[KAPSUL SYAWAL] Perang Hamra Al-Asad
Perang Hamra Al-Asad berlaku pada 16 Syawal iaitu sehari selepas berakhirnya perang Uhud. Rasulullah saw mendapat berita bahawa orang Quraisy ingin kembali ke Madinah untuk menghabiskan umat islam secara total selepas kekalahan perang Uhud. Rasulullah saw bersama para sahabat mengejar musuh untuk menakut-nakutkan mereka agar pihak musuh berfikir bahawa pasukan muslim masih mempunyai kekuatan untuk berperang. Namun demikian, perang tidak tercetus kerana pasukan Abu Sufyan kembali ke Makkah setelah mendengar Rasulullah saw menunggu kehadiran mereka di Hamra Al-Asad.
Rasullullah saw bersabda, ” Demi Dzat yang jiwaku berada di TanganNya, sungguh batu telah di kirim kepada mereka. Seandainya mereka diserang dengannya, mereka seperti orang yang pergi kelmarin (tewas tanpa sisa)”
Ulasan:
Orang-orang yang dibenarkan menyertai perang Hamra Al-Asad hanyalah mereka yang terlibat dalam perang Uhud. Ini kerana kekalahan dalam perang Uhud telah menyingkap topeng golongan munafik dalam kalangan kaum muslimin. Meskipun tentera muslim dalam keadaan yang cedera dan kepenatan, mereka tetap patuh dengan perintah Rasulullah saw untuk keluar mengejar musuh ke Hamarul Asad yang terletak sejauh 8km dari Madinah.
Strategi ini adalah salah satu cara pasukan Islam menggambarkan kepada pihak musuh mereka mempunyai kekuatan yang luar biasa dan telah melemahkan mental pasukan musuh. Akhirnya pihak musuh tidak berani melancarkan serangan sebaliknya kembali terus ke Mekah.
Sumber: Sirah Ibnu Hisyam; Jilid 2 halaman 67-68.

