[Tsaqafah] Muslimah Ejen Perubahan
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Di antara goresan tinta emas sejarah yang sangat penting dalam perjalanan hidup Rasulullah saw. adalah peristiwa hijrah beliau bersama para sahabatnya dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Dalam peristiwa tersebut, tampak sosok manusia mulia yang begitu kukuh memegang prinsip yang diyakini, tegar dalam mempertahankan akidah, gigih memperjuangkan kebenaran, bahkan meninggalkan segala bentuk paganisme dan kekufuran.
Peristiwa Hijrah Nabi saw. merupakan peristiwa yang menandai perubahan masyarakat jahiliyah yang penuh kegelapan saat itu, menjadi masyarakat Islam yang gilang-gemilang. Inilah sebetulnya makna terpenting dari peristiwa hijrah Nabi (saw.). Hanya saja, peristiwa penting ini tidak sepenuhnya difahami oleh umat Islam. Bahkan, sebahagian hanya menganggap ini merupakan peristiwa biasa sebagaimana perpindahan dari satu tempat ke tempat lain.
Nyatanya, peristiwa ini merupakan peristiwa yang sangat penting, yakni perubahan masyarakat yang luar biasa; dari kegelapan menuju cahaya; dari peradaban yang terhina ke peradaban mulia. Hal inilah yang seharusnya dijadikan sebagai momentum untuk merenungkan kembali keadaan umat Islam di belahan dunia mana pun saat ini.
Keadaan umat Islam di belahan dunia mana pun saat ini dalam situasi yang sangat memprihatinkan, tidak ubahnya seperti masa sebelum Islam. Ada yang menyebut sebagai jahiliyah moden. Mengapa tidak? Saat ini, riba telah merajalela di berbagai sendi ekonomi. Perzinaan dan pergaulan bebas dianggap sebagai hal biasa. Meneguk khamar dianggap hal yang lumrah. Kemiskinan di sana-sini. Perlakuan zalim penguasa terhadap rakyatnya. Kes jenayah yang makin meningkat di mana-mana.
Harus Berubah
Sudah tentu keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Umat Islam seluruhnya, semua kalangan, harus segera bangkit dari keterpurukan. Caranya dengan kembali pada Islam kaffah dalam naungan Khilafah.
Keluarga muslim perlu kembali berfungsi sebagai benteng umat yang melahirkan generasi terbaik dan individu-individu yang bertakwa. Visi hidup mereka sebagai hamba Allah yang mengemban misi kekhalifahan di muka bumi. Dengan itu, ketakwaan individu tetap terpelihara. Keluarga tetap kukuh kerana berfungsi dengan benar. Masyarakat tetap terjaga sebagai mesin pengawal penguat ketakwaan. Negara juga menjadi penjaga umat dari segala ruang kerosakan.
Di sinilah urgensi dakwah membangun kesedaran. Islam bukan hanya agama ritual, tetapi juga mengatur seluruh aspek kehidupan, baik dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Di sini jugalah peranan penting seluruh umat Islam, apalagi orang-orang yang berilmu, termasuk para mubaligh dan mubalighah. Mereka perlu melaksanakan peranan dan fungsi sentralnya di tengah umat. Bukan sekadar memberikan tausiah ke tengah umat, melainkan harus benar-benar menyedarkan umat bahawa saat ini umat dalam keadaan terpuruk kerana tidak menerapkan Islam.
Selanjutnya, mereka harus menanamkan pemahaman ideologi Islam dan menuntun umat untuk melaksanakan aturan Islam secara kaffah. Dengan itu, umat dengan sendirinya tergerak untuk berubah, bergerak bersama mereka untuk mengubah keadaan umat, berjuang bersama untuk menegakkan Islam secara sempurna. Dengan itu pula kelak umat Islam kembali menjadi umat terbaik di antara seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Peranan Muslimah
Gerakan perubahan ini bukan hanya tanggung jawab kaum lelaki. Kaum muslimah juga memiliki kewajipan yang sama dengan lelaki. Muslimah juga wajib menyampaikan Islam kaffah melalui dakwah Islam.
Allah SWT berfirman, “Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, serta mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (TMQ At-Taubah [9]: 71).
Sejak Rasulullah saw. diutus untuk menyebarluaskan risalah Islam, para muslimah generasi awal telah terlibat secara aktif dalam pergerakan dakwah bersama kaum muslim lainnya. Mereka melakukan transformasi sosial. Mengubah masyarakat jahiliyah yang menjadi masyarakat mulia, iaitu masyarakat Islam. Mereka bahkan secara bersama merasakan pahit-getirnya mengemban misi dakwah.
Mereka juga melakukan perang pemikiran dan perjuangan politik di tengah masyarakat. Atas pertolongan Allah, akhirnya mereka berhasil membangun masyarakat Islam yang agung di Madinah. Itulah masyarakat yang tegak di atas landasan akidah dan hukum-hukum Islam yang menerapkan dan melaksanakan aturan Allah secara sempurna.
Demikian halnya pada masa khulafa ar-rasyidin dan para khalifah sesudahnya. Peranan kaum muslimah dalam kancah kehidupan demikian besar, termasuk tercatat dalam percaturan politik. Mereka terlibat dalam aktiviti amar makruf nahi mungkar, muhasabah (koreksi) terhadap penguasa, bahkan jihad.
Istimewanya, pada saat yang sama, mereka juga mampu melaksanakan peranan utamanya sebagai ummun wa rabbatul bayt (ibu dan pengurus rumah tangga). Mereka berhasil mencetak generasi terbaik. Generasi mujahid dan mujtahid. Generasi yang mampu membangun peradaban Islam yang tinggi yang mengalahkan peradaban-peradaban lainnya di dunia dalam rentang waktu yang sangat panjang.
Generasi demikian lahir dari ibu-ibu yang faham Islam. Ibu yang mengajarkan Islam kaffah kepada anak-anaknya. Ibu yang mengajarkan Islam sebagai ideologi yang melahirkan aturan-aturan Islam yang sempurna yang mengatur seluruh aspek kehidupan. Tidak hairan jika umat Islam pada waktu tersebut betul-betul boleh mendapat gelaran “khayru ummah”, umat terbaik. Ini sesuai dengan janji Allah SWT dalam QS Ali Imran [3]: 110.
Pada masa Rasulullah saw., para sahabiyah melakukan aktiviti politik dan perjuangan politik. Itu mereka lakukan tanpa meninggalkan peranan dan tugas utamanya sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Mereka berjuang bersama-sama Rasulullah saw. dan sahabat lainnya tanpa memisahkan barisan mereka dari barisan Rasul dan sahabatnya. Mereka berada dalam perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini. Mereka mendukung perjuangan beliau bersama suami dan anak-anak mereka.
Dalam Islam, perempuan diposisikan sebagai perhiasan berharga yang wajib dijaga dan dipelihara. Ini tidak bererti kedudukan tersebut menghalang perempuan dalam wilayah tertentu. Islam memberi peranan bagi perempuan dalam ranah domestik sekaligus publik. Ia adalah ejen perubahan, penyangga peradaban mulia.
Sejarah mencatat nama-nama besar seperti Sayyidah Khadijah binti Khuwailid ra., Fatimah Az-Zahra ra., Aisyah binti Abu Bakar ra., Sumayyah ra., Fatimah binti al-Khattab ra., Ummu Jamil binti al-Khattab ra., Ummu Syarik ra., dan sebagainya. Sejak bersentuhan dengan Islam, hari-hari mereka hanya dipersembahkan demi kemuliaan dan kejayaan Islam. Mereka bersungguh-sungguh mengerahkan segenap kemampuan dalam menjunjung tinggi syiar Islam. Membela agama Allah dengan ketulusan yang tidak diragukan. Mencintai Allah dan Rasulullah dengan kecintaan yang mendalam.
Itu semua mereka refleksikan dengan ketaatan pada risalah yang beliau saw. bawa. Mereka bersabar dengan segala kesulitan hidup mereka. Mereka patuh dan menghargai suami dengan kepatuhan dan penghormatan yang patut diteladan. Mereka mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan yang baik. Lahirlah para pahlawan sejati yang dijamin masuk syurga. Mereka merelakan buah hati mereka terbunuh sebagai syahid membela agama-Nya. Bahkan tidak sedikit dari mereka yang terjun langsung dalam jihad fi sabilillah demi meraih mardhatilLâh dan janah-Nya.
Khatimah
Kini, sudah saatnya kaum muslimah menyedari bahawa mereka adalah penyangga peradaban Islam. Mereka memiliki tanggung jawab yang sama dengan kaum lelaki, yakni melakukan perubahan di tengah masyarakat menuju peradaban mulia dengan menegakkan Islam kaffah.
Langkah yang harus dilakukan—baik oleh muslim atau muslimah—tiada perbezaan. Ini kerana keduanya adalah bahagian dari masyarakat yang tidak terpisah antara satu sama lain. Langkah awal yang kita lakukan adalah mengubah pola fikir umat yang telah dirasuki oleh pemikiran-pemikiran asing—yang secara jelas merupakan musuh-musuh Islam—dengan tsaqâfah Islam.
Dengan itulah umat akan bangkit dengan cara yang benar dan landasan yang benar, iaitu akidah Islam. Caranya adalah dengan membina umat dengan Islam. Pemikiran dan hukum-hukum Islam ini tidak boleh hanya dipandang sebagai informasi saja. Ia harus dipandang sebagai acuan untuk membahas dan menyikapi fakta yang dihadapi dengan tepat dan benar berdasarkan sudut pandang Islam.
Dengan pembinaan ini akan terbentuk pemahaman Islam di tengah umat Islam. Hal ini akan berpengaruh pada tingkah laku mereka dan mendorong untuk siap bergerak menyampaikan dakwah Islam, diatur oleh hukum-hukum Islam, dan sentiasa mengupayakan agar aturan Allah dan Rasul-Nya tegak di muka bumi ini. Hanya dengan sistem Islamlah kita akan mampu meraih kemajuan Islam, iaitu sebagai umat terbaik di muka bumi ini. Wallahualam bissawab.
Sumber artikel: Al-Waie

