatih manusia bersyukur dan bersabar
Nabi SAW bersabda, “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruh urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati, kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan nikmat (kesenangan), dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan musibah (kesusahan), dia bersabar. Itu pun baik baginya.” [HR Muslim]
Allah SWT menjadikan tingkatan pada manusia tidak sama agar mereka sentiasa bersabar dan bersyukur. Sabar atas segala kekurangan dan kesusahannya, serta bersyukur atas kelebihan dan kenikmatan yang dia perolehi. Allah SWT memberikan kesempitan pada seorang muslim, agar dia ingat dan kembali kepadaNya. Kemudian, dia akan bermunajat, berdoa, dan bertawakkal kepada Allah SWT.
Ketiga, saling melengkapi dan memberi manfaat
FirmanNya, “dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain.”[TMQ Az-Zukhruf (43): 32].
Allah SWT menjadikan sebahagian orang lebih kaya, lebih pintar, atau lebih kuat dari yang lain agar saling melengkapi dan memberi manfaat.
Keempat, sebagai bentuk keadilan Allah SWT agar manusia menjadi baik dan benar
Allah SWT berfirman, “Jika Allah SWT melapangkan rezeki kepada hamba-hambaNya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi. Akan tetapi, Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hambaNya, lagi Maha Melihat.” [TMQ Asy-Syura (42): 27]
Ada sebahagian manusia yang menjadi tidak beriman dan lupa bersyukur ketika dia diberikan kekayaan, kesihatan, atau kelebihan lain. Ketika Allah menjadikannya kaya, dia lalai beribadah, jauh dari ketaatan, dan sibuk dengan urusan dunianya. Namun, ada juga sebahagian orang yang kaya, semakin taat padaNya dan suka bersedekah.
Sebagaimana sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya di antara hambaKu, keimanannya akan menjadi baik jika Allah SWT memberikan kekayaan kepadanya. Seandainya Allah SWT menjadikan dia miskin, tentu dia akan kufur. Di antara hambaKu, keimanannya akan menjadi baik jika Allah memberikan kemiskinan kepadanya. Seandainya Allah SWT menjadikannya kaya, tentu dia akan kufur.” [HR Abu Nu’aim]
Kelima, kekayaan dan kemiskinan adalah ujian
FirmanNya, “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” [TMQ Al-Anbiya (21): 35]
Kaya juga boleh menjadikan seseorang istidraj (jeratan nikmat yang disegerakan di dunia). Nabi SAW bersabda, “Bila kamu melihat Allah SWT memberi pada hamba dari (perkara) dunia yang diinginkannya, padahal dia terus berada dalam kemaksiatan kepadaNya, (ketahuilah) bahawa hal itu adalah istidraj dari Allah SWT.” [HR Ahmad]
Kemiskinan boleh pula menjadi hukuman atas dosa yang dilakukannya. Ini sebagaimana firman Allah SWT, “Musibah apa sahaja yang menimpa kamu, itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” [TMQ Asy-Syura: (42): 30]
Ketika kita telah mengetahui hikmah dari bertingkat-tingkatnya kedudukan manusia, semoga kita sebagai hambaNya berada di tingkat terbaik. Kedudukan kita seharusnya bukan di bawah, melainkan di atas, dekat dengan para salafus soleh. Besar harapan kita untuk berada di antara orang-orang yang diredhai dan dicintaiNya, iaitu bersama pada Nabi dan Rasul di syurga Firdaus.
Tentu kita tidak akan melepaskan peluang keemasan ini. Kita hendaklah berusaha untuk beramal dengan sebaik-baik amal keranaNya, menolong agamaNya (dakwah), dan memenuhi segala ketaatan kepadaNya. Semua hal itu tidak boleh dilakukan dengan bermalas-malasan. Tidak pula diraih dengan diam tanpa banyak tindakan. Cuba periksa di mana kedudukanmu di hadapanNya? Adakah berada di tingkat bawah atau atas? Ingatlah, setiap kita memiliki kedudukan yang berbeza-beza di sisiNya. Wallahu’alam bissawab.
Sumber: muslimahnewsid

