Site icon MuslimahHTM News

Mampukah Khilafah Menjadi Rumah Bersama?

[SOAL JAWAB] Mampukah Khilafah Menjadi Rumah Bersama?

Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman

Soalan:

Bolehkah Khilafah menjadi rumah bersama bagi semua warga rakyat, muslim mahupun non-muslim?

Jawapan:
Khilafah adalah negara yang berdiri di atas landasan akidah Islam, ideologi yang memuaskan akal, menenangkan hati, dan sesuai dengan fitrah manusia. Islam yang menjadi asas, pedoman, dan cara hidup (way of life) dalam kehidupan individu, bermasyarakat, dan bernegara adalah ideologi rahmatan li al-‘alamin dan adil.

Tegasnya Allah SWT. berfirman,

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Kami tidak mengutus kamu (Muhammad), kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.” [TMQ Al-Anbiya’ (29): 107].

Maksud “rahmat[an]” di sini ialah “jalb[an] li al-mashâlih” (mewujudkan kemaslahatan] dan “daf’[an] ‘an al-mafasid” (mencegah kerosakan). Rahmat Islam bukan hanya untuk orang Islam, tetapi juga non-muslim.

Bukan sahaja untuk manusia, tetapi juga haiwan. Bukan sahaja untuk makhluk hidup, malah benda-benda mati juga turut mendapat rahmat Islam apabila Islam diterapkan secara kaffah dalam kehidupan.

Oleh itu, apabila Islam dilaksanakan oleh negara Khilafah maka Khilafah benar-benar boleh menjadi rumah bersama bagi seluruh umat manusia.

Pertama: Islam adalah ideologi universal yang diturunkan oleh Allah SWT. untuk seluruh umat manusia. Tidak membezakan ras, suku, dan bangsa (Lihat: QS Al-Anbiya’ [29]: 107).

Dalam nas lain Allah SWT. berfirman,

يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [TMQ Al-Hujurat (49): 13].

Oleh kerana itu, di bawah naungan Khilafah, semua bangsa yang ada di dunia pernah hidup dengan aman, damai, sejahtera, dan merasakan keadilan yang luar biasa selama berabad-abad. Tiada diskriminasi atas dasar ras, suku, dan bangsa. Wilayahnya terbentang dari hujung Timur ke Barat, dan dari Utara ke Selatan, lebih daripada 22 juta km persegi, atau dua kali ganda wilayah Amerika Syarikat.

Ketua negaranya juga pernah dipegang oleh orang Arab, sejak zaman Khulafa Rasyidin, Bani Umayyah, Abbasiyyah hinggalah kepada bukan Arab, iaitu Khilafah Uthmaniyyah. Ibu kota juga berpindah-randah, dari wilayah Arab, iaitu Madinah, berpindah ke Parsi, Kufah, berpindah ke Syria, Damsyik, berpindah lagi ke Parsi, Baghdad, berpindah ke Afrika, Mesir, dan terakhir ke Eropah, Istanbul. Oleh itu, sesiapa sahaja—dari suku, ras, dan bangsa mana pun—boleh hidup di bawah naungan Khilafah dengan keadaan selamat, aman, sejahtera, dan merasakan keadilan.

Kedua: Meskipun Islam menjadi asas, pedoman, dan pandangan hidup, oleh itu Khilafah dinamakan Negara Islam (Daulah Islamiah), Khilafah bukan hanya untuk umat Islam. Orang bukan Islam juga boleh tinggal di dalamnya dengan selamat, aman, sejahtera, dan merasai keadilan yang luar biasa. Oleh itu, di dalam Khilafah, warga negaranya terbahagi kepada dua iaitu, muslim dan Zimmi kerana Khilafah adalah Negara Islam.

Walaupun terdapat perbezaan antara muslim dan Zimmi, baik muslim mahupun ahli zimmah mempunyai hak dan kewajipan yang sama, kecuali dalam perkara yang khusus untuk masing-masing. Oleh itu, walaupun ahli zimmah bukan Islam, tidak ada diskriminasi terhadap hak-hak mereka. Mereka juga tidak dipaksa untuk memeluk Islam (QS Al-Baqarah [2]: 256). Sebaliknya, mereka dibenarkan untuk terus berpegang kepada agama mereka, dengan syarat mereka taat dan patuh kepada sistem Islam yang berlaku di seluruh wilayah Khilafah.

Oleh kerana itu, orang bukan Islam yang hidup di bawah naungan Khilafah, walaupun masih berpegang kepada agama mereka, agama dan keyakinan mereka dilindungi oleh Islam. Nabi SAW. bersabda,

مَنْ أَذَى ذَمِيًّا فَأَنَا خَصَمَهُ

“Sesiapa yang menganiaya ahli zimmah, akulah yang akan menjadi penuntutnya.” (HR Al-Khatib al-Baghdadi).[1]

Oleh itu, tiga agama utama di dunia—Yahudi, Nasrani, dan Islam—boleh hidup bersama dengan aman, damai, dan merasakan keadilan yang luar biasa. Begitu juga penganutnya.

Di Sepanyol, direkodkan bahawa mereka telah hidup bersama dengan aman, damai, dan merasakan keadilan lebih 800 tahun di bawah naungan Khilafah.[2] Begitu juga di wilayah-wilayah Islam seperti Syria, Palestin, Jordan, Lubnan, Mesir, dan lain-lain dari abad ke-1 H hingga Khilafah runtuh pada abad ke-14 H.[3]

Selain tidak dipaksa meninggalkan agama mereka, tempat ibadat dan ibadat mereka juga dilindungi oleh Khilafah. Hukum yang dikenakan ke atas mereka juga sama, antara muslim dan non-muslim; kecuali dalam masalah akidah, ibadah, makanan, dan perkahwinan. Oleh itu, ketika mereka mencuri, membunuh, berzina, dan melakukan perbuatan jenayah yang lain, hukumannya adalah sama dengan orang Islam.

Malah dalam kaitan dengan jaminan hidup, baik mengenai keperluan asas individu (seperti pakaian, tempat tinggal, dan makanan) dan keperluan asas kolektif (seperti pendidikan, kesihatan, dan keselamatan), mereka mempunyai hak yang sama seperti orang Islam. Semuanya dijamin dan dipenuhi oleh negara tanpa membeza-bezakan antara muslim dan non-muslim.

Ketiga: Walaupun Khilafah menerapkan hukum Islam yang digali oleh para mujtahid, Khilafah bukanlah negara bermazhab. Oleh itu, semua mazhab dalam Islam—baik Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, dan lain-lain—boleh hidup dan berkembang. Kesemua mazhab ini boleh diajar, didakwahkan, dan diterapkan dalam masyarakat oleh pengikutnya, kecuali dalam perkara yang menjadi hukum positif yang telah diterap oleh negara.

Pada zaman kegemilangan Islam, apabila jumlah mujtahid mencecah ribuan, bahkan berjuta-juta, Khilafah tidak pernah menerapkan hukum A sampai Z sehingga diseragamkan dalam satu kodifikasi hukum Islam.

Sebaliknya, semuanya diserahkan kepada wali dan qadhi di setiap wilayah. Namun, setelah muncul fatwa penutupan pintu ijtihad dan jumlah mujtahid semakin berkurangan, barulah Khilafah Uthmaniyyah, pada zaman Sulaiman al-Qanuni, menerapkan perundangan di seluruh wilayahnya dengan menggunakan kitab Multaqa al-Abhur.

Namun begitu, dasar ini tidak menghalang pertumbuhan dan perkembangan mazhab dalam Islam. Ini dapat dibuktikan, ketika itu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi masih ramai ulama halaqah dari pelbagai mazhab.

Terdapat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali. Di sana umat Islam juga boleh belajar pelbagai mazhab. Keadaan ini berubah setelah kedua-dua tanah suci umat Islam ini jatuh ke tangan rejim Saud.

Berdasarkan ketiga-tiga fakta ini, apatah lagi sejarah panjang peradaban Islam dan umat Islam di bawah naungan Khilafah, seperti yang ditulis oleh Will Durant, dalam Târîkh al-Hadhârah, masihkah ada yang mengatakan bahawa Khilafah tidak boleh menjadi rumah bersama umat manusia atau umat beragama?

Fakta-fakta yang sedia ada, baik secara normatif, sejarah, atau empirikal, membuktikan sebaliknya. Bahawa satu-satunya ideologi dan negara yang boleh menjadi rumah bersama, menjamin keselamatan, keamanan, kesejahteraan, dan keadilan bagi seluruh rakyatnya dalam wilayah yang begitu luas dan waktu yang panjang tidak ada yang lain, kecuali Islam. Maka, pelik jika ada orang Islam yang ragu-ragu, malah memusuhi Islam dan Khilafah.

Oleh itu, jika ada orang Islam seperti itu, hanya ada dua kemungkinan. Pertama: Dia bodoh, tidak memahami fakta-fakta Islam dan Khilafahnya. Kedua: Otaknya dicuci oleh negara kafir penjajah sehingga salah faham, kemudian membenci dan memusuhi Islam dan Khilafah.

Mereka inilah yang kemudian digunakan untuk menyekat dan menyerang Khilafah, seperti yang distigma oleh negara kafir penjajah kerana boleh mengancam kepentingan mereka di negara umat Islam.

Wallahualam.

Nota kaki:

[1] Walaupun sebahagian ulama hadis mengatakan hadis ini lemah, makna hadis ini telah dikuatkan oleh beberapa hadis, yang sanad dan perawi yang kuat. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab Sahih-nya, Abu Dawud, dan At-Tirmidzi dalam kitab Sunan-nya. Kerana status hadis ini, sekurang-kurangnya hasan dan boleh digunakan sebagai hujah.

[2] Ini diabadikan oleh Mc I Dimon, ahli sejarah Eropah, dalam Spain in the Three Religion.

[3] Selain bukti normatif dan sejarah, bukti empirikal masih boleh dilihat hari ini di Jordan, Palestin, Mesir, dan Istanbul di mana warisan non-muslim masih utuh, tiada satu pun yang dirosakkan oleh Khilafah.

Sumber:
https://muslimahnews.net/2024/04/06/28589/

SoalJawab #Khilafah

Exit mobile version