Site icon MuslimahHTM News

[Kaedah-Kaedah Taklid] Kata Pengantar

[Kaedah-Kaedah Taklid] Kata Pengantar

Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat

 

Ketidak-tahuan sebahagian besar kaum muslim terhadap kaedah taklid (mengikuti suatu pendapat) telah menyebabkan mereka mengikuti pendapat secara semberono dan sewenang-wenangnya. Sebahagian mereka ada yang mengikuti pendapat-pendapat peribadi ulama, bukan mengikuti hukum syariat yang digali oleh ulama berdasarkan kaedah-kaedah ijtihad. Sebahagian lagi ada yang mengambil pendapat ulama hanya untuk memenuhi kepentingan-kepentingan dunianya. Jika dia menginginkan hukum mubah, dia akan bertaklid kepada ulama yang mengeluarkan fatwa mubah. Jika dia menginginkan hukum wajib, dia akan mengikuti ulama yang mewajibkan, dan seterusnya. Perbuatan semacam ini sama dengan menundukkan hukum syariat di bawah hawa nafsu dan kepentingannya. Padahal, sepatutnya hawa nafsu dan keinginan-keinginannya lah perlu tunduk di bawah Al-Quran dan sunnah, bukan sebaliknya.

 

Kadang-kadang, seorang muslim berhadapan dengan pelbagai pendapat dalam satu kes. Sebahagian ulama berpendapat boleh, sebahagian lagi tidak boleh, sebahagian lagi sunnah, sebahagian lagi makruh, dan sebahagian lagi haram. Jadi, mana yang harus dia ikuti dan pilih? Bagaimana tatacara memilih satu pendapat di antara pendapat-pendapat itu? Sebahagian lagi menghukumi satu perbuatan dengan banyak hukum dan berpindah-randah dari satu pendapat menuju pendapat yang lain. Kadang-kadang dia solat dengan tatacara mazhab Imam Syafi’i, kadang-kadang dengan mazhab Hanafi, dan sebagainya.

 

Lebih ironi lagi, ada yang masih tidak tahu kepada siapa dan dengan siapa dia bertaklid? Apakah dia taklid kepada hukum syariat ataukah taklid kepada pendapat manusia? Sedangkan Islam telah mengatur kaedah-kaedah taklid yang ditujukan agar kaum muslim yang tidak mampu melakukan ijtihad tetap bertaklid kepada hukum-hukum Allah SWT, bukan taklid kepada hawa nafsu mahupun keinginan-keinginannya.

 

Oleh sebab itu, perlu ada penjelasan yang jelas mengenai masalah ini (taklid) agar seorang muqallid benar-benar memahami ketentuan Islam dalam memilih pendapat di antara banyaknya pendapat. Dengan kata lain, perlu ada buku panduan yang mampu menuntun mereka agar tidak terjatuh pada taklid buta dan taklid-taklid yang ditujukan untuk memenuhi kepentingan hawa nafsu yang bersifat sesaat.

 

Buku ini merupakan panduan agar taklid kita tidak menyimpang dari tuntunan Islam. Lebih dari itu, buku ini juga ditujukan agar kita tetap mengikuti hukum syariat, bukan mengikuti pendapat peribadi ulama, hawa nafsu, dan kepentingan-kepentingan dunia, selalu mengikuti Allah SWT dan Rasul-Nya, dan bukan mengikuti syaitan yang akan menjerumuskan kita ke neraka. Wallahualam bissawab.

 

Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taqlid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

 

Exit mobile version