Site icon MuslimahHTM News

Tuduhan Palsu Orang Musyrik terhadap Al-Quran [Tafsir Surah Al-Ahqaf (46): 8]

[Tafsir Al-Quran] Tuduhan Palsu Orang Musyrik terhadap Al-Quran [Tafsir Surah Al-Ahqaf (46): 8]

Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.

 

أَمۡ يَقُولُونَ ٱفۡتَرَىٰهُۖ قُلۡ إِنِ ٱفۡتَرَيۡتُهُۥ فَلَا تَمۡلِكُونَ لِي مِنَ ٱللَّهِ شَيۡ‍ًٔاۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَا تُفِيضُونَ فِيهِۚ كَفَىٰ بِهِۦ شَهِيدَۢا بَيۡنِي وَبَيۡنَكُمۡۖ وَهُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ  ٨

“Bahkan mereka berkata, ‘Dia (Muhammad) telah mengada-adakan al-Quran.’ Katakanlah, ‘Sekiranya aku mengada-adakan al-Quran, kamu tidak mempunyai kuasa sedikit pun untuk mempertahankanku dari (azab) Allah.’ Dia lebih mengetahui apa sahaja yang kamu bicarakan tentang al-Quran. Cukuplah Dia menjadi saksi antara aku dan kamu.’” [TMQ Al-Ahqaf (46): 8].

 

Dalam ayat sebelumnya telah dijelaskan tentang sikap orang musyrik ketika dibacakan al-Quran, ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada NabiNya. Mereka sebenarnya telah menyaksikan kebenaran al-Quran. Namun, mereka tetap menolak dan menutup kebenaran dengan menyebutnya sihir yang nyata.

 

Ayat ini kemudian menjelaskan tuduhan mereka yang lain terhadap al-Quran. Mereka menuduh al-Quran sebagai karya dan rekaan Rasulullah SAW. Ayat ini kemudian memberinya petunjuk untuk menjawab tuduhan keji mereka.

 

Tafsiran Ayat

 

Allah SWT berfirman,

أَمۡ يَقُولُونَ ٱفۡتَرَىٰهُۖ ٨

“Bahkan mereka berkata, ‘Dia (Muhammad) telah mengada-adakan al-Quran.'”

 

Ayat ini masih berbicara tentang orang kafir. Dalam ayat sebelumnya diberitakan bahawa mereka menyebut al-Quran sebagai sihir yang nyata. Kemudian diikuti dengan ayat ini yang mengkhabarkan tuduhan mereka yang lain tentang al-Quran.

 

Tuduhan yang lain itu boleh difahami dari huruf « أَمْ » pada permulaan ayat ini. Menurut ahli-ahli tafsir, huruf tersebut dalam konteks ayat ini bermaksud « بَلْ، الْإِضْرَابِيَّةِ » (maksudnya, bahkan). [1]

 

Menurut Wahbah az-Zuhaili, al-idhrâb ialah berpindah dari satu makna ke makna yang lain. [2] Iaitu beralih dari sebutan mereka bahawa ayat-ayat al-Quran sebagai sihir kepada perkataan lain bahawa Rasulullah SAW telah mengada-adakan sendiri apa yang Baginda bawa. [3]

 

Syihabuddin al-Alusi berkata, “Berpaling dan berpindah dari cerita tentang keburukan mereka yang terdahulu kepada cerita tentang sesuatu yang lebih buruk, iaitu pendustaan yang dilakukan secara sengaja atas nama Allah SWT. Ini kerana, dusta, khususnya dusta atas nama Allah SWT, adalah keburukan yang telah disepakati sehingga semua orang membencinya. Ini berbeza dengan sihir. Walaupun sihir buruk, namun keburukannya tidak mencapai tahap yang hampir pengetahuan tentangnya adalah termasuk dalam perkara yang disenangi.”  [4]

 

Menurut ayat ini, mereka mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah membuat-buat al-Quran dan mendakwa ia datang daripada Allah SWT. Dinyatakan: « افْتَراهُ » (dia mengada-adakan al-Quran). Iaitu « اخْتَلَقَهُ » (membuat-buat, mengada-adakan).  [5]

 

Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Atau adakah orang-orang yang musyrik kepada Allah SWT dari kalangan Quraisy berkata Muhammad SAW mengada-adakan al-Quran ini, membuat-buat dan mereka-rekanya secara dusta?” [6]

 

Tuduhan mereka diingkari oleh al-Quran. Hal ini dapat difahami dari huruf hamzah di awal ayat ini yang merupakan al-inkâri wa al-ta’ajjubi (pengingkaran dan kehairanan) terhadap perbuatan mereka. [7]

 

Menurut as-Syaukani, ayat ini mengandungi kecaman dan celaan yang sangat jelas. [8]

 

Menurut Imam Al-Qurthubi, ia adalah kerana Muhammad SAW tidak akan mampu membuat al-Quran sehingga dia mengatakan dan mengada-adakan atas nama Allah SWT. “Seandainya Baginda mampu berbuat demikian, sedangkan orang Arab lain tidak mampu, bererti kemampuannya adalah mukjizat baginya kerana itu adalah di luar adat kebiasaan manusia. Jika ia adalah mukjizat, bermakna ia menjadi pembenaran daripada Allah SWT kepadanya. Ini kerana, Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan membenarkan orang yang berdusta sehingga Baginda bukan orang yang mengada-adakannya.” [9]

 

Kemudian diteruskan,

قُلۡ إِنِ ٱفۡتَرَيۡتُهُۥ فَلَا تَمۡلِكُونَ لِي مِنَ ٱللَّهِ شَيْئًا ٨

“Katakanlah, ‘Seandainya aku mengada-adakan al-Quran, kamu tidak mempunyai kuasa sedikit pun mempertahankan aku dari (azab) Allah itu.’”

 

Inilah jawapan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada RasulNya untuk disampaikan kepada orang-orang kafir yang melemparkan tuduhan dusta itu. Maksudnya, jika Baginda sendiri yang membuat al-Quran, kemudian berdusta mengatakan bahawa ia datang dari Allah SWT, nescaya Dia tidak akan diam. Apabila Dia menimpakan seksaNya, mereka tidak akan dapat menghalang datangnya seksa tersebut. Jika demikian halnya, untuk apa aku berdusta kepada kamu? Demikian penjelasan sebahagian ahli tafsir.

 

Imam Al-Qurthubi berkata, “Maksudnya, kamu akan tidak mampu menolak azab Allah pada diriku. Jika demikian keadaannya, bagaimana mungkin dia berdusta atas nama Allah SWT demi kamu.”  [10]

 

Penjelasan serupa turut dikemukakan oleh Fakhruddin ar-Razi.  [11]

 

Adapun jika Nabi SAW berdusta atas nama Allah SWT, nescaya Dia tidak akan membiarkannya. Menjelaskan firman Allah SWT: « إِنِ افْتَرَيْتُهُ » (Jika aku mengada-adakan al-Quran), Abdurrahman as-Sa’di berkata, “Nescaya Allah SWT memiliki kekuasaan atas diriku dan mengetahui apa yang aku katakan. Lalu mengapa Allah SWT tidak menyeksa diriku atas cerita yang aku ada-adakan sepertimana yang kamu sangkakan.” [12]

 

Ibnu Kathir juga berkata, “Maksudnya: Jika aku berdusta atas namaNya dan mengaku bahawa Dia telah mengutusku, padahal sebenarnya tidaklah demikian, sudah tentu Dia akan menghukum diriku dengan hukuman yang sangat berat. Tidak akan ada seorang pun penghuni bumi, termasuk kamu atau bukan, yang dapat melindungiku dari azabNya.”

 

Menurut Ibnu Kathir, kandungan ayat ini mempunyai makna yang sama dengan firmanNya dalam ayat yang lain [Surah Al-Jinn (72): 22-23; Surah Al-Haqqah (69): 44-47]. [13]

 

Kenyataannya, ia tidak berlaku. Baginda tidak ditimpa azabNya. Sebaliknya, Baginda malah mendapat perlindungan daripada Allah SWT atas musuh-musuhnya. Oleh itu, mereka wajib mengimani bahawa al-Quran itu datang daripada Allah SWT, bukannya buatan Nabi Muhammad SAW.

 

Kemudian Allah SWT berfirman,

هُوَ أَعۡلَمُ بِمَا تُفِيضُونَ فِيهِۚ ٨

“Dia lebih mengetahui atas apa-apa yang kamu bicarakan tentang al-Quran itu.”

 

Bentuk mashdar tafîdhûna ialah « الْإِفَاضَةُ ». Makna frasa « الْإِفَاضَةِ فِي الشَّيْءِ » ialah « الخَوْضُ فِيهِ وَالِانْدِفَاعُ » (terjun ke dalam sesuatu dan ditolak ke dalamnya). Kalimat: « أَفَاضُوا فِي الْحَدِيثِ », bermakna: « انْدَفَعُوا فِيهِ » (berpanjang lebar dalam percakapan). [14]

 

Dhamîr al-hâ‘ (kata ganti nama pihak ketiga) dalam perkataan « تُفِيضُونَ فِيهِ » merujuk kepada al-Quran. Dengan demikian, ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT lebih mengetahui tentang al-Quran yang mereka bincangkan dengan panjang lebar. Ibnu Jarir berkata, “Tuhanku lebih mengetahui daripada segala sesuatu selain DiriNya tentang perkara yang dibincangkan antara kamu tentang al-Quran.” [15]

 

As-Syaukani juga berkata, “Allah lebih mengetahui apa yang kamu katakan tentang al-Quran, perbincangan dusta tentang al-Quran, serta kata-kata mereka bahawa al-Quran adalah sihir dan perdukunan.” [16]

 

Kemudian diteruskan dengan firmanNya,

كَفَىٰ بِهِۦ شَهِيدَۢا بَيۡنِي وَبَيۡنَكُمۡۖ ٨

“Cukuplah Dia menjadi saksi antara aku dan kamu.”

 

Ibnu Jarir berkata, “Cukuplah Allah SWT sebagai Saksi bagi diriku dan bagi kamu atas kebohongan kamu terhadapku atas segala yang aku bawa dari sisi Allah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada mereka kerana tidak mengazab mereka setelah mereka bertaubat dari pembohongan itu.” [17]

 

Dalam ayat ini juga terdapat ancaman yang keras untuk mereka. As-Syaukani berkata, “Kerana sesungguhnya Dia bersaksi untukku bahawa al-Quran berasal dari DiriNya. Aku telah menyampaikan kepada kamu serta menyaksikan pendustaan dan pengingkaran kamu. Di sini ada ancaman yang keras.” [18]

 

Fakhruddin ar-Razi berkata, “Maksud menyebut al-‘ilm (pengetahuan) dan as-syahâdah (persaksian) adalah ancaman kepada mereka atas celaan dan cacian yang mereka lakukan.” [19]

 

Ayat ini kemudian ditutup dengan kalimat,

وَهُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ  ٨

“Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

 

Akhir ayat ini menceritakan sifatNya Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Menurut As-Syaukani, maksud penutup ayat ini ialah: « كَثِيرُ الْمَغْفِرَةِ وَالرَّحْمَةِ بَلِيغُهُمَا » (banyak keampunan dan rahmat yang melimpah). [20]

 

Menurut Al-Khazin, ini memberi makna menangguhkan azab untuk mereka. [21]

 

Ada juga yang mengatakan bahawa penutup ayat ini mengandungi maksud ajakan kepada mereka untuk bertaubat. Abdurrahman as-Sa’di berkata, “Oleh itu, bertaubatlah kepada Allah dan tinggalkanlah sikap kamu selama ini, nescaya Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memberi rahmat kepada kamu, kemudian menunjukkan kepada kamu kebaikan dan memberikan kamu pahala yang sangat besar.” [22]

 

Menurut As-Syaukani pula, “Itu dikhususkan bagi orang yang ingin bertaubat, membenarkan al-Quran, dan mengamalkan kandungannya.” [23]

 

Beberapa Pengajaran

 

Terdapat banyak pengajaran dalam ayat ini. Antaranya:

 

Pertama, ayat ini memberitahu tentang sikap orang-orang kafir terhadap al-Quran. Sikap asas mereka ialah menolak dan mengingkari al-Quran padahal kebenaran al-Quran nampak jelas di hadapan mereka.

 

Tidak cukup menolak, mereka juga melemparkan tuduhan palsu terhadap al-Quran. Mereka menyebut al-Quran sebagai sihir. Ini sepertimana disebutkan dalam ayat lain [Lihat: Surah al-An’am (6): 7]. Intinya, mereka menuduh Rasulullah SAW membuat-membuat al-Quran sendiri dan mendakwa secara dusta bahawa ia datang dari Allah SWT. Selain daripada ayat ini, tuduhan mereka juga diberitakan dalam ayat lain [Lihat: Surah Furqan (25): 4].

 

Mereka yang melemparkan tuduhan dusta dan mempersendakan al-Quran diancam dengan azab yang sangat pedih. Allah SWT berfirman,

وَإِذَا عَلِمَ مِنۡ ءَايَٰتِنَا شَيۡ‍ًٔا ٱتَّخَذَهَا هُزُوًاۚ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٞ مُّهِينٞ  ٩

“Jika dia mengetahui sesuatu tentang ayat-ayat Kami, dia menjadikannya bahan olok-olok. Mereka itulah orang-orang yang akan menerima azab yang menghinakan.” [TMQ Al-Jathiyah (45): 9]

 

Kedua, bantahan terhadap tuduhan mereka. Inilah yang dituntun oleh ayat ini. Apabila orang-orang kafir melemparkan tuduhan bahawa al-Quran itu buatan Rasulullah SAW, ayat ini menyampaikan jawapan: Mengapa Baginda tidak diazab oleh Allah SWT? Jika itu berlaku, tiada siapa yang sanggup menghalang termasuk mereka. Inilah yang disebut dalam Surah Al-Haqqah (69): 44-47. Namun, semuanya berlaku. Itu adalah bukti yang jelas bahawa al-Quran bukanlah buatan Baginda sendiri.

 

Dalam ayat lain, tuduhan mereka juga disangkal dengan mencabar mereka untuk mendatangkan sesuatu seperti al-Quran. Allah SWT berfirman,

أَمۡ يَقُولُونَ ٱفۡتَرَىٰهُۖ قُلۡ فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ مَنِ ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ  ٣٨

“Bahkan adakah (layak) mereka berkata, ‘Dia (Nabi Muhammad) telah membuat-buat (al-Quran) itu?’ Katakanlah (Nabi Muhammad), ‘(Jika demikian), buatlah satu surah yang serupa dengan al-Quran itu dan ajaklah sesiapa yang dapat kamu ajak selain Allah (untuk menolong kamu) jika kamu orang-orang yang benar.’” [TMQ Yunus (10): 38].

 

Cabaran ayat ini juga menjadi bukti kebenaran al-Quran. Ini kerana tiada siapa yang mampu menyahut cabaran tersebut.

 

Wallahua’lam bissawab.

 

Nota kaki:

1        Al-Harari, Hadâiq ar-Rûh wa ar-Rayhân, vol. 27 (Beirut: Dar Thauq al-Najah, 2001), 35; Muhammad Mahmud, At-Tafsîr al-Wâdhih, 3 (Beirut: Dar al-Jayl al-Jadid, 1413 H), 441; Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26 (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’ashir, 1998), 14;

2        Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26 (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’ashir, 1998), 14. Lihat juga Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 166

3        As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5  (Damsyiq: Dar Ibnu Katir, 1994), 18. Lihat juga Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1969), 184, Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26, 14

4        Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 166

5        Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26, 14

6        At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qurân, vol. 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 96-97. Lihat juga As-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 779; Al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 127

7        Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 8 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 28; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 , 18. Lihat juga Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1969), 184; Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 26, 14

8        As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 , 18.

9        Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 184

10      Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 184

11      Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 8, 28

12      As-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân, 779

13      Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 275-276

14      Lihat Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 184

15      At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qurân, vol. 22, 97

16      As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 , 18

17      At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur’an, vol. 22, 97

18      As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 , 18

19      Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 8, 28

20      As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 , 18

21      Al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 128

22      As-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân, 779

23      As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 , 18

Exit mobile version