[Kaedah-Kaedah Taklid] Kepentingan Kaedah Taklid bagi Seorang Muqallid (Bahagian 2/2)
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Syariat Islam telah memberikan jalan keluar bagi orang yang tidak mampu melakukan proses ijtihad untuk tetap terikat dengan syariat Islam. Jalan keluar itu adalah taklid. Taklid adalah mengikuti hukum syariat yang digali oleh seorang mujtahid tanpa hujah yang bersifat mengikat.
Akan tetapi, taklid juga memiliki syarat-syarat dan kaedah-kaedah yang mesti diikuti dan dipatuhi, sebagaimana ijtihad. Ini kerana taklid adalah sebahagian dari perbuatan yang mesti didasarkan pada tuntunan syariat. Taklid tidak boleh dilakukan dengan cara semena-mena dan sewenang-wenang. Jika seseorang bertaklid tanpa mengikuti kaedah-kaedah yang benar, boleh dipastikan taklidnya didasarkan pada hawa nafsu.
Tidak hanya itu, sering kali seorang muqallid terjatuh ke dalam taklid buta atau memilih pendapat yang kira-kira sekadar sejalan dengan keinginan dan hawa nafsunya. Akhirnya mereka memilih pendapat bukan untuk terikat dengan syariat Allah, tetapi untuk memenuhi kepentingan-kepentingan dan keinginan-keinginan mereka. Dalam keadaan semacam ini, orang tersebut telah menundukkan hukum syariat di bawah hawa nafsunya, bukan menundukkan hawa nafsunya di bawah ketentuan Al-Quran dan sunnah. Jika suatu hukum sejalan dengan keinginan dan kepentingannya, dia ambil hukum tersebut. Sebaliknya, jika hukum tersebut bertentangan dengan kehendak dan hawa nafsunya, dia akan membenci dan mencampakkannya.
Sesungguhnya ketidaktahuan seseorang terhadap kaedah taklid akan menjatuhkan seseorang tidak konsisten dalam berpendapat. Kadang-kadang untuk menghukumi satu perbuatan, dia memilih pendapat sesuatu mazhab kerana sesuai dengan keinginannya. Kemudian pada lain hari, dia tinggalkan mazhab tersebut dan memilih pendapat mazhab yang lain lagi dengan alasan pendapat mazhab terdahulu sudah tidak relevan lagi dengan keinginannya.
Lebih buruk lagi, mereka malah pasrah dengan apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpinnya. Apa yang dikatakan pemimpinnya perlu ditaklidkan (diikuti) dan dianggap kebenaran mutlak, padahal pendapat para pemimpinnya sama sekali tidak didasarkan pada Al-Quran dan sunnah. Bahkan pendapat-pendapat mereka telah menyimpang jauh dari tuntunan Islam. Lebih ironi lagi, pemimpin-pemimpinnya juga terkenal fasik dan ahli bidah yang sepatutnya tidak boleh diikuti.
Jika keadaan ini dibiarkan terus berterusan, tentunya kaum muslim akan makin terjatuh pada taklid yang didasarkan hawa nafsu, bukan didasarkan ketentuan syariat Islam. Oleh kerana itu, memahami kaedah taklid merupakan satu-satunya jalan agar kita benar-benar mengikuti Allah dan Rasul-Nya, bukan malah mengikuti hawa nafsu dan setan yang akan menceburkan kita ke dalam kehinaan dan kenistaan. Allah Swt. telah menyindir masalah ini di dalam sebuah firman-Nya,
“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya seandainya kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ Dan mereka berkata, ‘Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin- pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali ganda dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar.’” (Al-Ahzab: 66—68).
Dari sini kita boleh memahami bahawa memahami kaedah taklid menjadi sangat penting sebab seorang muslim yang tidak mampu melakukan ijtihad diwajibkan taklid (mengikuti) seorang mujtahid agar dirinya memahami dan berbuat sesuai dengan hukum syariat. Hanya saja, seorang muqallid perlu memahami kaedah taklid terlebih dahulu sebelum memilih dan mengambil suatu pendapat. Apabila seorang muqallid tidak memahami kaedah taklid, boleh dipastikan dia akan memilih suatu pendapat berdasarkan hawa nafsu belaka.
Lebih dari itu, ketidaktahuan seorang muslim akan kaedah taklid akan menjatuhkan dirinya ke dalam taklid-taklid yang menyimpang atau tidak sejalan dengan tuntunan syariat. Misalnya, taklid kepada pendapat orang-orang tertentu, atau taklid kepada orang- orang yang terkenal fasik dan suka melanggar hukum syariat.
Untuk itu, “kaedah taklid” ini mesti dihadirkan kembali di tengah-tengah kaum muslim agar kaum muslim yang terus memburuk dalam kemunduran ini tidak makin hancur dan binasa akibat ketaktahuan mereka terhadap ketentuan memilih dan mengambil pendapat.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

