Site icon MuslimahHTM News

Menghitung Diri

Menghitung Diri

Penulis: Ustaz M. Taufik N.T.

 

Kecerdasan seseorang ditentukan oleh sejauh mana dia pandai berhitung dan melakukan aktivitinya dengan penuh perhitungan.

 

Rasulullah SAW. bersabda, “Orang yang cerdas adalah orang yang menunjukkan hawa nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah.” (HR At Tirmidzi dari Syaddad bin Aus).

 

Imam At Tirmidzi mengatakan bahawa maksud man dana nafsahu adalah (orang yang) menghitung dirinya sendiri sebelum dia dihitung pada hari kiamat.

 

Pandai menghitung diri bukan hanya tanda kecerdasan, tetapi juga tanda ketakwaan. Diriwayatkan dari Maimun bin Mihran, dia mengatakan, “Tidaklah seorang hamba disebut bertakwa sehingga dia menghitung dirinya sebagaimana dia menghitung syarikat perdagangannya dari mana makanan dan pakaiannya.” (Sunan at Tirmidzi juz 4 halaman 638)

 

Tahun demi tahun telahpun berlalu, sama ada kita menghitung diri ataupun tidak, masa hidup kita di dunia ini akan terus berkurang. Jika kita tidak pandai menghitung diri, nescaya kita akan celaka.

 

Imam Al Ghazali dalam Ayyuhal Walad memberi nasihat kepada salah seorang muridnya, “Dan barangsiapa yang usianya sudah mencapai 40 tahun tetapi amalnya tidak melebihi dosanya, maka bersiap-siaplah dia untuk masuk ke neraka.”

 

Kita juga akan celaka jika “salah dalam melakukan perhitungan”, contohnya tidak mahu menutup aurat kerana dia mengira ia akan menyebabkan sukar untuk mendapatkan jodoh. Selain itu, boleh jadi seseorang tidak mahu meninggalkan perniagaan ribawinya kerana dia merasakan bahawa dia tidak dapat hidup tanpa riba. Ada juga yang tidak mahu mendakwahkan ajaran Islam, kecuali jika apa yang mahu disampaikan akan disukai oleh masyarakat dan juga pemerintah. Dia merasakan bahawa jika dia menyampaikan ajaran Islam yang tidak disukai oleh penguasa, popularitinya akan menurun, rezekinya akan tersekat atau bahkan nyawanya akan terancam.

 

Memang boleh jadi, seseorang yang menyampaikan kebenaran dan menolak kemungkaran akan disoal, dibuli atau bahkan dipenjara. Dahulu pada tahun 1957, para alim ulama yang berkumpul di Palembang dan menyampaikan resolusi tentang keharaman dan bahaya komunisme, mereka dibuli, dituduh anti-revolusi dan sebahagian dari mereka juga akhirnya dipenjara.

 

Tetapi, sepatutnya dalam perhitungan seorang muslim, tidak ada keuntungan yang lebih besar daripada dapat menjalankan ketaatan kepada Allah Taala. Sebaliknya, tidak ada kerugian yang paling besar selain dari bermaksiat, mengabaikan syariat Allah Azza wa Jalla. Risiko apa pun di dunia akan dapat ia hadapi dengan tenang dan senang jika dia mempunyai perhitungan yang benar.

 

Setelah Rasulullah SAW. dan Abu Bakar RA. berhijrah, Suhaib bin Sinan telah menyusun rancangan untuk menyusul mereka. Beliau telah menyimpan harta hasil usahanya selama berpuluh tahun, kemudian beliau keluar berhijrah menyusul Rasulullah SAW. secara sembunyi.

 

Namun, orang-orang Quraisy berjaya mengejarnya. Mereka berkata kepada Suhaib RA., “Engkau datang kepada kami dalam keadaan miskin, kemudian harta engkau menjadi banyak ketika di sisi kami, kemudian engkau ingin pergi dengan harta engkau? Demi Allah hal itu tidak boleh terjadi.

 

Kemudian Suhaib menjawab, “Bagaimana pendapat kalian jika aku berikan hartaku kepada kalian, adakah kalian akan membiarkan jalanku (untuk pergi hijrah)?

 

Orang-orang tersebut bersetuju dengan pendapat itu. Kemudian, Suhaib memberikan hartanya (dengan menunjukkan tempat-tempat penyimpanan hartanya), dan beliau melanjutkan perjalanan hijrah menyusul Rasulullah SAW.. Ketika Rasulullah mengetahui perkara itu, Baginda mengatakan, “Telah beruntung Suhaib, telah beruntung Suhaib.” (HR. Ahmad dan Ibnu Hibban).

 

Inilah semangat hijrah yang sepatutnya tertanam dalam fikiran setiap muslim iaitu dengan meninggalkan apa yang menghalang redha Allah SWT dan larangan-Nya. “Dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (HR. Al Bukhari).

 

Secara fizikal, mungkin Suhaib “kelihatan” rugi kerana telah kehilangan hartanya, perniagaannya, tempat tinggalnya dan hubungan-hubungan bisnesnya untuk pergi ke suatu tempat yang baru dan memulakan bisnes dari tahap “kosong”. Namun, hakikatnya, sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW., justeru Suhaib seorang yang sangat beruntung. Harta, walaupun hilang, kalau memang sudah rezekinya, pasti dia akan mendapatkannya kembali atau Allah SWT. akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Sementara itu, ketaatan kepada Allah SWT. dan redha-Nya tidak akan dapat dibeli dengan dunia dan seisinya. Wallahualam.

 

Exit mobile version