Benarkah Lelaki Muslim Dilarang Menikahi Perempuan Non-muslim?
Penulis: Halima Noer
Rentetan isu perkahwinan beza agama. Timbul persoalan benarkah lelaki muslim dilarang menikahi perempuan non-muslim? Tulisan berikut akan membahasnya.
Hukumnya Dibezakan Menjadi Dua
Hukum lelaki muslim menikahi perempuan non-muslim dibezakan menjadi dua.
- Pertama, lelaki muslim boleh hukumnya menikah dengan wanita non-muslim ahlul kitab, iaitu perempuan beragama Yahudi dan Nasrani. Dalilnya adalah surah Al-Maidah ayat 5 dengan syarat selagi tidak menimbulkan mudarat bagi lelaki muslim tersebut.
- Kedua, lelaki muslim haram hukumnya menikah dengan perempuan musyrik, iaitu perempuan selain beragama Yahudi dan Nasrani. Dalilnya adalah surah Al-Baqarah ayat 221. Adapun penjelasannya adalah sebagai berikut.
Pertama, hukum menikahi perempuan ahlul kitab.
Telah dijelaskan oleh penulis kitab Nizhamul Ijtima’iy fil islam, yakni Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, bahawa Allah SWT telah memperbolehkan lelaki muslim untuk menikahi perempuan ahlul kitab, iaitu perempuan Yahudi atau Nasrani.
Allah SWT berfirman, “ Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (TMQ Al-Maidah [5]: 5).
Syeikh Taqiyuddin menuturkan bahawa ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa para perempuan ahlul kitab yang senantiasa menjaga kehormatannya adalah halal untuk dikahwini oleh lelaki muslim. Makna “ujûrahunna” adalah “muhûrahunna” adalah ‘mahar-mahar mereka’. Oleh kerana itu, seorang lelaki muslim boleh mengawini perempuan ahlul kitab, baik Yahudi mahupun Nasrani, sebagai pelaksanaan ayat tersebut. Ayat tersebut telah menyebutkan bahawa para perempuan ahlul kitab yang senantiasa menjaga kehormatan adalah halal bagi lelaki muslim. Ertinya, menikahi para perempuan ahlul kitab yang menjaga kehormatannya adalah halal bagi kalian.
Imam Thabari menafsirkan surah Al-Maidah ayat 5 tersebut dengan berkata, Firman Allah taala yang berbunyi (وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ مِنْ قَبْلِكُمْ), ertinya adalah ‘perempuan-perempuan merdeka dari orang-orang yang diberi kitab, iaitu yang beragama Yahudi dan Nasrani’.” (Tafsir Al-Thabari, 6/104).
Para fuqaha dari berbagai mazhab–di antaranya adalah mazhab yang empat, iaitu mazhab Imam Abu Hanifah, Maliki, Syafi’i, dan Ahmad–telah sepakat mengenai bolehnya seorang lelaki muslim menikahi perempuan ahlul kitab (kitâbiyyah), iaitu perempuan beragama Yahudi dan Nasrani, berdasarkan dalil ayat tersebut. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/143; Abdurrahman al-Jaziri, Al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/73; Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/369; Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/145).
Adapun yang dimaksud perempuan ahlul kitab di ayat tersebut, mencakupi perempuan ahlul kitab pada masa Rasulullah SAW mahupun perempuan ahlul kitab pada masa setelah wafatnya beliau SAW, hingga sampai masa sekarang, bahkan hingga sampai nanti, tidak ada perubahan. Semuanya termasuk dalam pembahasan perempuan ahlul kitab.
Hal ini kerana penyimpangan yang dilakukan ahlul kitab tidak hanya terjadi saat ini, tetapi sejak turunnya Al-Quran mereka sudah menyimpang. Akibatnya, perempuan yang merupakan ahlul kitab yang diizinkan menikah dengan lelaki muslim pada zaman Nabi Muhammad SAW dengan zaman sekarang adalah sama.
Namun, dalam kes-kes tertentu, pernikahan tersebut dapat diharamkan secara syarie jika menimbulkan bahaya (mudarat/mafsadat), Misalnya, suami sebaliknya murtad mengikuti agama Nasrani, atau anak-anak yang dilahirkan dalam pernikahan tersebut mengikut agama ibunya yang kafir, walaupun hukum pokoknya yang mubah tetap ada dan tidak hilang.
Hal ini berdasarkan kaedah fikih yang dirumuskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani–rahimahullah–sebagai berikut, “Setiap kes dari kes-kes perkara yang mubah, jika terbukti berbahaya atau membawa kepada bahaya, maka kes itu diharamkan, sedangkan perkara pokoknya tetap mubah.” (Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, 3/456).
Kedua, hukum menikahi perempuan musyrik.
Lelaki muslim haram hukumnya menikah dengan perempuan musyrik, iaitu perempuan kafir yang beragama selain Yahudi dan Nasrani, atau yang tidak diturunkan suatu kitab kepada mereka. Misalnya, perempuan beragama Hindu, Buddha, Konfusianisme, Majusi, ataupun penganut Komunisme (ateis atau tidak beragama), atau penyembah berhala (watsaniyah), dan yang semisalnya.
Dalilnya firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu menikahi perempuan-perempuan musyrik, sebelum mereka beriman. Sungguh, hamba sahaya perempuan yang beriman lebih baik daripada perempuan musyrik meskipun ia menarik hatimu.” (TMQ Al-Baqarah: 221).
Imam Thabari menafsirkan ayat tersebut dengan berkata, “Dari Qatadah bahawa dia berkata mengenai firman Allah yang teks Arabnya berbunyi sebagai berikut (وَلَا تَنكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنَّ), ertinya ‘janganlah kamu menikahi perempuan-perempuan musyrik’, maksudnya adalah perempuan-perempuan musyrik Arab yang tidak mempunyai suatu kitab yang dapat mereka baca.” (Tafsir Ath-Thabari, 4/363).
Disebabkan Tidak Memahami Agama
Dari pembahasan di atas, jelas bahawa lelaki muslim dilarang secara mutlak menikahi perempuan musyrik. Namun, mereka tidak dilarang menikahi perempuan ahlul kitab dengan syarat pernikahan tersebut tidak membawa mudarat.
Sayangnya banyak di antara umat Islam yang tidak faham akan hal ini. Akibatnya, ada lelaki muslim yang menikahi perempuan Hindu atau Buddha kerana menganggap hukumnya sama dengan hukum menikahi perempuan ahlul kitab (Nasrani atau Yahudi), yakni boleh.
Ada juga lelaki muslim yang menikahi perempuan ahlul kitab semata-mata kerana kecantikannya atau kekayaannya, tanpa memandang lagi pernikahan tersebut membawa mudarat bagi agamanya ataukah tidak.
Akhirnya, tidak sedikit lelaki muslim yang memilih murtad (keluar dari agama Islam) mengikuti agamanya isterinya. Banyak juga pasangan yang berkahwin beza agama semacam ini yang akhirnya melahirkan anak-anak yang lebih memilih mengikuti agama ibunya yang kafir daripada memilih Islam agama ayahnya. Ini kerana sang ayah tidak mendidik anak-anaknya, melainkan menyerahkan kepada sang ibu yang non-muslim sehingga wajar akhirnya anak mengikuti agama ibunya.
Sepatutnya dalam keluarga seperti ini, ayah bertanggungjawab penuh membangun akidah Islam yang kukuh pada anak-anaknya, termasuk mendakwahi isterinya (ibu dari anak-anaknya) sehingga akhirnya masuk agama Islam. Ini kerana membangun keyakinan yang kuat bahawa hanya dengan meyakini Islam-lah mereka akan berkumpul lagi di syurga bersama-sama.
Pentingnya Memperhatikan Dharar
Sekalipun lelaki muslim dibolehkan menikahi perempuan ahlul kitab, tetapi penting melihat mudarat atau dharar yang terjadi. Lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan hakikat pernikahan dalam Islam untuk mewujudkan keluarga sakinah mawadah warahmah, dan punya visi masuk syurga bersama-sama.
Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Persoalannya, mungkinkah terwujud sakinah jika pasangan berbeza agama? Bagaimana mungkin boleh menggapai sakinah jika ayah mengajak menyembah Allah, sedangkan ibu mengajak menyembah selain Allah? Jelas tidak mungkin.
Demikian juga, apakah mungkin dapat menjaga keluarga dari api neraka jika pasangan berbeza agama? Jelas tidak. Faktanya yang terjadi adalah ayah mengajak syurga dengan keimanannya, sedangkan sang ibu mengajak ke neraka dengan kekufurannya. Jelas ini adalah pernikahan yang tidak kita kehendaki.
Khatimah
Demikianlah, betapa pentingnya setiap lelaki muslim memerhatikan dharar-nya menikahi perempuan ahlul kitab, sekalipun ini hal yang diperbolehkan di dalam Islam. Sayangnya, dalam keadaan hari ini, ketika sistem Islam (Khilafah) belum tegak dan syariat Islam belum diterapkan secara keseluruhan, banyak masalah yang terjadi kerana lelaki muslim yang tidak peduli dengan dharar yang ditimbulkan ketika salah memilih perempuan yang akan dia nikahi.
Ketika Khilafah tegak, boleh dipastikan dharar seperti itu tidak akan berlaku. Kalaupun ada, jumlahnya pasti jauh lebih sedikit berbanding situasi yang berlaku pada hari ini. Ini kerana hanya dalam sistem Khilafah, dharar ini diperhatikan oleh semua pihak, bahkan oleh negara. Khilafah yang akan memastikan dan menjaga agar semua pernikahan yang dilangsungkan terhindar dari dharar dan benar-benar sesuai syariat Islam.
Ini kerana Khilafah adalah junnah (perisai). Ia adalah penjaga dan pelindung rakyat dari berbagai bahaya yang mengancam, termasuk pernikahan beza agama yang menimbulkan dharar. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu perisai yang (orang-orang) akan berperang di belakangnya dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” (HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud).
Wallahualam bissawab.
Dipetik dan diolah dari sumber asal:
https://muslimahnews.net/2024/05/16/29533/

