Site icon MuslimahHTM News

Mendidik Anak Memiliki Mentaliti Pejuang

[Keluarga] Mendidik Anak Memiliki Mentaliti Pejuang

Penulis: Nabila Ummu Anas

 

Ibu bapa pastinya mahu anak-anak mereka kuat semangat, serius, dan tidak mudah berputus asa apabila mereka berusaha mencapai cita-cita. Kita semua, termasuk anak-anak kita, bukannya hidup dalam vakum. Segala yang ada di dunia nyata dan maya beredar di sekitar kehidupan manusia hari ini. Ia bukan hanya wujud, tetapi juga mempengaruhi pola pemikiran dan pola sikap manusia dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat sekeliling. Kehidupan sekular kapitalis juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap pendidikan mental anak-anak sejak kecil. Mencapai apa yang diinginkan dengan menipu, berbohong, atau mencuri, kadangkala dianggap perkara biasa kerana dilakukan oleh anak-anak kecil. Anak-anak yang malas solat, tidak mahu diajak solat, tidak biasa menutup aurat, juga menerima peringatan daripada ibu bapa dan persekitaran sekeliling. Malas bergerak, sering menunda sesuatu yang perlu dilakukan segera, bad mood, mahukan semua perkara segera (instant), semua ini sentiasa mewarnai kehidupan anak-anak hari ini. Keadaan ini seharusnya menjadi amaran kepada ibu bapa. Ini kerana keadaan mental mereka hari ini akan menentukan kehidupan mereka di masa hadapan. Bukan sahaja untuk kehidupan mereka di dunia, tetapi juga kesediaan mereka menghadapi kehidupan selepas dunia ini.

 

Letakkan Asas yang Betul

 

Sejak kecil, anak-anak mesti diperkenalkan dengan akidah Islam. Ibu bapa hendaklah sabar memperkenalkan rukun iman dan Islam kepada anak-anak. Ini adalah asas yang mesti diterapkan dengan betul dan kukuh dalam diri anak-anak, termasuk apabila anak-anak mula mempunyai cita-cita. Anak-anak Islam mesti tahu bahawa Tuhannya ialah Allah SWT, supaya hidup di dunia ini adalah untuk beribadah kepadaNya. Mereka juga harus mengenali Muhammad SAW sebagai Nabi dan utusan Allah, serta suri teladan terbaik bagi semua manusia. Sejak kecil, perkenalkan anak-anak dengan Al-Quran. Ajak mereka mendengar alunan ayat-ayat Al-Quran. Ceritakan kepada mereka tentang para malaikat, syurga, dan neraka. Rukun Islam juga harus disampaikan kepada anak-anak sejak kecil. Dengan cara ini, anak-anak Islam akan mengetahui syahadat, ibadah solat, cara berpuasa, kewajipan mengeluarkan zakat, dan kewajipan menunaikan haji bagi umat Islam yang mampu. Tidak cukup anak-anak boleh membaca, menulis, dan mengira. Namun begitu, perlu juga disemai dalam diri anak-anak bahawa mereka mestilah mempunyai cita-cita yang mulia untuk memartabatkan agama dan membawa kebaikan dunia dan akhirat untuk ibu bapa, diri, dan umat Islam.

 

Man Jadda Wajadda

 

Anak-anak Muslim akan termotivasi menjadi baik kerana dorongan akidah dan kecintaan mereka kepada Islam. Apa pun cita-cita hidup anak, yang utama adalah menjadi pembela dan penjaga agama Islam. Mentaliti pahlawan ini harus diterapkan dalam diri anak-anak Islam sejak kecil lagi. Untuk meraih cita-cita mulia ini, anak-anak mesti serius dan tidak pernah berputus asa. Beri motivasi pada anak-anak bahawa Allah SWT akan memberi ganjaran pahala yang besar atas kesungguhan mereka. Dengan cara ini, anak-anak akan menetapkan cita-cita yang tidak salah dari perspektif Islam, dan mengambil cara yang betul untuk merealisasikannya. Ibu bapa mestilah lebih menghargai setiap proses yang dilalui oleh anak-anak mereka. Bukan melemahkan, tetapi sentiasa menguatkan dan memberi semangat. Apabila anak-anak tidak bejaya, ceriakan mereka. Sampaikan kebahagiaan ibu bapa bukan berdasarkan hasil yang dicapai, tetapi dari kesungguhan dan kesabaran anak-anak dalam usaha. Man jadda wajadda. Sesiapa yang bersungguh-sungguh melakukannya, maka dia akan mendapatkannya. Pepatah Arab ini hendaklah sentiasa mengiringi anak-anak Islam.

 

Ceritakan tentang para Sahabat Nabi SAW

 

Ibu bapa boleh memberitahu anak-anak mereka tentang kehidupan para sahabat Nabi SAW. Para sahabat mempunyai peribadi yang unggul dan mulia kerana dorongan akidah Islam. Rasulullah SAW telah meletakkan asas akidah yang kukuh kepada para sahabat.

 

Kepada anak-anak prabaligh, ibu bapa boleh menyampaikan cerita tentang para sahabat berulang-ulang. Dengan cara ini, anak-anak akan ingin menjadi seperti Umar bin Khattab, Khalid bin Walid, Asma binti Abu Bakar, dan sebagainya. Ceritakan mengenai keteguhan Bilal bin Rabbah, keberanian Hamzah bin Abdul Muthalib, kecerdasan ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar, serta masih banyak keutamaan orang-orang terdekat Nabi SAW yang boleh ibu bapa menyampaikannya kepada anak-anak mereka.

 

Sebaliknya, cerita tentang kehidupan selebriti bukanlah cerita harian untuk anak-anak Islam. Ibu bapa tidak boleh berdiam diri malah berbangga apabila anak-anak mengidolakan artis Korea. Ini boleh menjejaskan mentaliti dan gaya hidup anak-anak pada masa hadapan. Mentaliti yang tidak stabil, gaya hidup hedonistik, mewajarkan apa sahaja cara untuk membunuh diri sebagai penyelesaian, semakin mewarnai kehidupan selebriti hari ini. Keluarga Islam pastinya tidak mahu generasi seperti itu lahir di rumah mereka.

 

Kepentingan Doa dan Husnuzon dari Ibu Bapa

 

Setiap ibu bapa yang beragama Islam pastinya inginkan anak-anak yang soleh dan solehah. Namun, ibu bapa juga mestilah sedar bahawa anak-anak yang soleh dan solehah pastinya akan lahir daripada ibu bapa yang soleh dan solehah juga. Ibu bapa bukan sepatutnya hanya berharap, ibu bapa juga hendaklah tidak jemu mendoakan anak-anaknya agar mereka cenderung kepada kebenaran, istiqamah, dan tidak mudah berputus asa dalam kehidupan ini.

 

Husnuzon perlu sentiasa diutamakan apabila menemui anak-anak yang mempunyai pelbagai masalah. Jangan mudah memarahi dan menyalahkan anak atas perkara yang menimpa mereka. Namun, yang lebih penting, ibu bapa haruslah bijak dan sabar berkomunikasi dengan anak-anaknya. Dari Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman, “Aku sesuai persangkaan hambaKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu saat sendirian, Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Jika dia mengingatiKu dalam suatu kumpulan, Aku akan mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik daripada itu (kumpulan Malaikat).” [HR Bukhari dan Muslim].

 

Wallahu’alam.

 

Exit mobile version