“Musibah” Agama
Penulis: Ustaz M. Taufik N.T.
Imam Asy-Sya’bi menceritakan bahawa Qadhi Syuraih berkata “Sesungguhnya jika aku ditimpa musibah, maka aku akan memuji Allah empat kali. Pertama, kerana aku tidak dilanda musibah yang lebih berat, kemudian kerana aku dianugerahkan kesabaran atasnya dan disebabkan musibah itu, aku mengucapkan kalimat istirja (Innalillah wa inna ilaihi rajiun) dan aku memperoleh pahala kerananya serta kerana musibah itu tidaklah menimpa agamaku.” (Siyâru A’lâmi an Nubalâ, juz 4 hal 105).
Setiap orang pasti pernah ditimpa musibah. Hanya saja, ketika “musibah” itu tidak menimpa agama, maka “musibah” tersebut jika dihadapi dengan sabar, maka akan membuahkan kebaikan.
“Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah tinggikan ia satu darjat atau Allah hapuskan darinya satu kesalahan.” (HR Muslim, At-Tirmidzi, Ahmad).
Musibah juga boleh jadi bentuk kasih sayang Allah SWT. Dia ingin menegur hamba-Nya agar tersedar atau ingin menyegerakan hukuman di dunia saja. Ada seorang lelaki datang menemui seorang wanita yang dahulunya, pada masa jahiliyah merupakan seorang penzina. Lelaki tersebut menemuinya dengan niat untuk mencumbuinya. Lelaki itu membuka tangannya kepada wanita itu. Kemudian wanita itu berkata, “Tahan, sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah menghilangkan kesyirikan. ‘Affan (perawi hadis) berkata, “Telah hilang kejahiliyahan dan Islam telah datang kepada kami.” Kemudian, lelaki itu berpaling meninggalkan wanita itu, tetapi wajahnya terkena dinding sehingga terluka.
Lelaki itu mendatangi Nabi SAW. dan menceritakan hal tersebut pada Baginda. Kemudian Baginda bersabda, “Kamu adalah hamba yang Allah menghendaki kebaikan padamu. Jika Allah menghendaki kebaikan kepada seorang hamba, nescaya Dia akan menyegerakan seksa atas dosanya. Jika Dia menghendaki keburukan, maka Dia akan menangguhkan dosanya sehingga ia menumpuk penuh untuk dibalas pada hari kiamat.” (HR Ahmad, sahih lighairihi)
Adapun, jika “musibah” menimpa agama, terkadang ramai yang tidak menyedarinya. Al Hafidz Ibnu Abdil Barr dalam kitab Bahjatul Majalis sampai menyindir dengan sebuah syair yang berbunyi, “Wahai saudaraku, sesungguhnya sebahagian lelaki itu umpama binatang ternak dalam bentuk seorang lelaki yang mendengar dan melihat. Dia cerdas saat musibah menimpa hartanya, tetapi ketika musibah itu menimpa agamanya, dia tidak merasakan (apa-apa).”
Jika musibah itu berupa bencana alam, pertolongan masih boleh diharapkan. Ramai manusia yang terketuk hatinya untuk membantu. Namun, siapa yang sanggup menolong ketika perlu berhadapan dengan Allah SWT. kerana agamanya dilanda “musibah”? Ketika mana hukum-hukum-Nya diabaikan, ketika manusia berfikir bahawa mereka lebih berhak mengatur diri mereka sendiri dan mencampakkan sistem peraturan yang bersumber dari Pencipta mereka sendiri dengan berbagai alasan. Ketika aurat sudah dianggap biasa untuk dipertontonkan, ketika riba dan zina justeru menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan. Musibah yang besar adalah apabila semua ini terjadi, tapi sebahagian besar manusia tidak merisaukannya.
“Musibah” agama ini telah melahirkan “musibah” lainnya. Gangguan jiwa yang dialami oleh jutaan manusia, bunuh diri, jutaan bayi digugurkan (dibunuh) setiap tahun dan berbagai masalah sosial lainnya merupakan akibat dari musibah jenis ini.
Rasulullah SAW. bersabda, “… Dan tidaklah pemimpin-pemimpin mereka enggan menjalankam hukum-hukum Allah dan memilih-milih apa yang diturunkan Allah (yang sesuai dengan hawa nafsunya saja yang diguna-pakai), kecuali Allah akan menjadikan bencana di antara mereka.”(HR Ibnu Majah dengan sanad hasan).
Kita layak merasa berdosa atau bersalah ketika tidak turut membantu mangsa bencana alam. Namun, sudahkan kita merasa berdosa ketika kita tidak mengkhuatirkan “bencana” yang lebih besar ini? Alasan apa yang akan kita sampaikan di hadapan Allah ketika kita ditanya kelak? Wallahualam.

