[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Umrah Al-Qadha’ – 7H
Umrah Al-Qadha’ berlaku pada bulan Zulkaedah pada Tahun 7H. Ia dinamakan Umrah Al-Qadha’ kerana pada bulan Zulkaedah tahun 6H, orang-orang Quraisy melarang kaum muslimin melakukan umrah. Maka baginda mengambil balasan daripada mereka dengan cara masuk Mekah pada bulan Zulkaedah tahun 7H.
Sebelum memasuki Mekah, Rasulullah SAW mendengar orang-orang Quraisy mengatakan bahawa orang Madinah berada dalam kesulitan, kelaparan dan penderitaan. Maka tatkala baginda memasuki Masjidil Haram, baginda memasukkan pakaian ihram dari bawah ketiak kanan dan menyelubungi ketiak kiri (al-idhthiba’). Rasulullah SAW berlari-lari kecil bersama para sahabat hingga Baitullah tertutup oleh mereka, menyentuh rukun Yamani, berjalan hingga menyentuh rukun aswad, berlari-lari kecil sebanyak tiga kali tawaf dan berjalan pada sisa tawaf. Beliau sengaja melakukannya untuk menyangkal dakwaan orang-orang Quraisy bahawa baginda dalam keadaan kesulitan, kelaparan dan penderitaan. Baginda bersabda, “Semoga Allah merahmati orang yang memperlihatkan kekuatannya kepada orang-orang Quraisy”
Disamping menunjukkan kekuatan kaum muslimin kepada orang Quraisy, Umrah Qadha ini membenarkan janji Allah bahawa kaum muslimin akan memasuki Mekah dalam keadaan aman dan tanpa rasa takut.
Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya)”. (Surah Al-Fath [48]:27)
Ketika Umrah Al-Qadha’ juga, para Muhajirin mengambil kesempatan untuk bertemu sanak saudara yang lama terpisah. Mereka saling bertukar khabar antara satu sama lain. Rasulullah SAW turut menikahi Maimunah binti Al-Harits dengan mahar 400 dirham.

