Merenung Kembali Pesanan Nabi SAW. dalam Khutbah Wada’
Idealnya, Aidiladha adalah hari bergembira. Hari Raya Korban sejatinya adalah hari kegembiraan. Namun sayang, bagi sebahagian umat Islam, kegembiraan itu masih dikuburkan oleh kedukaan. Kegembiraan masih ditutupi oleh kabus kesengsaraan. Perayaan Hari Raya Korban masih diselimuti oleh berbagai penderitaan.
Palestin, contohnya, masih terus dirundung duka. Puluhan tahun berada dalam cengkaman Zionis sang durjana. Begitu juga Rohingya, masih amat menderita. Uyghur masih tersungkur, dipenjara dan terus diseksa oleh rejim kejam komunis China. Syria juga masih terluka parah, menjadi mangsa kebiadaban rejim yang hauskan darah sekaligus menjadi rebutan negara-negara kafir penjajahan.
Di belahan bumi lain, termasuk di negara ini, kaum muslim masih tetap dipinggirkan, menjadi mangsa ketidakadilan sekaligus mangsa kebencian para pembenci Islam. Isu radikalnya terus dilaungkan seiring dengan isu terorisme yang sebelum ini terbukti penuh dusta dan rekaan. Faktanya, isu ini hanya menjadi alat untuk menghinakan kaum muslim di seluruh dunia, termasuklah di Bumi Nusantara.
Yang semakin menghiris hati, ajaran Islam mula dipersoalkan dan simbol-simbolnya juga sering dipermasalahkan oleh mereka yang kononnya “pejuang toleransi”. Di sisi lain, beragam krisis terus melanda negara, khususnya krisis ekonomi. Kemiskinan tidak pernah berganjak pergi, angka pengangguran semakin meninggi. Hutang luar negara semakin menjadi-jadi juga banyak Badan Kerajaan yang terus merugi.
Negara ini juga seolah-oleh tidak pernah dapat lari dari jerat rasuah, terutamanya yang melibatkan pegawai berjawatan tinggi. Pada masa yang sama, perusahaan asing terus dibiarkan merompak kekayaan alam negara. Ironinya, semua itu terjadi ketika penguasa dan para pegawainya lantang berteriak tentang kedaulatan negara tetapi masih setia menerapkan sistem demokrasi yang sudah terbukti berkali-kali gagal memakmurkan dan mensejahtera rakyat di negara ini.
Oleh kerana itu, di tengah-tengah nestapa dan derita bangsa, juga di dalam momen Aidiladha, kita layak merenung sejenak memikirkan pesan-pesan Nabi SAW. ketika Khutbah Wada’ sekitar 14 abad yang lalu di hadapan kira-kira 140 ribu jemaah haji. Berikut merupakan sebahagian daripada khutbah Baginda :
“Wahai manusia, sungguh darah kalian, harta kalian dan kehormatan kalian, sama sucinya dengan sucinya hari ini, negeri ini dan bulan ini. Siapa saja yang memiliki amanah, tunaikanlah amanah itu kepada orang yang berhak menerimanya. Ingatlah, semua perkara jahiliyah sudah aku campakkan di bawah kedua telapak kakiku. Urusan (pertumpahan) darah jahiliyah juga sudah dihapus. Sungguh, riba jahiliyah juga sudah dilenyapkan.”
Wahai manusia, sungguh aku telah meninggalkan di tengah-tengah kalian suatu perkara yang amat jelas. Jika kalian berpegang padanya, kalian tidak akan pernah tersesat selama-lamanya. Itulah Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya.”
“Wahai manusia, sungguh setiap muslim itu adalah saudara bagi muslim lainnya.”
“Wahai manusia, ingatlah, Tuhan kalian satu, bapa kalian juga satu. Setiap dari kalian berasal dari Adam. Adam berasal dari tanah. Yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara kalian.”
“Ingatlah, hendaknya orang yang hadir dan menyaksikan, menyampaikan pesanan ini kepada yang tidak hadir.”
Demikianlah sebahagian isi khutbah Baginda Nabi SAW. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Ahmad.
Dari khutbah ini, ada beberapa perkara yang Baginda nasihatkan kepada kita yang selayaknya kita renungkan dan sungguh-sungguh kita amalkan.
Pertama, kita diperintahkan untuk menjaga darah, harta dan kehormatan sesama muslim. Apatah lagi Baginda SAW. juga bersabda,
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencela seorang muslim adalah kefasikan. Membunuh dirinya adalah kekufuran.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Kedua, kita diperintahkan untuk memberikan amanah kepada ahlinya, termasuklah amanah kepemimpinan. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT,
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا…
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 58]
Tentang amanah kepemimpinan, Rasulullah SAW. juga pernah mengingatkan,
إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sungguh kalian begitu berhasrat atas kepemimpinan (kekuasaan), sedangkan kepemimpinan (kekuasaan) itu boleh berubah menjadi penyesalan pada hari kiamat kelak.” (HR Al-Bukhari).
Faktanya, hari ini kita menyaksikan tontonan yang amat menyedihkan. Antara parti politik terjadi perbalahan, antara kabinet saling berebutan. Mereka tidak segan saling merampas demi jawatan, bahkan berani saling menjatuhkan. Pada masa yang sama, nasib rakyat dilupakan bahkan tidak mereka pedulikan.
Ketiga, kita diperintahkan agar meninggalkan muamalah, tradisi, hukum dan sistem jahiliyah. Semua itu bertentangan dengan Islam [lihat QS Al-Maidah (5): 50]
Di antara perkara jahiliyah yang telah dihapuskan oleh Rasulullah SAW. sehingga wajib ditinggalkan adalah riba. Namun sayang, hari ini riba bukan saja bermaharajalela, bahkan telah menjadi tiang utama ekonomi negara. Tidak hairan jika hutang luar negara ribawi, dengan bunga yang sangat tinggi, berpeluang besar memufliskan negara ini.
Hairannya, kita terus mengabaikan nasihat Baginda Nabi SAW. yang mulia ini. Nasihat Baginda tentang riba lebih layak ditujukan kepada kita saat ini berbanding kepada para sahabat yang sejak awal memang telah mencampakkan riba.
Keempat, kita diingatkan untuk tidak merasa lebih unggul dari bangsa dan umat lain. Ini kerana keunggulan manusia atas manusia lain di sisi Allah hanyalah kerana ketakwaannya. [lihat QS Al-Hujurat (49): 13]
Kelima, kita perlu sentiasa memelihara tali persaudaraan dengan sesama kaum muslim. Baginda SAW. menegaskan,
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ
“Muslim itu saudara bagi muslim lainnya. Seorang muslim tidak boleh menzalimi, merendahkan dan menghina saudaranya.” (HR Muslim).
Namun sayang, hari ini, tali persaudaraan Islam seolah-olah lenyap, bahkan antara kelompok umat Islam sendiri saling bertelingkah. Asal berbeza mazhab, boleh saling tidak beradab. Asal berbeza fahaman, boleh saling melemparkan tuduhan. Asal berbeza organisasi, boleh saling membuli, bahkan sanggup menganiayai. Asal berbeza kepentingan, boleh saling menggunting dalam lipatan. Asal melempar tuduhan “radikal”, boleh dengan mudah melakukan tindakan di luar akal.
Di belahan dunia lain, kaum muslim juga tampak lebih mementingkan ego kebangsaan masing-masing. Mereka tidak peduli pada keadaan saudaranya. Bahkan lebih ironi, beberapa negara muslim justeru memberikan sokongan kepada negara-negara kafir yang bertindak zalim terhadap umat Islam.
Allah SWT. Berfirman,
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ…
“Kaum mukmin itu sesungguhnya bersaudara.” [TMQ Al-Hujurat (49): 10].
Keenam, kita juga perlu selalu menyampaikan nasihat kepada orang lain. Di antara nasihat yang paling utama adalah nasihat yang ditujukan kepada penguasa agar mereka tidak terus melakukan kezaliman. Kezaliman terbesar penguasa saat ini tidak lain adalah mereka tidak menerapkan Al-Quran dan syariat -Islam [lihat QS Al-Maidah (5): 45]
Oleh kerana itu, tugas kitalah sebagai umat Islam apatah lagi para ulama dan para dai untuk terus menekan penguasa agar memerintah dengan Al-Quran.
Ketujuh, kita diwajibkan untuk selalu berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah. Baginda Nabi SAW. telah menjamin bagi siapapun yang istiqamah berpegang teguh pada keduanya bahawa mereka tidak akan tersesat selama-lamanya.
Namun sayang, pesanan Baginda Nabi SAW. 14 abad yang lalu tidak diendahkan oleh sebahagian kita. Al-Quran dan Sunnah tidak lagi kita pedulikan kecuali sebatas bacaan. Fakta berbicara, semakin banyak perkara haram yang dihalalkan, semakin banyak juga perkara halal yang diharamkan.
Lebih malang lagi, semua itu diluluskan oleh undang-undang melalui mekanisme demokrasi yang dibangga-banggakan. Riba, contohnya, telah lama dihalalkan. Arak dibolehkan walaupun dibatasi peredarannya. Zina tidak lagi dipandang sebagai sebuah kejahatan. Hubungan sejenis juga tidak boleh dijenayahkan atas alasan Hak Asasi Manusia.
Di sisi lain, syariat Islam justeru kelihatan “haram” untuk diterapkan. Institusi penerapan syariat, iaitu Khilafah juga menjadi haram untuk diperjuangkan bahkan tidak boleh walau sekadar diwacanakan. Para aktivisnya dianggap sebagai penjenayah, organisasinya dibubarkan dengan tuduhan yang diada-adakan. Sedangkan Khilafah adalah bahagian penting dari ajaran Islam yang wajib ditegakkan. Bahkan, Khilafah pernah ada kaitan sejarah dan sumbangan nyata dalam penyebaran Islam melalui wali songo di Bumi Nusantara tercinta.
Abu Huraira RA. Bertutur, “seseorang pernah bertanya kepada Nabi SAW., “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama?” Baginda menjawab, “Iman kepada Allah”. Dia bertanya lagi, “kemudian apa?” Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Haji mabrur.”” (HR An-Nasa’i)

