[Tafsir Al-Quran] Azab di Dunia bagi Orang-orang Kafir [Tafsir Surah Al-Mursalat (77): 16-190]
(Bahagian 1/2)
Oleh: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
أَلَمۡ نُهۡلِكِ ٱلۡأَوَّلِینَ ثُمَّ نُتۡبِعُهُمُ ٱلۡـَٔاخِرِینَ كَذَ ٰلِكَ نَفۡعَلُ بِٱلۡمُجۡرِمِینَ وَیۡلࣱ یَوۡمَىِٕذࣲ لِّلۡمُكَذِّبِینَ
Allah SWT berfirman, “Bukankah Kami telah membinasakan orang-orang yang dahulu? Kemudian Kami susulkan (azab Kami) terhadap orang-orang yang datang kemudian. Demikianlah Kami memperlakukan orang-orang yang berdosa. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).” [TMQ Al-Mursalat (77): 16-19]
Ayat-ayat ini menggambarkan hukuman Allah SWT kepada orang-orang yang berdosa semasa mereka di dunia. Menurut Fakhruddin ar-Razi, tujuan gambaran tersebut adalah untuk menakut-nakutkan orang-orang kafir dan memperingatkan mereka daripada kekufuran. [1]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, Alam nuhliku al- awwalîn [Bukankah Kami telah membinasakan orang-orang yang dahulu]? Ayat ini dimulakan dengan kata tanya yang berupa huruf hamzah. Kalimat tanya tersebut ialah istifhâm taqrîrî (kalimat tanya untuk menentukan/soalan retorik). [2]
Bentuk kalimat istifhâm taqrîri tersebut berguna untuk mengukuhkan kalimat selepas nafi. [3] Justeru, ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT telah benar-benar menimpakan azab kepada orang-orang yang dahulu.
Menurut Ahmad Mukhtar, perkataan halaka bermaksud mâta (mati); juga bermaksud kafara (ingkar). Frasa “Ahlakallâhu az-zhâlimîn” bermaksud ja’alahum yuhlikûn aw yamûtûn (menjadikan mereka binasa atau mati); ia juga boleh membawa maksud azzabahum (Dia mengazab mereka). [4]
Siapakah yang dimaksudkan dengan al-awwalîn dalam ayat ini? Mereka adalah orang-orang kafir dari umat-umat terdahulu mulai zaman Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW. [5] Menurut Abu Bakar al-Jazairi, mereka seperti kaum ‘Ad, Thamud, kaum Nabi Ibrahim, dan kaum Nabi Luth sehingga Nabi SAW diutus. [6]
Mereka semua adalah kaum yang diazab di dunia oleh Allah SWT. Azab itu ditimpakan kepada mereka kerana pengingkaran dan penentangan mereka terhadap rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka serta ajaran yang mereka bawa. Al-Khazin berkata, “Mereka adalah umat-umat yang lalu (dibinasakan) dengan azab di dunia ketika mereka mendustakan rasul-rasul mereka.” [7]
Ibnu Kathir juga berkata, “Mereka adalah orang-orang yang mendustakan para rasul serta menentang apa yang disampaikan oleh rasul-rasul tersebut.” [8]
Ibnu Jarir at-Thabari juga berkata, “Bukankah Kami telah membinasakan umat-umat terdahulu yang mendustakan para rasulKu dan mengingkari ayat-ayat-Ku dari kalangan kaum Nuh, ‘Ad, dan Thamud?” [9]
Kemudian Allah SWT berfirman, Thumma nuthbi’uhum al-âkhirîn (Kemudian Kami mengikutkan bersama mereka [dengan mengazab] orang-orang yang datang kemudian)?
Menurut ayat ini, Allah SWT juga menimpakan azab kepada umat-umat selepas mereka. Dalam ayat ini disebut: al-âkhirîn.
Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, mereka adalah kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Luth, dan penduduk Madyan. Semua kaum tersebut diazab seperti kaum-kaum terdahulu. [10]
Penjelasan yang sama turut dikemukakan oleh Az-Zamakhsyari dan Al-Alusi. [11] Menurut Al-Alusi, penduduk kafir Mekah tidak termasuk di dalamnya kerana mereka hanya akan dibinasakan selepas kaum-kaum tersebut. [12]
Namun, menurut Abu Bakar al-Jazairi kaum tersebut termasuk dalam al-awwalîn (kaum terdahulu), manakala al-âkhirîn ialah tokoh-tokoh kafir Mekah. Dia berkata, “Sesungguhnya Dia telah membinasakan orang-orang yang berdosa dari kalangan Quraisy dalam Perang Badar.” [13]
Ibnu Juzyi juga berkata, “Maksudnya, Quraisy dan lain-lain yang mengingkari Nabi Muhammad SAW.” [14]
Kaum yang datang kemudian itu diazab kerana mereka mengambil jalan yang sama seperti orang-orang terdahulu, iaitu mendustakan para rasul dan ajaran mereka. Menurut Fakhruddin ar-Razi, “Sesungguhnya Dia telah mengazab kaum kafir terdahulu kerana kekufuran mereka. Apabila kekufuran itu juga berlaku kepada orang-orang yang datang kemudian, mereka juga diazab.” [15]
Al-Khazin juga berkata, “Maksudnya, orang-orang yang mengikuti jalan orang-orang sebelum mereka dalam kekufuran dan pendustaan. Mereka adalah kaum Quraisy. Maksudnya, Kami juga mengazab mereka kerana pendustaan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW.” [16]
Menurut Syihabuddin al-Alusi, ini adalah wa’îd (ancaman) kepada penduduk Mekah dan berita tentang apa yang akan berlaku selepas hijrah. Seolah-olah dikatakan, “Kami juga telah memperlakukan orang-orang yang terkemudian yang seperti mereka (orang-orang terdahulu) sebagaimana Kami telah berbuat terhadap orang-orang terdahulu. Kami memperlakukan mereka menurut cara mereka. Ini kerana, mereka telah mendustakan seperti pendustaan orang-orang sebelum mereka.” [17]
Kemudian Allah SWT berfirman, “Kazâlika naf’alu li bi al-mujrimîn (Demikianlah Kami bertindak terhadap orang-orang yang berdosa).” Ayat ini menegaskan bahawa mereka semua mendapat azab dari Allah SWT atas sebab yang sama, iaitu kerana dosa yang mereka lakukan. Mereka sama-sama mujrimîn (orang-orang yang berdosa).
Al-Khazin berkata, “Sesungguhnya Kami bertindak terhadap mereka kerana adanya orang-orang yang mujrimîn (orang-orang yang berdosa atau yang melakukan kejahatan).” [18]
Dari segi bahasa, perkataan al-jarm bermaksud al-qath’ (memotong). [19] Perkataan tersebut kemudian berkembang sehingga kalimat jarama as-syakhshu bermaksud aznaba wa aksaba al-ithm (seseorang telah melakukan dosa dan mendapat dosa). [20]
Dosa besar yang mereka lakukan ialah mengingkari dan mendustakan Allah SWT dan Rasul-Nya. Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Sebagaimana Kami telah membinasakan mereka kerana kekufuran mereka kepadaKu dan pendustaan mereka terhadap RasulKu, maka sunnahKu yang berlaku kepada orang-orang kafir terdahulu seperti mereka. Demikian juga Kami membinasakan orang-orang yang jahat akibat kejahatan mereka apabila mereka melampaui batas dan berlaku zalim.” [21]
Ini merupakan ancaman keras kepada penduduk Mekah. [22] Malah menurut Ibnu Athiyah, ayat ini mengandungi makna mustqabal (masa yang akan datang) sehingga termasuk kaum Quraisy dan orang-orang kafir yang lain. [23]
Sesiapa yang mengambil jalan yang sama, iaitu mendustakan para rasulNya dan mengingkari ayatNya, bererti semua orang yang termasuk dalam al-mujrimîn akan mendapat perlakuan yang sama. Az-Zamakhsyari berkata, “Demikianlah, tindakan keras itulah yang akan Kami lakukan terhadap semua orang yang melakukan dosa.” [24] Menurut Ibnu Juzyi, mereka adalah orang-orang kafir. [25]
Abu Bakar al-Jazairi juga berkata, “Ini adalah ancaman yang jelas dan benar. Demi Allah, sesungguhnya Dia telah membinasakan orang-orang yang berdosa dan tidak seorang pun dari mereka yang terselamat.” [26]
Kemudian diteruskan dengan firmanNya: Wayl[un] yawma’iz[in] li al-mukazzibîn (Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang berdusta). Ayat ini sekali lagi menegaskan bahawa kecelakaan besar akan diterima oleh orang-orang yang berdusta, iaitu mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT dan para nabiNya. [27]
Mengenai penyebutan yang sama dengan ayat sebelumnya (iaitu ayat 15), terdapat sekurang-kurangnya dua pendapat.
Pertama, ini adalah takrîr (pengulangan) ayat sebelumnya. Tujuannya adalah untuk memberikan makna ta’kîd (penegasan). [28]
Kedua, ini bukan pengulangan. Kedua-duanya mempunyai penunjukan yang berbeza. Jika perkataan wayl (kecelakaan) dalam ayat sebelumnya adalah azab di akhirat, sedangkan dalam ayat ini adalah azab dunia. [29]
*Bersambung di Bahagian 2/2

