[Kaedah-Kaedah Taklid] Taklid Seorang Muqallid
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Adapun taklid seseorang yang bukan mujtahid, baik muqallid mutabbi‘ dan ‘amiy dapat diperincikan sebagai berikut. Pada dasarnya, jika seorang muqallid dihadapkan pada satu masalah, dia wajib bertanya kepada orang yang dia ketahui alim dan adil mengenai hukum atas masalah tersebut. Ini kerana Allah SWT tidak akan menerima ibadah yang didasarkan pada ketaktahuan atau kebodohan. Ibadah mesti didasarkan pada ilmu.
Allah SWT berfirman,
“Dan bertakwalah kepada Allah, Allah memberikan pengajaran kepadamu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (TMQ Al-Baqarah: 282).
Maknanya, Allah SWT telah mengajarkan segala sesuatu kepada kamu sekalian. Dengan demikian, ilmu itu sebelum takwa sebab perintah untuk bertakwa kepada Allah hanya akan tercapai jika dia telah diajari dengan ilmu pengetahuan.
Di sisi yang lain, salah satu syarat agar amal perbuatan seseorang diterima Allah SWT adalah benar (shawab) sesuai dengan tuntunan syariat Islam.
Imam Fudhail bin ‘Iyadh tatkala ditanya tentang ihsan al-amal, beliau menyatakan, “Sebuah amal baru boleh dikatakan sebagai amal yang ihsan, tatkala amal tersebut memenuhi dua pra-syarat. Pertama, ikhlas. Kedua, benar.
- Pertama, Ikhlas
Ikhlas adalah berbuat semata-mata mencari redha Allah SWT. Banyak ayat yang memerintahkan seorang muslim untuk berbuat hanya untuk mendapatkan redha Allah SWT, iaitu ikhlas. Di antaranya adalah firman Allah SWT sebagai berikut,
“Sedangkan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (TMQ Al-Bayyinah: 51).
Rasulullah SAW bersabda yang ertinya, “Sesunggguhnya amal itu tergantung dengan niatnya.” (Muttafaq ‘alaih).
- Kedua, benar
Prasyarat berikutnya adalah benar. Imam Fudhail bin ‘Iyadh menyatakan bahawa benar di sini adalah berbuat sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah. Allah SWT berfirman,
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.” (TMQ Al-Hasyr:7).
Perbuatan seorang muslim tidak akan diterima oleh Allah SWT bila tidak memenuhi dua pra-syarat di atas. Kedua-duanya mesti ada tatkala seseorang mengerjakan sebuah amal. Walaupun seorang muslim ikhlas dalam beramal, tetapi amalnya tersebut tidak sesuai dengan hukum-hukum Islam maka amal tersebut tertolak. Sebaliknya, Walaupun amal perbuatannya sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah, tetapi jika tidak dilandasi dengan keikhlasan kepada Allah, perbuatannya juga tertolak.
Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, Nabi SAW bersabda, “Orang yang melakukan penipuan akan dimasukkan ke dalam api neraka dan barang siapa mengerjakan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan maka perbuatan itu tertolak. “ (HR Bukhari).
Di dalam riwayat lain juga dituturkan, dari ‘Aisyah ra., dia berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang membuat-buat perkara baru dalam urusan kami padahal urusan itu tidak diperintahkan maka perkara itu tertolak.” (HR Bukhari). Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Ja’far al-Makhramiy, Abdul Wahid bin Abi Aun, dari Sa’id bin Ibrahim) dan masih banyak hadis-hadis lain yang menerangkan masalah ini.
Agar perbuatan memenuhi syarat yang kedua, yakni benar maka sudah sepatutnya bagi seorang muslim belajar dan memahami ketentuan-ketentuan Allah SWT (syariat Allah). Tanpa memahami ketentuan Allah SWT, seorang muslim mustahil boleh berbuat sesuai dengan tuntunan Allah dan Rasul-Nya.
Dari sini boleh disimpulkan bahawa memahami syariat Islam yang berhubungan erat dengan amal perbuatan adalah aktiviti yang sangat penting. Tanpa belajar hukum syariat, kita tidak dapat menilai apakah perbuatan yang kita lakukan telah sesuai dengan syariat atau belum. Sedangkan benar dalam beramal sesuai dengan tuntunan Al-Quran dan Sunnah merupakan salah satu syarat agar amal kita diterima oleh Allah SWT.
Zaid bin Zubeir berkata, “Tidaklah diterima suatu perkataan melainkan diiringi dengan perbuatan dan tidak akan diterima perkataan dan amal kecuali dengan niat dan tidak akan diterima perkataan, amal, dan niat kecuali sesuai dengan sunnah Nabi SAW. “
Imam Malik pernah berkata, “Sunnah adalah perahu Nabi Nuh. Barang siapa yang menumpanginya maka dia akan selamat dan barang siapa yang tidak menumpanginya akan tenggelam.”
Dengan demikian, seorang muslim wajib memahami hukum syariat sebelum melaksanakan suatu perbuatan sebab dia diperintahkan untuk beribadah kepada Allah dengan ilmu dan pengetahuan.
Bagi orang yang tidak mampu menggali hukum syariat langsung dari dalil-dalil syariat atau tidak dapat melakukan ijtihad, satu-satunya jalan untuk memahami hukum syariat adalah bertanya kepada orang yang faham syariat. Dengan kata lain, seorang muqallid wajib bertanya mengenai hukum syariat kepada orang yang faham syariat sebelum dia melaksanakan suatu perbuatan.
Orang-orang awam pada masa sahabat ra. tidak henti-hentinya meminta fatwa kepada para mujtahid dan taklid kepada mereka dalam masalah hukum syariat. Bahkan hampir-hampir mereka hanya bertanya mengenai status hukumnya saja, tanpa pernah bertanya dalil-dalil yang digunakan istinbat oleh para mujtahid yang mereka ikuti. Namun, para sahabat tidak pernah melarang mereka dan tidak seorang pun sahabat yang mengingkari amalan demikian. Ini menunjukkan bahawa taklid orang awam kepada orang alim telah menjadi ijmak para sahabat.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

