Site icon MuslimahHTM News

[Kaedah-Kaedah Taklid] Pengantar: Memahami Konsep Ijtihad dan Taklid dengan Benar

[Kaedah-Kaedah Taklid] Pengantar: Memahami Konsep Ijtihad dan Taklid dengan Benar

Penulis: K.H. M. Shiddiq al-Jawi

 

Masalah ijtihad dan taklid merupakan salah satu isu besar yang direspons dengan semangat yang sangat tinggi di kalangan umat Islam. Mengapa tidak, seluruh intelektual muslim terkemuka sejak abad ke-18 hingga ke-20 M, baik ulama reformasi dan pejuang kebangkitan (revivalists) yang berideologi Islam, seperti Syah Waliyullah ad-Dahlawi (1702—1762), mahupun intelektual moden berideologi sekular, seperti Sayyid Ahmad Khan (1817-1898), senantiasa mendorong ijtihad di tengah umat dan bahkan mempraktikkannya. Semuanya sepakat ingin membuka dan bahkan meruntuhkan pintu-pintu ijtihad  bagi mengatasi kemerosotan berfikir dikalangan umat Islam yang telah lama berlaki sejak ditutupnya pintu ijtihad pada abad ke-4 H.

 

Namun, sejauh ini usaha itu nampaknya belum membuahkan hasil secara gemilang. Buktinya, secara kuantiti, amalan ijtihad masih jarang dilakukan. Mujtahid juga masih sangat sedikit di tengah-tengah umat. Secara kualiti juga konsep ijtihad sendiri kadang difahami secara kurang tepat dan bahkan difahami secara salah.

 

Berkenaan kurangnya mujtahid, hal ini sangat jelas. Cuba diperhatikan, apakah anda tahu, siapa mujtahid yang ada di negeri anda sekarang ini? Bahkan bukan hanya sekarang, sejak zaman keemasan Islam pun jumlah mujtahid memang relatif sangat sedikit dibandingkan dengan jumlah ulama dalam bidang lainnya (hadis, tafsir, dan sebagainya). Hal ini wajar sebab untuk menjadi seorang fakih (mujtahid), ilmu-ilmu yang perlu 0dikuasainya sangat banyak sehingga tidak banyak orang yang mahu mencurahkan seluruh waktu hidupnya untuk menguasai ilmu-ilmu itu.

 

Pada masa kejayaan Islam itu, jumlah mujtahid kira-kira 10% saja dari jumlah ulama dalam bidang-bidang ilmu keislaman lainnya. Abu Muhammad ar-Ramahurmuzi dalam kitab Al-Fashil meriwayatkan dari Asy’at bin Anas bin Sirin, “Aku telah mendatangi kota Kufah maka aku lihat di dalamnya ada 4000 orang yang sedang mempelajari hadis dan ada 400 orang yang menjadi fakih (mujtahid).” (Fathi Muhammad Salim, Al-Istidlal bi azh-Zhanni fi al- ‘Aqidah, Beirut: Darul Bayariq, 1994, hlm. 32).

 

Tentang konsep ijtihad itu sendiri kadang-kadang ia difahami secara kurang tepat sehingga malah menjadi kontraproduktif dengan usaha menggalakkan ijtihad di tengah umat. Pada masa Imam Suyuthi (849—911 H), berkembang pesat fahaman yang mengatakan bolehnya suatu zaman kosong dari adanya mujtahid. Oleh sebab itu, ketika Imam Suyuthi mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa dirinya adalah seorang mujtahid, masyarakat awam pun tidak percaya dan bahkan mengecam beliau dengan keras. Imam Suyuthi pernah mengumumkan, “Sungguh telah sempurna padaku alat- alat untuk berijtihad, alhamdulillah. Kalau anda menginginkan aku untuk menulis sebuah kitab untuk setiap masalah, lengkap dengan dalil-dalil naqli dan qiyasnya, disertai dasar-dasarnya, bantahan-bantahannya, jawapan-jawapannya, serta perbandingan pendapat di antara berbagai mazhab pada masalah itu, nescaya aku mampu untuk melakukannya, alhamdulillah.” (Imam Suyuthi, Husnul Muhadharah, Juz I hlm. 339).

 

Imam Suyuthi pun kemudian meluruskan fahaman yang kurang tepat mengenai ijtihad tersebut dengan menjelaskan tidak bolehnya suatu zaman kosong dari mujtahid. Mujtahid wajib ada pada setiap masa. Beliau menulis kitab Ar-Radd ‘ala Man Akhlada ila al-Ardh wa Jahila anna al-Ijtihad Fardhun fi Kulli ‘Ashrin (Bantahan kepada Orang yang Ingin Hidup Kekal di Bumi dan Tidak Tahu bahawa Ijtihad Itu Fardhu untuk Setiap Masa).

 

Imam Suyuthi juga menulis kitab Taysir al-Ijtihad (Memudahkan Ijtihad) yang dimaksudkan agar umat tidak menganggap ijtihad sebagai hal yang sangat sukar, tetapi suatu hal yang mudah dan mungkin selagi syarat-syaratnya terpenuhi dengan sempurna. Dalam kitab Taysir al-Ijtihad ini, Imam Suyuthi menukilkan beberapa riwayat yang menggugah. Antara lain beliau menukilkan perkataan Syeikh Muhibuddin ayah Syeikh Taqiyuddin Ibnu Daqiqil ‘led dalam kitabnya Talqih al-Afham yang berkata, “Menjadi mujtahid telah dianggap berat pada masa sekarang ini. Hal itu bukanlah kerana sukarnya mencari alat-alat ijtihad, melainkan kerana berpalingnya manusia dari kesibukan yang akan membawa mereka pada ijtihad.”

 

Imam Suyuthi juga menukilkan pendapat sebahagian ulama yang menegaskan, “Ijtihad pada zaman ini (zaman Imam Suyuthi, baca.), lebih mudah daripada zaman permulaan Islam sebab alat-alat ijtihad berupa hadis-hadis dan lain-lain telah dibukukan dan mudah untuk dirujuk. Ini berbeza dengan zaman permulaan Islam sebab saat itu tidak ada satu pun alat-alat ijtihad yang terbukukan.” (Imam Suyuthi, Taysir al-Ijtihad, Makkah: Maktabah Tijariyah, hlm. 28).

 

Pada masa sekarang, kesalahfahaman tentang ijtihad lebih gila lagi. Kini ada kesalahfahaman ekstrem tentang ijtihad yang didemostrasikan dengan sangat jelas oleh kelompok Islam liberal (sekular). Ini menjadi bukti lain belum berjayanya usaha melahirkan ijtihad yang sahih di tengah-tengah umat. Kesalahan ekstrem ini jelas hanya akan menyesatkan umat dari hakikat ijtihad yang sebenarnya. Menurut kaum liberal, ijtihad bukan difahami sebagai usaha sungguh-sungguh untuk mengistinbat hukum syariat dari dalil-dalil syariat, melainkan sebagai usaha untuk menyesuaikan hukum Islam dengan realiti masyarakat yang telah diformat dalam citra ideologi kontemporari (kapitalisme sekular).

 

Taufik Adnan Kamal dan Samsu Rizal Panggabean mengatakan, “Dalam debat-debat moden, pentingnya aplikasi ijtihad dikaitkan dengan kemungkinan yang diberikannya untuk menyegarkan pemahaman Islam dan hukum Islam selaras dengan keadaan masyarakat kontemporer.” (Politik Syariat Islam dari Indonesia hingga Nigeria, Jakarta: Pustaka Alvabet, 2004, hal. 196).

 

Benar bahawa ijtihad memang dimaksudkan untuk menghadapi cabaran zaman kekinian. Namun, bagi kaum liberal, ijtihad bukan difahami sebagai usaha menghukumi realiti kontemporari dengan hukum Islam, melainkan usaha mengubah dan menyesuaikan hukum Islam agar sesuai dengan realiti kontemporari.

 

Dalam konsep ijtihad yang sahih, realiti tidak diandaikan sebagai satu piawaian yang selalu dianggap benar sebab realiti itu bukanlah wahyu yang pasti benar, melainkan fakta yang tengah terjadi yang boleh jadi benar (sesuai wahyu) dan boleh jadi juga tidak benar (menyimpang dari wahyu). Sebaliknya, dalam benak kaum liberal, realiti telah dijadikan piawaian 0dan dianggap sebagai kebenaran mutlak, sedangkan wahyu diandaikan sebagai sesuatu yang relatif dan harus mengikuti serta tunduk pada realiti itu.

 

Bukti yang jelas untuk cara berfikir rosak itu adalah adanya draft CLD KHI (Counter Legal Draft Kompilasi Hukum Islam) yang dimaksudkan sebagai usulan rang undang-undang alternatif untuk menggantikan Kompilasi Hukum Islam (Perundangan Islam) yang berlaku dalam lingkungan Peradilan Agama (Mahkamah Syariah). Namun, alhamdulillah draft itu sudah dibatalkan oleh Menteri Agama Indonesia, Maftuh Basyuni.

 

Apa yang menyedihkan, Ketua Pasukan Pengarusutamaan Gender Kementerian Agama Indonesia, Dr. Siti Musdah Mulia yang memimpin penyusunan draft itu tanpa segan silu berani mendakwa bahawa draf CLD KHI itu adalah hasil ijtihad (Tempo, 7-11-2004, hlm. 47) padahal draf tersebut telah melahirkan sejumlah Pasal (perkara) yang menyeleweng jauh sekali dari Islam. Misalnya, mengharamkan poligami (pasal 3 ayat 2), menyamakan bahagian waris lelaki dan perempuan (pasal 8 ayat 3), menghalalkan perkawinan dalam jangka waktu tertentu (pasal 28), menghalalkan perkawinan antara agama secara bebas (pasal 54), dan sebagainya. Ini semua berlaku kerana para penyusun CLD KHI telah menundukkan hukum Islam di bawah realiti kontemporer yang dibentuk oleh nilai-nilai peradaban Barat, iaitu nilai-nilai gender, pluralisme, hak asasi manusia, dan demokrasi. Dengan kata lain, draf itu lahir sebagai hasil kesalahfahaman ekstrem dalam memahami hakikat makna ijtihad.

 

Senafas dengan konsep ijtihad di atas, konsep taklid juga tidak sering kurang difahami dengan baik oleh umat Islam. Tidak jarang ulama memilih pendapat dengan sewenang-wenangnya tanpa kaedah dan standard. Fatwa ulama akhirnya ditundukkan kepada kepentingan dan hawa nafsu manusia. Kita masih ingat, pada pertengahan tahun 80-an, Prof. K.H. Ibrahim Hosen LML (Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Indonesia pada masa itu) mengeluarkan fatwa bolehnya judi undian minggu suka dan ketangkasan (PORKAS). Fatwa itu dimaksudkan untuk menjayakan pembangunan, khususnya bidang sukan, padahal PORKAS jelas-jelas merupakan judi (maysir) yang haram hukumnya. Selain itu, fahaman relativisme yang banyak berakar-umbi dalam pemikiran kaum liberal menambah parah kesalahfahaman tentang taklid ini. “Semua adalah relatif (All is relative),” begitulah slogan mereka.

 

Slogan ini bukan dari ulama apalagi dari Al-Quran dan Sunnah, melainkan dari Michael Fackerrell, seorang misionaris Kristian asal Amerika Syarikat (Hamid Fahmi Zarkasyi, Kebenaran, Majalah Islamia, Vol III, No. 1, 2006). Apa yang menyusahkan ialah fahaman relativisme Kristian akhirnya diserapkan ke dalam wacana Islam, mengakibatkan dikotomi seperti ini: yang berasal dari Tuhan, kebenarannya mutlak, sedangkan kalau dari manusia, sifatnya relatif, siapa pun manusia itu. Dengan demikian, pemahaman Imam Syafi’i, Imam Maliki, atau imam siapa pun semua relatif. Kerana semuanya relatif, kita boleh memilih atau bahkan membuang pendapat mereka dengan bebas.

 

Bertolak dari dikotomi yang tidak masuk akal itu, kaum liberal akhirnya memasukkan “fatwa-fatwa” mereka agar dianggap sebahagian dari pendapat ulama yang boleh untuk di taklid oleh umat Islam. Hmm, sangat baguskan? Buku Fiqih Lintas Agama (2004) (Fiqh antara agama) yang ditulis Nurcholish Madjid dkk. (kaum sekular) dan ditaja Yayasan Asia Foundation (dari Amerika) merupakan contoh usaha menjajakan “fatwa-fatwa” liberal dalam naungan konsep relativisme agama tersebut.

 

Tentu saja kaedah taklid gaya liberal dengan dikotomi mutlak-relatif itu tidaklah benar sebab bahawasanya Tuhan itu Maha Mengetahui dan pengetahuan-Nya mutlak benar, itu sudah jelas. Oleh kerana itu, tidak perlu dimasukkan dalam dikotomi sebab dikotomi yang sepatutnya kita miliki adalah dikotomi untuk pendapat di antara manusia, bukan antara “pendapat” Tuhan dan pendapat manusia. Selain itu, dikotomi sebelumnya itu sungguh tidak adil kerana meletakkan semua pendapat manusia dalam kedudukan yang sama (sama-sama relatif). Samakah pendapat orang berilmu dengan pendapat orang tidak berilmu? Samakah ulama dengan juhala (orang bodoh)? Dengan demikian, dikotomi yang benar adalah ada pendapat ulama yang benar dan kuat (yang layak ditaklid) dan ada pendapat ulama yang salah atau lemah (yang tidak layak ditaklid). Itulah dikotomi yang benar.

 

Nah, berkaitan dengan dikotomi tersebut, kehadiran buku “Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat” patut disambut dengan gembira. Buku ini dengan tepat memberikan pencerahan mengenai kaedah-kaedah mengenai taklid untuk membezakan mana pendapat ulama yang layak diikuti dan mana yang tidak.

 

Selain itu, buku ini juga ingin menyumbang dalam menjelaskan konsep ijtihad secara benar. Semuanya bermuara pada satu keinginan besar untuk menghapuskan umat Islam dari kemerosotan berfikirnya yang sangat dahsyat, khususnya perihal aktiviti ijtihad dan taklid. Buku ini boleh dikira sudah berjaya jika dapat menghasilkan para muqallid yang baik, bukan lagi muqallid bermasalah. Syukur jika dapat melahirkan para mujtahid yang cemerlang kelak. Insyaallah. Semoga tujuan mulia ini tercapai pula adanya. Amin Ya Mujibas Sa’ilin.

 

Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

 

Exit mobile version