[Nafsiyah] Kematian
“Beruntunglah bagi orang yang sentiasa mengingati saat datangnya kematian. Tidaklah seorang hamba memperbanyak mengingati kematian, kecuali terlihat (pengaruhnya) pada amalannya.” Inilah kalimat yang pernah disebut oleh Tsabit al-Bunani RA.
Firman Allah SWT, Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)” [TMQ al-Jumu’ah (62): 8].
Dalam surah yang lain, Allah SWT berfirman, “ Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [TMQ al-Mulk (67): 2].
Ibnu Mas’ud RA mengatakan, “Tidak ada waktu bagi seorang mukmin untuk bersenang lenang, kecuali apabila dia sudah menemui Allah.”
Pemberi Nasihat
Al-Haris bin Idris rahimahullah mengatakan, “Aku pernah bertanya kepada Daud ath-Tha’i rahimahullah, “Berikanlah nasihat untukku.” Beliau lalu menjawab, “Tentera kematian sentiasa menunggu kedatanganmu”.
Sahabat Rasulullah SAW, Amir bin Yasir RA juga berkata, “Cukuplah kematian sebagai pemberi nasihat dan pelajaran. Cukuplah keyakinan sebagai kekayaan. Cukuplah ibadah sebagai kegiatan yang menyibukkan.”
Dan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang lain juga merindukan kematian. Abu Darda RA mengatakan, “Aku senang dengan kemiskinan, kerana perkara itu membuatku lebih tunduk kepada Tuhanku. Aku senang dengan kematian, kerana kerinduanku kepadaNya. Aku menyukai sakit, kerana sakit itu akan menghapuskan dosa-dosaku.”
Wahai sahabatku, adakah kita mampu mempunyai perasaan yang sama seperti yang dirasakan oleh Abu Darda? Merindui kematian kerana mengharapkan pertemuan dengan Allah SWT. Adakah mungkin sebenarnya kita bimbang tentang kematian kerana tidak banyak peruntukan amalan yang mampu disediakan. Oleh itu, teruskanlah beramal soleh seolah-olah kita akan mati esok hari.
Kita sering lalai dalam menjalani pelbagai kewajipan, termasuk memenuhi amanah dakwah. Ini kerana kita fikir kita akan hidup lama, padahal barangkali esok kita kembali menemui Allah SWT. Sedangkan amanah dakwah masih menimbun dan belum lagi dilaksanakan. Hujah apakah yang mampu kita sampaikan di hadapan Allah SWT?
Wahai sahabatku, hampir saban hari kita sentiasa disaksikan dengan kematian. Satu per satu Allah SWT tunjuk kematian sanak saudara, kawan-kawan, sahabat seperjuangan, dan keluarga secara bergilir-gilir. Kematian merupakan persinggahan pertama manusia di alam akhirat.
Al-Qurthubi menyebut, “Kematian ialah terputusnya hubungan antara roh dengan jasad, berpisahnya kaitan antara keduanya, berubah keaadannya, dan berpindah dari satu negeri ke negeri yang lain.” [At-Tadzkirah].
Firman Allah SWT, “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). .” [TMQ az-Zumar (39): 42].
Ketahuilah Tujuan Hidupmu
Sahabatku, sesungguhnya orang yang cerdas akalnya adalah orang yang mengetahui tujuan hidupnya. Dia memahami bahawa tujuan hidupnya adalah semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Kemudian, dia akan dikembalikan untuk menemui Tuhannya dan akan dipertanggungjawabkan segala amalannya. Oleh yang demikian, persiapkanlah diri sebaik mungkin bagi mencapai matlamat tujuan hidup tersebut.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.” [ HR Ibnu Majah, Thabrani dan Al-Haitami ].
Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW membuat gambar empat persegi panjang. Di tengah-tengah ditarik satu garis sampai keluar. Kemudian baginda membuat garis-garis pendek di sebelah garis yang ditengah seraya bersabda: Ini adalah manusia dan empat persegi panjang yang mengelilinginya adalah ajal. Garis yang diluar ini adalah cita-citanya, serta garis yang pendek adalah hambatan-hambatannya. Apabila dia dapat menghadapi hambatan yang satu, maka dia akan menghadapi hambatan-hambatan yang lain. Dan apabila dia menghadapi hambatan yang lain, maka dia akan menghadapi hambatan yang lain lagi. ” [HR Bukhari].
Berhentilah berangan-angan. Bersegeralah melaksanakan amalan dengan penuh harapan semoga Allah SWT memberi ganjaran pahala dan syurga.Sebagaimana yang dikatakan oleh Anas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak Adam akan menjadi tua dan hanya tersisa darinya dua perkara, iaitu impian dan angan-angannya.”
Di antara bentuk zikrul (mengingat) maut adalah bertujuan memendekkan angan-angan dan tidak menunda untuk beramal soleh. Dengan mengingati kematian,kita akan termotivasi untuk terus memperbaiki amalan dan bersegera melakukan amal soleh. Kematian tidak perlu ditakuti, sepatutnya kita hendaklah sentiasa bersedia sebaik-baiknya sebelum dihadapkan kepada Allah SWT.Wallahu’alam bissawab.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2024/04/30/29176/
Kematian

