Site icon MuslimahHTM News

Generasi Pemenang Akhir Zaman

[NAFSIYAH] Generasi Pemenang Akhir Zaman

Oleh: Irfan Abu Naveed

 

Umat ini adalah umat yang dimuliakan dengan Islam (QS al-Maidah [3]: 5). Umat ini dijanjikan untuk memimpin muka bumi untuk menegakkan agama yang diredhai Allah (QS an-Nur [24]: 55). Umat ini disifatkan sebagai umat yang terbaik (QS Ali ’Imran [3]: 110) dan tidak layak untuk dihina (QS Ali ’Imran [3]: 139). Semua ini akan tercapai apabila umat beriman dengan akidah Islam dan beramal dengan syariah Islam. Predikat-predikat unggul inilah yang sepatutnya membolehkan umat yang besar ini memimpin, menyampaikan petunjuk dan rahmat Islam ke seluruh pelusuk alam, disamping mencegah kejahatan orang-orang fasik.

 

Tidaklah Allah SWT menurunkan nusrah-Nya kepada suatu umat untuk menegakkan pemerintahan Islam iaitu al-Khilafah, melainkan sifat keimanan dan amal soleh melekat pada mereka. Mereka beriman dengan akidah Islam dan beramal dengan syariah Islam. Allah SWT berfirman:

 

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ ٥٥

”Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi.” [TMQ an-Nur (24): 55].

 

Al-Imam Fakhruddin ar-Razi (w. 606 H) dalam At-Tafsîr al-Kabîr (XXIV/412) menyatakan:

 

أَيِ الَّذِينَ جَمَعُوا بَيْنَ الْإِيماَنِ وَالْعَمَلِ الصَّالِحِ

Mereka itulah orang-orang yang menyatukan antara keimanan dan amal soleh.

 

Mentafsirkan frasa wa ’amilû al-shâlihât, Al-Hafizh Ibn Jarir ath-Thabari (w. 310 H) menjelaskan, iaitu orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, dalam perkara-perkara yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan dan larang.1 Hal ini menegaskan mereka yang beramal soleh, iaitu mereka yang menegakkan syariah Islam. Sebabnya, perkataan ash-shâlihât dalam ayat ini diungkapkan dengan alif lâm ta’rîf yang bermakna khusus atau spesifik, iaitu syariah Islam, bukan sembarang syariah; yang juga berlandaskan oleh keimanan, iaitu akidah Islam. Mereka adalah golongan yang Allah sifatkan sebagai golongan yang beriman kepada Rasulullah SAW., memberikan pertolongan dalam dakwahnya dan mengikuti jalan Islam:

 

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ  ١٥٧

”Orang-orang yang beriman kepada dia (Muhammad SAW.), memuliakan dia, menolong dia dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepada dirinya (al-Quran), mereka itulah kaum yang beruntung.” [TMQ al-A’raf (7): 157].

 

Mereka adalah golongan yang berdakwah, menyampaikan hidayah Islam kepada umat manusia dan menegakkan keadilan Islam di tengah-tengah mereka:

 

وَمِمَّنۡ خَلَقۡنَآ أُمَّةٞ يَهۡدُونَ بِٱلۡحَقِّ وَبِهِۦ يَعۡدِلُونَ  ١٨١

“Di antara orang-orang yang Kami ciptakan ada umat yang memberikan petunjuk dengan haq dan dengan yang haq itu (pula) mereka menjalankan keadilan.” [TMQ al-A’raf (7): 181].

 

Mengimbas kembali dari Generasi Pemenang

 

Mengimbas dari kisah teladan yang terukir dalam sejarah besar umat Islam, maka akan menemui cerita dari semasa ke semasa yang tidak pernah ketandusan contoh. Tinta-tinta emas sejarah tidak pernah kering dari kisah sejuta kebaikan. Rasulullah SAW. dan para sahabatnya adalah generasi terbaik dari umat ini. Keunggulannya disaksikan oleh sejarah umat manusia. Bahkan Allah menggambarkan keadaan mereka:

 

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيّٖ قَٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٞ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسۡتَكَانُواْۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ  ١٤٦

”Berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sebilangan besar dari pengikut mereka yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 146).

 

Bukan sedikit para sahabat didikan Rasulullah SAW. boleh dinilai setara dengan seribu orang. Baik dari segi kualiti keimanannya, keberanian, keikhlasan mahupun ketepatan cara berfikirnya patut untuk dicontohi. Al-Imam al-Alusi (w. 1270 H) dalam Rûh al-Ma’âni (I/92) berkata:

 

إِنْ لَمْ تَكُوْنُوْا مِنْهُمْ فَتَشَبَّهُوْا * إِنَّ التَّشَبُّهِ بِالكِرَامِ فَلاَحٌ

”Walaupun kalian tidak seperti mereka,  jadilah seperti mereka/Sungguh menyerupai orang-orang mulia itu adalah sangat beruntung.”

 

Tercatat dalam sejarah penaklukkan Mesir dari penjajahan Rom, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a. menulis surat untuk ‘Amr bin al-‘Ash ra.:

 

أما بعدُ : فَقَدْ عَجَبْتُ لإِبْطَائِكُمْ عَنْ فَتْحِ مِصْرَ، إِنَّكُمْ تُقَاتِلُونهم مُنْذُ سِنِيْنَ، وَمَا ذَاكَ إِلا لِمَا أَحْدَثْتُمْ وَأَحْبَبْتُمُ مِنَ الدُّنْيَا مَا أَحَبَّ عَدُوُّكُمْ، وَإِنَّ الله تَبَارَكَ وَتَعَالَى لا يَنْصُرُ إِلا بِصِدْقٍ نِيَّاتِهِمْ

 

Ammâ Ba’d: “Aku hairan dengan kelewatan kalian dalam menakluki Mesir. Sungguh kalian telah memerangi Mesir bertahun-tahun lamanya. Hal ini tidak berlaku melainkan kerana apa yang telah kalian lakukan dan kecintaan kalian kepada dunia, sama seperti kecintaan musuh kalian. Sesungguhnya Allah  SWT tidak akan memberikan pertolongan-Nya melainkan dengan sebab lurusnya niat mereka.”

 

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., menghantar 4 orang sahabat. Mereka ialah: Al-Zubair bin al-‘Awwam, Al-Miqdad bin al-Aswad, ‘Ubadah bin al-Shamit, Maslamah bin Mukhallad—radhiyalLâhu ‘anhum. Mereka dinilai oleh Khalifah bersamaan dengan 4000 orang. Mereka dihantar untuk membantu ’Amr bin al-’Ash ra. Dalam menakluk Mesir yang telah berlangsung selama bertahun-tahun. Dalam Kanz al-‘Ummal (V/706) dan lain-lain dikatakan, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ra. juga berkata dalam suratnya:

 

إِنِّيْ قَدْ أَمْدَدْتُكَ بِأَرْبَعَةٍ آلاَفِ رَجُلٍ، عَلَى كُلِّ أَلْفِ رَجُلٍ مِنْهُمْ مَقَامِ اْلأَلْفِ

”Sesungguhnya aku telah menghantarkan bantuan kepada kamu (‘Amr bin al-‘Ash r.a.) sebanyak empat ribu orang. Satu orang mewakili seribu orang. Satu orang di antara mereka bersamaan dengan seribu orang.”

 

Apabila surat tersebut sampai, ‘Amr mengumpulkan orang-orang, lalu membacakan surat tersebut kepada mereka, kemudian memanggil keempat-empat sahabat yang dihantar tersebut untuk maju berdiri di hadapan orang ramai. Seterusnya beliau memerintahkan mereka untuk bersuci, solat dua rakaat, kemudian berdoa bersama-sama meminta pertolongan Allah. Akhirnya, mereka—bi idznilLâh wa bi nashrihi—berhasil merangkul Mesir ke dalam lipatan Islam.

 

Apa syarat meraih pertolongan-Nya? Berjuanglah dengan lurusnya iman dan benarnya amal perbuatan, dengan kata lain dengan lurusnya fikrah dan tharîqah.

 

Menariknya, generasi seperti ini tidak akan pernah hilang dan akan sentiasa ada sehingga Allah SWT menutup zaman umat ini dengan berakhirnya kejayaan, Rasulullah SAW. bersabda:

 

ولا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ

”Akan sentiasa ada sekelompok dari umatku, yang tegak di atas kebenaran. Tidak membahayakan mereka siapapun yang mencela mereka, atau menyelisihi mereka, sehingga tiba keputusan Allah dan mereka sentiasa dalam keadaan demikian.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

 

Mereka adalah golongan yang sentiasa bertawakal kepada Allah SWT. Tatkala Allah memberikan pertolongan kepada mereka, tidak ada satu makhluk-Nya yang dapat menghalang dan mengalahkan mereka:

 

إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِي يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ  ١٦٠

”Jika Allah menolong kalian, tiada siapa yang dapat mengalahkan kalian. Jika Allah meninggalkan kalian (tidak memberi kalian pertolongan), siapa lagi yang dapat menolong kalian (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang beriman bertawakal.” [TMQ Ali Imran (3): 160].

 

Sudahkah kita menetapkan diri kita sebagai generasi pemenang, penjemput nashrulLâh yang sama dengan dengan seribu orang? AlLâh al-Musta’ân.

 

Nota Kaki:

 

  1. Muhammad bin Jarîr Abu Ja’far al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl al-Qur’ân, juz XIX, hlm. 208.

 

Sumber: alwaie

 

#GenerasiPemenang #AkhirZaman

Exit mobile version