[Kaedah-Kaedah Taklid] Definisi Taklid
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Secara literal, taklid diambil dari kata al-qaladzah allatiy yuqallidu ghairahu bihaa (kalung yang dikenakan kepada orang lain). Sedangkan menurut istilah, taklid adalah amal biqauli al-ghairi min ghair hujjah mulzimah (beramal dengan mengikuti pendapat orang lain tanpa ada hujah (dalil) yang bersifat mengikat). Misalnya, orang awam yang mengikuti pendapat orang awam lainnya, atau seorang mujtahid yang mengikuti pendapat mujtahid lainnya.
Menurut Al-Amidi, merujuknya seseorang kepada sabda Nabi saw., ijmak mujtahid pada suatu masa, keputusan seorang qadhi berdasarkan kesaksian seorang yang adil, dan merujuknya seorang muqallid kepada seorang mufti (pemberi fatwa) tidak terkategori sebagai taklid kerana tidak adanya hujah lazim yang boleh dijadikan pegangan.
Sedangkan menerima semua sabda Rasulullah saw. yang menunjukkan wajibnya meyakini kemukjizatan Rasul, wajibnya menerima ijmak mengenai kewajipan menerima perkataan Rasulullah saw., wajibnya menerima pendapat seorang mufti atau para saksi; semua ini disebut dengan taklid menurut ‘urf (kebiasaan) pengguna bahasa.
Ibnu Hammam dalam At-Tahriir mengatakan, “Taklid adalah berbuat berdasarkan pendapat orang yang tidak memiliki hujah, tanpa ada alasan. ” Al-Qaffaal menyatakan, “Taklid adalah mengikuti pendapat orang yang anda sendiri tidak tahu dari mana pendapat itu berasal.” Syeikh Abu Hamid dan Abu Manshur berpendapat, “Taklid adalah menerima pendapat orang lain tanpa ada hujah atas pendapat tersebut.”
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

