[Syarah Hadis] Dosa Besar Menguasai Tanah Secara Haram
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
مَنْ ظَلَمَ قِيدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Siapa sahaja yang merampas sejengkal tanah secara zalim, nescaya dia akan dibebani tujuh lapis bumi.” [HR Al-Bukhari dan Muslim].
Salim, dari bapanya RA, menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ أَخَذَ مِنَ الأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّه خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ
“Siapa sahaja yang mengambil tanah walaupun sedikit yang bukan haknya, nescaya dia dibenamkan pada hari kiamat ke dalam tujuh lapis bumi.” [HR Al-Bukhari].
Said bin Zaid RA menuturkan bahawa Rasulullah SAW juga bersabda,
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِه فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ سَرَقَ مِنَ الأَرْضِ شِبْرًا طُوِّقَه يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Siapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia syahid. Siapa sahaja yang mencuri tanah sejengkal,dia akan dibebani pada hari kiamat dengan tujuh lapis bumi.”[HR At-Tirmidzi].
Sabda Rasulullah SAW, “man zhalama…min al-ardhi” bermakna, “man akhadza min al-ardhi…bighayri haqqihi”. Ertinya, siapa sahaja yang mengambil tanah yang bukan haknya, iaitu tanpa dibenarkan oleh syariat.
Sabda Rasulullah SAW, “qîda syibr[in] (sejengkal sahaja)” bermakna, “syay`[an] (sedikit pun)”. Bermakna, seberapa pun luas tanah yang diambil atau dikuasai tanpa dibenarkan oleh syariat. Dalam hal ini berlaku mafhûm muwâfaqah min bâb al-awla. Jika sejengkal sahaja demikian, apalagi lebih dari itu.
Hadis ini memberikan beberapa pengajaran dan hukum:
Pertama, haram menguasai tanah milik pihak lain, baik milik individu, milik umum, atau milik negara secara zalim, iaitu secara tidak dibenarkan oleh syariat, berapa pun luasnya. Walaupun hadis di atas dinyatakan dengan bentuk perkhabaran, tetapi bermakna larangan (tuntutan untuk meninggalkan (thalab at-tarki]). Ini kerana bentuk perkhabaran yang disertai atau dikaitkan dengan ancaman maknanya adalah larangan. Pelakunya dibenamkan di tujuh lapis bumi pada hari kiamat menjadi qarinah bahawa larangan itu bersifat tegas. Jadi hukum menguasai tanah pihak lain secara haram atau illegal adalah haram hukumnya.
Kedua, pelakunya diancam dengan seksaan yang sangat keras, iaitu dibenamkan atau dibebani dengan tujuh lapis bumi. Oleh kerana itu, menurut Imam Al-Qurthubi, hal itu termasuk dosa besar. Abu Malik al-As’ariy menuturkan, Rasulullah SAW bersabda,
أَعْظَمُ الْغُلُول عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ذِرَاع أَرْض يَسْرِقُه رَجُلٌ فَيُطَوَّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Ghulul yang paling besar di sisi Allah pada hari kiamat adalah sehasta tanah yang dicuri seorang lelaki, lalu dia dibebani dengan tujuh lapis bumi.” [HR Ibnu Abi Syaibah dengan sanad hasan].
Potret seksaan di akhirat itu di antaranya dijelaskan di dalam hadis Imam Al-Bukhari yang kedua di atas, iaitu dengan dibenamkan ke tujuh lapis bumi. Dalam riwayat Ya’la bin Murrah, Rasulullah SAW bersabda,
أَيُّمَا رَجُلٍ ظَلَمَ شِبْرًا مِنْ الْأَرْض كَلَّفَهُ الله أَنْ يَحْفِرَه حَتَّى يَبْلُغَ آخِر سَبْع أَرَضِينَ، ثُم يُطَوَّقَه يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ
“Lelaki mana sahaja yang merampas sejengkal tanah secara zalim, Allah akan membebani dia agar menggali tanah itu hingga mencapai akhir tujuh lapis bumi. Kemudian tanah itu dibebankan pada dirinya pada hari kiamat hingga diputuskan di antara manusia.” [HR At-Tabarani dan Ibnu Hibban].
Al-Hakam bin al-Haris as-Sulami menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ أَخَذَ مِنْ طَرِيق الْمُسْلِمِينَ شِبْراً جَاء يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُه مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Siapa sahaja yang mengambil dari jalan kaum muslim sejengkal tanah sahaja, dia akan datang pada hari kiamat memikul tanah itu tujuh lapis bumi .” [HR Abu Ya’la, Ibnu Hajar al-‘Ashqalani berkata sanadnya hasan].
Ketiga, pihak lain itu bukan hanya perseorangan atau individu, tetapi mencakup semua pihak yang kepada dirinya dinisbahkan pemilikan tanah. Dalam hadis ini tidak disebutkan penisbahan tanah yang dikuasai secara haram itu milik siapa. Hal itu mengisyaratkan bahawa hukum itu berjalan tanpa mengira tanah itu milik siapa. Ertinya, ini berlaku atas penguasaan secara haram terhadap tanah milik individu atau kelompok; tanah milik umum seperti hutan, padang, pantai, dsb.; dan tanah milik negara.
Untuk tanah milik umum, ketentuan hukum syariat jelas, iaitu sama sekali tidak boleh dikuasai, dikuasakan, atau diberikan kepada individu atau sekelompok individu. Oleh kerana itu, menguasai hutan, pantai, lapangan umum, jalan, taman umum, galian yang depositnya besar, dan sebagainya, termasuk yang diancam oleh hadis ini. Ini kerana semuanya itu termasuk menguasai tanah dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syariat.
Keempat, menurut para ulama, hadis ini juga mengisyaratkan bahawa sesiapa sahaja yang memiliki tanah, mencakupi permukaan dan ke bawahnya. Dia berhak melarang siapa pun menggali di bawah permukaan tanahnya itu tanpa kerelaannya. Sesiapa yang memiliki permukaan tanah, dia pun memiliki bahagian dalamnya termasuk kandungannya, baik berupa batu, pasir, batu mulia, mineral, rikaaz dan sebagainya; kecuali mineral galian atau petroleum yang depositnya besar yang telah ditetapkan oleh syariat sebagai milik umum.
Orang yang memiliki tanah berhak menggali tanahnya, membina bangunan bawah tanah, dan membina bangunan di permukaan tanah itu menurut kemahuannya selama tidak membahayakan jiran tetangganya.
Jadi, sesiapa yang memiliki tanah, dia berhak atas tanah itu, baik yang di permukaannya mahupun yang terkandung di bawah tanahnya. Dia juga mempunyai kuasa penuh atas tanah itu, permukaannya, bahagian bawah permukaannya hingga ke bawah, dan ruang permukaannya dan di atasnya. Dia berhak menghalang pihak lain menguasai tanahnya itu. Bahkan jika dalam usaha mempertahankan tanahnya itu dia terbunuh, maka dia dihukum sebagai syahid akhirat sebagaimana dinyatakan dalam hadis riwayat Imam at-Tirmidzi di atas.
Penguasaan tanah milik individu lain dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syariat itu jelas merupakan kesalahan atau jenayah. Itu merupakan kezaliman dan termasuk dosa besar. Jika tanah itu milik ramai orang, tentu lebih berat lagi di sisi Allah kerana orang yang dizalimi lebih ramai lagi. Tindakan memudahkan penguasaan tanah secara tidak dibenarkan oleh syariat terhadap milik individu bererti memudahkan tindakan jenayah dan dosa besar. Lebih berat lagi di sisi Allah bilamana ada pihak yang memudahkan penguasaan tanah secara tidak dibenarkan oleh syariat terhadap tanah milik umum, yang merupakan milik seluruh rakyat, sebab yang dizalimi adalah seluruh rakyat. Di sini boleh dibayangkan betapa berat pertanggungjawaban atas penyerahan galian, hutan, dan tanah-tanah milik umum lain kepada pihak swasta individu atau korporat, apalagi asing.
Wallahu’alam bissawab.

