[Tafsir Al-Quran] Kewajipan Mensyukuri Nikmat [Surah Ad-Dhuha (93): 1-11]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
وَالضُّحَى * وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى * مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى * وَلَلآخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الأولَى * وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى * أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى * وَوَجَدَكَ ضَالا فَهَدَى * وَوَجَدَكَ عَائِلا فَأَغْنَى * فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلا تَقْهَرْ * وَأَمَّا السَّائِلَ فَلا تَنْهَرْ * وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ *
“Demi waktu matahari sepenggalahan naik. Demi malam apabila telah sunyi (gelap). Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula membencimu. Sesungguhnya hari akhir itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan). Kelak Tuhanmu pasti memberi kamu kurnia, lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah Dia mendapati dirimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu; mendapati dirimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberimu petunjuk; Dia mendapati dirimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberimu kecukupan? Oleh sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang; terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdik; dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu siarkan.”[TMQ Ad-Dhuha [93]: 1-11].
Surah ini bernama Ad-Dhuha. Surah ini termasuk Makkiyyah. Tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini. [1]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, “Wa ad-dhuhâ.” Ayat ini dimulakan dengan wâwu al-qasam. Yang menjadi al-muqsam bih adalah ad-dhuhâ. Pada asalnya, ad-dhuhâ adalah isim untuk menunjukkan waktu meningginya matahari. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Surah As-Syams [91]: 1. [2] Pengertian ini juga yang dipilih oleh Qatadah, Muqatil, Az-Zamakhsyari, An-Nasafi, -Jazairi, dan lain-lain dalam menafsirkan ayat ini; bahawa maksud ad-dhuhâ di sini ialah waktu dhuha. [3]
Sebahagian ahli tafsir lain menafsirkan ad-dhuhâ sebagai an-nahâr kulluhâ (waktu siang secara keseluruhan). Antara yang berpegang kepada pendapat ini ialah Ibnu Jarir at-Thabari, Al-Qurthubi, As-Syaukani, Al-Baghawi, dan lain-lain. [4]Kesimpulan ini berdasarkan ayat selepasnya, “Wa al-layli izâ sajâ.
Ini kerana dalam ayat selepasnya disebutkan al-layl, maka lawannya adalah an-nahâr (siang). Menurut Al-Qurthubi, pengertian ini juga terdapat dalam Surah Al-A’raf [7]: 97-98. [5]
Ayat berikutnya masih diteruskan dengan sumpah, “Wa al-layli izâ sajâ (Demi malam apabila telah sunyi [gelap]).” Perkataan sajâ bermaksud sakana (tenang, sunyi). Ini menurut Qatadah, Mujahid, Ibnu Zaid, dan Ikrimah. Dikatakan laylah sâjiyah, ertinya laylah sâkinah (malam yang tenang, sunyi). [6] Menurut Ad-Dhahhak, sajâ bermaksud ghaththâ kulla sya’i (menutupi segala sesuatu). Al-Ashmu’i juga berkata, “sajuw al-layl” bermaksud malam menutupi siang sebagaimana pakaian menutupi seseorang. Al-Hasan juga memberi makna: ghasyiya bi zhullâmihi (ditutupi oleh kegelapannya). [7] Semua pengertian ini boleh digunakan untuk memaknakan ayat ini. Seperti yang dinyatakan Ibnu Jarir at-Thabari, ayat ini bermaksud: Wa al-layli izâ sakana bi ahlihi wa thabata bi zhullâmihi (Demi malam ketika telah sunyi oleh penghuninya dan pekat kegelapannya). [8]
Kemudian Allah SWT berfirman, “Mâ wadda’aka Rabbuka wa mâ qalâ (Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada [pula] membencimu).” Kalimat ini adalah jawâb al-qasam. Perkataan wada’a as-syay’ bermakna tarakahu wa ahmalahu (meninggalkan dan membiarkannya). [9] Manakala at-tawdî’ pula ialah bentuk mubâlaghah (melebihkan) daripada perkataan al-wad’u. [10]
Bukan sahaja tidak meninggalkannya, tetapi juga wa mâ qalâ. Perkataan qalâ bermaksud abghadha (membenci). [11] Bahkan menurut Al-Asfahani, perkataan al-qaly bermaksud syiddat al-bughdhi (kebencian yang besar). [12] Dengan begitu, ayat ini menegaskan bahawa sekali-kali Allah SWT tidak meninggalkan Rasululullah SAW dan tidak juga membenci dirinya. Jika dikaitkan dengan sabab nuzul, ayat ini dengan tegas menolak anggapan kaum kafir terhadap Rasulullah SAW, sekaligus menunjukkan betapa besar nikmat dan kurnia Allah SWT kepada RasulNya.
Namun, masih ada lagi nikmat lain yang lebih besar yang akan diberikan kepadanya. Allah SWT berfirman, “Wala al-âkhirah khayr[un] laka min al-ûlâ (Sesungguhnya Hari Akhir itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang [permulaan]).” Perkataan al-âkhirah merujuk kepada ad-dâr al-âkhirah (kehidupan akhirat), manakala al-ûlâ bermaksud ad-dâr ad-dunyâ (kehidupan dunia). Ia disebut al-ûlâ kerana ia dicipta sebelum al-âkhirah. Huruf al-lâm pada al-âkhirah ialah lâm al-ibtidâ’ al-muakkidah li madhmûn al-jumlah (huruf lâm yang berada pada permulaan kalimat untuk menegaskan kandungan kalimatnya). [13]Huruf kâf al-khithâb (kata ganti orang kedua, kamu) digunakan untuk menunjukkan bahawa ia tidak terpakai kepada semua orang. Bagi Rasulullah SAW, kehidupan akhirat dipastikan lebih baik daripada apa yang diperolehnya di dunia ini.
Menurut As-Syinqithi, huruf min menunjukkan bahawa Allah SWT telah memberinya sangat banyak kebaikan di dunia. Namun, apa yang disediakan untuknya di akhirat adalah lebih baik dan lebih utama daripada apa yang telah diberikan di dunia. [14]
Mengenai ayat ini, Ibnu Jarir At-Thabari berkata, “Sesungguhnya ad-dâr al-âkhirah dan apa yang disediakan Allah kepadamu di sana adalah lebih baik daripada ad-dâr ad-dun-yâ dan segala isinya. Oleh itu janganlah kamu bersedih terhadap apa yang hilang di dunia kerana apa yang ada di sisi Allah SWT itu lebih baik daripada itu (kehidupan duniawi).” [15]
Kemudian dikatakan, “Wa lasawfa yu’thîka Rabbuka fatardhâ (Kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, lalu [hatimu] menjadi puas).” Huruf al-lâm pada perkataan lasawfa ialah lâm al-ibtidâ’ yang termasuk dalam khabar. Fungsinya adalah untuk ta’kîd madhmûn al-jumlah (mengukuhkan kandungan kalimat). Mubtada’-nya telah dihilangkan. Dianggarkan kalimat asalnya ialah: La anta sawfa yu’thîka. [16] Perkataan sawfa daripada Allah SWT adalah wajib. [17] Justeru, ayat ini memastikan bahawa Allah SWT akan memberikan kenikmatan yang besar kepada Rasulullah SAW. Untuk kenikmatan tersebut, baginda pun redha. Wahbah az-Zuhaili berkata bahawa kenikmatan besar tersebut diberikan di dunia dan akhirat. Di dunia ia adalah kemenangan dalam agama. Di akhirat pula adalah pahala, telaga, dan syafaat untuk umatnya. [18]
Ayat seterusnya mengingatkan beberapa kenikmatan yang sudah diterima oleh Rasulullah SAW sejak awal lagi. Allah SWT berfirman, “Alam yajidka yatîm[an] fa awâ (Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungi dirimu)?” Yatim ialah anak sebelum baligh yang ditinggal mati oleh bapanya. Keadaan inilah yang dialami oleh Rasulullah SAW. Baginda telah ditinggalkan oleh bapanya semasa baginda masih dalam kandungan sehingga sejak dilahirkan baginda adalah seorang yatim. Lebih kurang umur enam tahun, ibunya meninggal dunia. Sudah tentu baginda sangat memerlukan perlindungan dan ri’âyah. Ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT juga memberikan âwâ kepadanya. Maksud al-îwâ’ ialah dhamm as-syay’ ilâ al-âkhar (menghimpun sesuatu dengan yang lain). [19] Secara zahirnya, peranan ini dijalankan oelh Abdul Muthallib (datuknya) yang mengasuhnya selama dua tahun, kemudian diteruskan oleh bapa saudaranya Abu Thalib sehingga baginda dilantik sebagai nabi. Bahkan Abu Thalib terus memberikan bantuan untuk sekian lama. Oleh itu, baginda tidak kelihatan seperti seorang anak yatim. [20]
Selain itu, “Wa wajadaka dhâll[an] fa hadâ (Dia mendapati dirimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberimu petunjuk).” Perkataan ad-dhalâl di sini adalah dalam perkara ma’rifah as-syarî’ah (pengetahuan syariat). Al-Jazairi dan az-Zuhaili menafsirkan perkataan ini sebagai la ta’rifu dîn[an] walâ hud[an] (kamu tidak mengetahui agama atau petunjuk). [21] Kemudian Allah SWT juga memberinya petunjuk. Kenyataan ini juga diberitakan dalam Surah As-Syura (42): 52 dan Yusuf (12): 3.
Dalam ayat seterusnya, Allah SWT berfirman. “Wa wajadaka ‘â’il[an] fa aghnâ (Dia mendapati dirimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberimu kecukupan). Perkataan al-‘aylah bermaksud faqr (fakir). Pengertian ini seperti yang terdapat dalam Surah At-Taubah (9): 28. [22] Keadaan tersebut pernah berlaku kepada Rasulullah SAW. Namun ia tidak terus berlangsung kerana Allah SWT kemudian membuatnya berkecukupan. Al-Baghawi berkata, “Allah mencukupkan kamu dengan harta Khadijah, kemudian dengan ghanimah.” [23] Dijelaskan oleh Az-Zuhaili, pengertian kaya di sini boleh membawa maksud al-qanâ’ah terhadap keuntungan perdagangan dan lain-lain. Rasulullah SAW bersabda,
لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati.”[HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad dari Abu Hurairah]. [24]
Setelah menjelaskan pelbagai nikmat dan kurniaan yang diberikan, Allah SWT juga berfirman, “Fa ammâ al-yatîma falâ taqhar (Sebab itu, terhadap anak yatim, janganlah kamu berlaku sewenang-wenangnya).” Jika Rasulullah SAW diberi perlindungan ketika yatim, sikap yang sama mesti dilakukan terhadap anak-anak yatim yang lain. Terdapat larangan berbuat taqhar terhadap mereka. Perkataan qahara as-syakhsh bermaksud ihtaqarahu, tasallatha ‘alayhi bi az-zhulm (memandang rendah, menguasai secara zalim). [25]Al-Akhfasy, seperti yang dipetik oleh Al-Qurthubi, menafsirkan ayat ini: Lâ tusallith ‘alayhi bi zhulm wa [i]dfa’ haqqah wa a[i]zkur yutmuka (Janganlah kamu menguasainya secara zalim, berikanlah haknya, dan ingatlah keyatimanmu). [26] Menurut As-Samarqandi, perkataan lâ taqhar bermaksud Lâ tuzhlimuhu wa [i]dfa’ haqqahu (Janganlah kamu menzaliminya dan berikanlah haknya). [27] Lebih daripada itu, hendaklah bersikap baik dan lembut terhadap mereka.
Allah SWT berfirman: Wa ammâ as-sâ’ila falâ tanhar (terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdik). Pengertian as-sâ’il ialah orang fakir-miskin yang mempunyai keperluan dan meminta agar kekurangannya dipenuhi. [28] Terhadap mereka diserukan: falâ tanhar. Perkataan an-nahr wa al-intihâr bermaksud az-zajr bi mughâlazhah (membentak dengan kasar). [29] Maka, pengertian lâ tanhar, seperti yang dinyatakan oleh As-Samarqandi ialah lâ tu’zihi wa lâ tazjurhu (jangan engkau menyakiti dan membentaknya). [30] Ibnu Ishaq menafsirkan ayat ini: Adapun kepada peminta, janganlah engkau bersikap zalim, sombong, keji, dan berkata kasar terhadap hamba Allah yang lemah. [31]
Surah ini diakhiri dengan firmanNya, “Wa ammâ bini’mati Rabbika fa haddith (terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau menyiarkannya).” Menurut Mujahid, kenikmatan yang dimaksudkan adalah kenabian dan al-Quran. Maknanya, sampaikanlah perkara yang dengan itu kamu diutuskan. Pendapat ini juga dipilih oleh beberapa ahli tafsir, seperti As-Samarqandi. [32]
Sebahagian yang lain seperti As-Syinqithi dan Al-Biqa’i berpendapat bahawa kenikmatan tersebut bersifat umum. Semua kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba berupa harta, kesihatan, hidayah, serta pertolongan yang lembut dan halus terangkum di dalamnya. [33] Nampaknya pendapat ini lebih boleh diterima.
Terhadap kenikmatan tersebut, diperintahkan untuk menceritakan kepada orang lain. Menurut Umar bin Abdul Aziz, Al-Hasan, Qatadah, dan Fudhail bin ‘Iyadh, menceritakan kenikmatan adalah bentuk mensyukuri nikmat tersebut. [34]
Beberapa Nota Penting
Terdapat beberapa perkara penting yang patut dicatat daripada surah ini. Pertama: kedudukan Nabi SAW di hadapan Allah SWT dan pelbagai kenikmatan yang dianugerahkan kepadanya. Sebagai nabi dan rasul, bahkan sayyid al-anbiyâ‘ wa al-mursalîn, baginda tidak pernah ditinggalkan dan dibiarkan oleh Allah SWT. Sebaliknya, Allah selalu bersamanya [lihat Surah at-Taubah (9): 40]. Baginda juga sama sekali tidak dibenci oleh Allah. Sebaliknya, Allah SWT amat mencintai dan meredhainya. Ini juga dibuktikan dengan banyaknya nikmat dan kurnia yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.
Besarnya kenikmatan tersebut sudah dapat disaksikan di dunia ini. Baginda diangkat ke darjat maqâm[an] mahmûd[an], tempat terpuji [lihat Surah al-Isra’ (17): 17]. Baginda diutuskan sebagai nabi akhir zaman dengan membawa risalah yang sempurna; agama yang telah Dia sempurnakan dan Dia redhai [lihat Surah Al-Maidah (5): 3]. Agama ini ditujukan untuk seluruh manusia, sejak baginda diutus hingga akhir zaman [lihat Surah Saba’ (34): 28]. Agama ini juga diberitakan akan mengalahkan seluruh agama [lihat Surah As-Saff (61): 9]. Bukan sahaja di dunia. Di akhirat kelak, baginda akan diberikan kenikmatan yang jauh lebih besar, yang semuanya akan membuatnya menjadi redha.
Realiti ini selayaknya mendorong sesiapa sahaja yang ingin memperoleh kedudukan yang tinggi dan kenikmatan yang besar untuk mengimani risalahnya, menyahut seruannya, mengikuti jejaknya dan meneladani kehidupannya.
Kedua: mensyukuri nikmat dan manifestasinya. Dalam surah ini Rasulullah SAW turut diingatkan mengenai beberapa kenikmatan yang telah diterimanya sejak kecil. Baginda yang dilahirkan sebagai anak yatim sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaanNya. Baginda yang sebelum itu tidak mengetahui tentang deen dan syariat, diberi petunjuk berupa wahyu dan kitab. Malah petunjuk tersebut berguna bagi seluruh manusia yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Ketika baginda ditimpa kemiskinan dan kekurangan, Allah SWT memberinya kecukupan. Itu semua adalah kenikmatan yang tidak terhingga yang mesti disyukuri.
Surah ini juga memberikan penjelasan tentang manifestasi syukur tersebut. Terhadap anak-anak yatim, hendaklah bersikap baik; tidak boleh berlaku zalim/sewenang-wenangnya dan mengambil hak mereka. Terhadap para peminta yang fakir lagi memerlukan, tidak boleh berkata dan bersikap kasar, membentak, dan mengherdik sehingga menyakiti perasaan mereka. Jika kita memiliki apa yang diminta, kita boleh memberikannya. Namun, jika kita tidak memiliki apa yang diminta, penolakan hendaklah disampaikan dengan kata-kata yang halus dan santun.
Adapun terhadap kenikmatan yang diberikan, terutamanya nikmat petunjuk, kenabian, Islam, dan al-Quran, diperintahkan untuk diceritakan dan disebarluaskan. Ini adalah manifestasi syukur atas pelbagai kenikmatan yang diberikan. Walaupun ia ditujukan kepada Rasulullah SAW, seruan ini juga berlaku untuk semua umatnya. Semoga kita termasuk orang-orang yang dapat mensyukuri segala nikmatNya. Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
1 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994), 556; Ibnu ‘Athiyah, Al-Muharrar al-Wajîz, vol. 5 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2001), 493; Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 15 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 372.
2 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 557.
3 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1987), 765; Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 8 (tt: Dar Thayyibah, 1997), 454; An-Nasafi, Madârik at-Tanzîl wa Haqâ’iq at-Tanzîl, vol. 3 (Beirut: Dar al-Kalim at-Thayyib, 1998), 653; Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2003), 585-586.
4 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl Al-Qur‘ân, vol. 24 (tt: Muassasah ar-Risalah, 2003), 482; Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 20 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1964), 91; As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 557; Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 8, 454.
5 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 2, 91.
6 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 2, 91.
7 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 2, 92.
8 Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur’ân, vol. 24, 484.
9 Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah (tt: ‘Alam al-Kitab, 2008), 2418.
10 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4, 766; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 557; Abu Hayyan al-Andalusi, Bahr al-Muhîth, vol. 10, 496; As-Samin al-Halbi, Ad-Durr al-Mashûn, vol. 11 (Damsyiq: Dar al-Qalam, tt), 36.
11 Ibnu ‘Athiyah, Al-Muharrar al-Wajîz, vol. 5, 493. Lihat juga As-Samin al-Halbi, Ad-Durr al-Mashûn, vol. 11, 36; Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta’wîl, vol. 5 (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1997), 319.
12 Al-Asfhani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur’ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), 683.
13 Ismail al-Istanbuli, Rûh al-Bayân, vol. 10 (Beirut: Dar al-Fikr, tt), 454.
14 As-Syinqithi, Adhwâ’ al-Bayân, vol. 8 (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 557.
15 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 487.
16 An-Nasafi, Madârik at-Tanzîl wa Haqâ’iq at-Tanzîl, vol. 3, 654; Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr al-Ta’wîl, vol. 5, 319; Ismail al-Istanbuli, Rûh al-Bayân, vol. 10, 455.
17 As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3, 487.
18 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 30 (Beirut: Dar al-Fikr, 1998), 285.
19 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 15 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 380.
20 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31 (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 196. Lihat juga Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 30, 285
21 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 585; az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 30, 283. Lihat juga Al-Biqa’i, Nazhm ad-Durar, vol. 22 (Kaherah: Dar al-Kitab al-Islami, tt), 109.
22 Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta’wîl, vol. 5, 319; al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 585;
23 Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 8, 456.
24 Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 30, 283
25 Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah, 1866.
26 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 2, 100.
27 As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 487.
28 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 545.
29 Al-Asfhani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân, 826.
30 As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3, 487
31 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 8 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), 414.
32 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 2, 100; Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 8, 457; As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3, 487.
33 As-Syinqithi, Adhwâ‘ al-Bayân, vol. 8, 570; Al-Biqa’i, Nazhm ad-Durar, vol. 22, 111.
34 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 15, 383.

