[Kisah Inspirasi] Fatimah binti Qais bin Khalid, Isteri kepada Hibbu Rasulillah
Penulis: Chusnatul Jannah
Di antara kisah keluarga para sahabat Rasulullah SAW, terdapat sebuah kisah pasangan suami isteri yang patut ditelusuri kisah perjuangan mereka yang bersama-sama menyokong dakwah Rasulullah SAW. Beliau adalah isteri kepada anak lelaki daripada Zaid bin Harisah, anak angkat kesayangan Rasulullah SAW, iaitu Fatimah binti Qais bin Khalid, isteri kepada Usamah bin Zaid. Bagaimanakah kisahnya?
Perwatakan Fatimah
Fatimah binti Qais adalah seorang wanita bangsa Quraisy tergolong daripada keluarga yang dipandang tinggi.Beliau adalah antara wanita terawal yang berhijrah semasa gelombang pertama. Fatimah berhijrah bersama rombongan muslim lain pada masa awal kenabian Rasulullah SAW.
Nama penuh beliau ialah Fatimah binti Qais bin Khalid al-Akbar bin Wahab bin Sa’labah bin Wa’ilah bin ‘Amr bin Syaibah bin Muharib bin Fihr al-Qurasyiah al-Fihriyah. Beliau adalah saudara kepada Ḍaḥḥak bin Qais. Ibunya bernama Umaimah binti Rabi’ah dari Kinanah. Fatimah binti Qais merupakan seorang ahli sastera wanita yang berfikiran cergas, berakhlak mulia dan mempunyai kesempurnaan dan kecantikan di semenanjung Arab pada zamannya.
Pernikahannya dengan Usamah
Fatimah binti Qais pernah bernikah dengan Abu Amru bin Hafsh Ibnul Mughirah. Bagaimanapun, perkahwinannya dengan Abu Amru berakhir setelah suaminya menceraikannya sebanyak tiga kali. Dalam tempoh Iddah, beliau tinggal di rumah Ibnu Ummi Maktum.
Ramai dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ingin mengahwini Fatimah binti Qais yang sudah berstatus janda. Setelah masa iddahnya tamat, Muawiyah bin Abu Sofyan dan Abu Jahm bin Huzaifah melamarnya. Dalam keadaan dilema di atas dua pinangan tersebut, Fatimah meminta pertimbangan Rasulullah SAW dan menemui baginda, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, Muawiyah bin Abu Sufyan dan Abu Jahm bin Huzaifah datang melamarku.” Kemudian Rasulullah SAW memberi nasihat kepadanya, ”Muawiyah itu miskin dan tidak berharta, sedangkan Abu Jahm sentiasa bermusafir. Aku khuatir kamu tidak akan bahagia bersama salah seorang daripada mereka. Maka nikahilah Usamah.”
Atas nasihat Rasulullah SAW, Fatimah pun berkahwin dengan Usamah bin Zaid. Salah seorang sahabat kesayangan Rasulullah SAW, anak lelaki daripada dua pendamping setianya, iaitu Ummu Aiman dan Zaid bin Harisah. Fatimah beruntung luarbiasa kerana bernikah dengan Usamah bin Zaid yang digelar “Hibbu Rasulillah” (orang yang dicintai Rasulullah). Usamah mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kehidupan Rasulullah SAW, sehingga baginda bersabda, “Sesungguhnya Usamah bin Zaid adalah orang yang paling aku sayangi.Aku berharap supaya dia termasuk dalam golongon orang-orang soleh di antara kalian dan terimalah nasihatnya yang baik.”
Keistimewaan Usamah dalam hati Rasulullah SAW juga termasyhur di kalangan para sahabat utamanya. Dalam sebuah kisah, Khalifah Umar bin Khattab RA pernah membahagikan hadiah kepada kaum muslim. Kepada Usamah, beliau memberikan hadiah dengan nilai yang lebih berbanding dengan yang lain. Mengetahui perkara tersebut, anak lelakinya, Abdullah bin Umar bertanya, “Wahai ayahanda, mengapa engkau memberi lebih kepada Usamah, padahal aku juga selalu menyertai setiap peperangan yang dia ikuti?”
Umar menjawab, “Usamah lebih disayangi Rasulullah SAW dibandingkan dengan engkau dan ayahnya lebih disayangi dibandingkan dengan ayahmu.” Ungkapan ini tidak keterlaluan memandangkan dia adalah anak Zaid bin Harisah yang namanya tercatat dalam al-Quran [lihat TMQ al-Ahzab (33): 37].
Keistiwewaan Fatimah
Fatimah merupakan sahabat wanita yang menjadi rujukan para sahabat pada zaman itu. Pada suatu masa, Fatimah pergi ke Kufah menziarahi saudaranya Ḍaḥḥak bin Qais yang sedang bertugas sebagai penguasa di sana.
Apabila berita kedatangannya tersebar, penduduk Kufah berpusu-pusu menemuinya. Lalu, Faṭimah membacakan hadis daripada Rasulullah SAW. Semasa pembunuhan Umar bin Khattab RA, majlis permusyawaratan menemui Fatimah berhubung kepimpinan yang akan menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua negara. Mereka mahu mengambil pendapatnya.
Fatimah adalah seorang perawi hadis wanita yang meriwayatkan 20 hadis secara langsung daripada Rasulullah SAW dan disebutkan dalam Al-kutub al-tis’ah sebanyak 86 hadis. Hadis-hadis tersebut terdapat di dalam Ṣaḥiḥ Muslim 16 hadis, 5 hadis dalam Sunan At-Turmuzi, 17 hadis di dalam Sunan al-Nasa’ī, 5 hadis dalam Sunan Abu Dawud, 8 hadis di dalam Sunan Ibnu Majah, 30 hadis di dalam Musnad Aḥmad, 1 hadis dalam Al-Muwaṭṭa’ dan 4 hadis dalam Sunan al-Darimi.
Kebanyakan hadis Fatimah adalah berkaitan masalah perceraian yang dialaminya. Di antara murid-muridnya adalah daripada kalangan sahabat dan tabiin yang meriwayatkan hadis daripadanya iaitu Abu Bakar bin Abdullah bin Abu Jahm, Tamim, Amir bin Saraḥil, Abdurrahman bin ‘Aṣim bin Sabit, Abdullah, Abdullah bin Abbas bin Abdul Muṭhalib bin Hasyim, Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Amr, Abaidillah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud, Urwah bin Zubair bin Awwam, Qabiṣah bin Zu’aib bin Halalah dan Muḥammad bin Abdurraḥman bin Sauban.
Khatimah
Demikianlah, kelebihan isteri panglima termuda yang dilantik terus oleh Rasulullah SAW. Malah, Rasulullah SAW sendiri memilih isteri untuk Usamah, iaitu Fatimah binti Qais yang juga mempunyai keistimewaan sebagai perawi hadis. Mari kita jadikan keluarga sahabat Rasulullah SAW menjadi motivator dan inspirator yang boleh mencetus perubahan revolusioner. Perubahan yang bermula daripada keluarga yang bertakwa akan melahirkan benih-benih pejuang dan perintis kebangkitan tamadun Islam yang agung. InsyaAllah.
*) Diceritakan semula daripada perbagai sumber

