Site icon MuslimahHTM News

Islam dan Khilafah, Keberkatan bagi Muslimah

Islam dan Khilafah, Keberkatan bagi Muslimah

Penulis: Ratu Erma Rachmayanti

 

Tidak ada satu pun ideologi di dunia ini yang memposisikan wanita dengan pandangan yang benar, selain Islam. Tidak ada satu pun agama, selain Islam yang memberikan jaminan kehormatan kepada wanita dengan perlakuan yang benar.

 

Wajib kita yakini bahawa ideologi dan agama yang lain, selain dari Islam adalah ideologi yang bersumber dari akal manusia yang terbatas serta dari perasaan yang cenderung dikuasai oleh hawa nafsu manusia. Islam pula agama yang berasal dari Allah SWT., Pencipta manusia, Yang Maha Mengetahui apa pun yang menjadi keperluan dan kepentingan wanita.

 

Wanita : Kehormatan yang Wajib Dijaga

 

Penting bagi kita untuk meluruskan cara pandang bahawa kemuliaan wanita tidak boleh bersandarkan akal manusia. Keterbatasan jangkauan akal menyebabkan manusia menetapkan standard pada sesuatu yang bersifat kebendaan yang boleh diindera. Kerana itulah, manusia -tanpa bimbingan wahyu- akan menetapkan kehormatan dan kemuliaan wanita pada pendapatan ekonominya, jawatan sosialnya, kecantikan fizikalnya dan standard kebendaan lainnya. Kesalahan cara pandang ini menyebabkan kesalahan fatal dalam memperlakukan wanita.

 

Islam mempunyai perspektif dan standard yang benar dan jelas terkait wanita iaitu wanita juga merupakan hamba Allah SWT.  sebagai manusia -sama seperti lelaki- yang mempunyai keperluan fizikal dan naluri. Daripada himpunan ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW., telah membuktikan bahawa Islam meletakkan wanita sebagai satu kehormatan yang mesti dijaga. Islam juga menjelaskan bentuk dan kaedah penjagaan wanita.

 

Islam memberi perhatian yang besar terhadap status wanita sejak mereka kecil. Rasulullah SAW. contohnya, telah bersabda, “Janganlah kalian membenci anak-anak perempuan kerana mereka adalah penghibur (hati) yang amat berharga.” (HR. Ahmad dan Ath-Thabarani)

 

Islam memerintahkan kita untuk berlaku adil terhadap anak perempuan. Ibnu Abbas RA. menuturkan bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda, “Berlakulah sama terhadap anak-anak kalian dalam pemberian. Jika aku ingin mengutamakan seseorang, aku akan mengutamakan perempuan.” (HR. Ath-Thabarani dan Al-Baihaqi)

 

Ketika wanita telah dewasa, ia diberi posisi terhormat dengan menjadi ibu, isteri dan saudara perempuan. Dia mendapatkan setiap haknya sebagai manusia. Wanita juga dijamin kehormatan dan kemuliaannya seperangkat hukum syariat.

 

Rasulullah SAW. bersabda, “Sungguh Allah telah berwasiat kepada kalian untuk berbakti kepada ibu kalian, kepada ibu kalian, kepada ibu kalian, lalu kepada ayah kalian, baru kemudian kepada orang yang lebih dekat dan seterusnya.” (HR Bukhari, Ahmad, dan Ibnu Majah).

 

Ali RA. menuturkan bahawa Rasulullah SAW. juga pernah bersabda, “wanita adalah saudara kandung lelaki. Tidak memuliakan kaum wanita, kecuali orang yang mulia dan tidak merendahkan mereka, kecuali orang hina.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi, dan Ibnu Asakir).

 

Penetapan peranan wanita sebagai isteri dan ibu merupakan bentuk penjagaan terhadap mereka. Ruang lingkup kehidupan wanita berada di tempat yang suci, jauh dari fitnah dan kekejaman. Di dalam rumah, ia mendapat perlakuan yang adil dan terhormat. Dia diserahkan tugas untuk mengurus rumahtangga dan anak-anak tanpa dibebani kewajipan nafkah di bahunya. Apabila dia memerlukan pembantu, dia berhak mendapatkannya. Pendapatnya juga perlu diminta dan didengar dalam urusan keluarga. Dia berhak mendapat perlakuan yang baik dari suami dan para walinya.

 

Rasulullah SAW. bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada keluarganya dan akulah yang paling baik di antara kalian kepada keluargaku.” (HR At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ad-Darimi).

 

Kaum wanita hidup aman dan mulia di rumah suaminya dan wali mereka dengan adanya hukum perwalian. Tidak boleh ada lelaki asing yang boleh masuk ke dalam rumah mereka. Siapa pun yang ingin bertandang, wajib untuk meminta izin daripada walinya.

 

Dalam hal perwarisan, wanita juga mendapatkan keadilan. Sebagaimana yang kita tahu, ibu, isteri, saudara dan anak perempuan mempunyai bahagian tertentu yang sudah ditetapkan secara terperinci. Dalam hal mahar, harta tersebut menjadi miliknya yang tidak boleh diganggu oleh siapapun termasuklah walinya.

 

Wanita juga berhak mendapatkan pendidikan. Anak perempuan berhak mendapatkan pendidikan daripada ibu bapanya di rumah sebagai bekalan untuk mereka menjalani peranannya ketika dewasa. Orang tua perlu membekalkan mereka dengan ilmu memasak, menjahit, menghias rumah, serta ilmu-ilmu agama dan pengetahuan umum. Tujuannya adalah agar mereka mempunyai kemampuan yang dapat memberi nilai bagi kehidupan. Wanita juga berhak mendapatkan pendidikan formal sebagai bekalan pengabdian peranannya untuk kemajuan masyarakat.

 

Ketika wanita menunaikan kewajipan atau kepentingan mereka di luar rumah, mereka perlu menutup seluruh tubuhnya, selain wajah dan kedua tapak tangan. Ketika mereka keluar dengan perjalanan 24 jam atau lebih, perlu ada mahram lelaki yang menyertainya. Mereka juga dilarang untuk melakukan pekerjaan yang merendahkan martabat mereka seperti gadis promoter, pekerja seks dan sebagainya. Semua ini adalah dalam rangka untuk menjaga dan melindungi kehormatan wanita sehingga mereka hidup dalam kemuliaan.

 

Untuk menjaga hubungan kerjasama antara lelaki dan wanita di tempat umum, Islam menetapkan agar masing-masing menjaga pandangannya sendiri. Tidak boleh berkhalwat (berduaan) dengan lawan jenis ketika melakukan aktiviti kerjasama tersebut. Masing-masing perlu meningkatkan ketakwaan ketika berinteraksi bersama, serta fokus pada apa yang dimaksudkan dari aktiviti bersama tersebut.

 

Seperti itulah Islam memposisikan wanita dan memberi mereka perhatian serta penjagaan dengan cara memenuhi hak-hak mereka sesuai dengan hukum syariah. Penerapan seluruh hukum tersebut memerlukan kawalan dari pihak di luar keluar. Kerana, dalam kehidupan umum, selain melalui kesedaran individu dengan ketakwaan, penjagaan juga hanya boleh dilakukan dengan sokongan dari lingkungan yang membolehkan adanya penjagaan kehormatan terhadap wanita. Oleh kerana itu, dalam Islam, tanggungjawab penjagaan kehormatan dan kemuliaan wanita juga dibebankan kepada negara (Khilafah).

 

Penjagaan Khilafah atas Wanita

 

Khilafah wajib menghilangkan semua tempat pekerjaan yang melanggar kehormatan wanita. Khilafah juga perlu menutup segala akses terhadap konten lucah di media umum yang merangsang syahwat. Khilafah perlu memisahkan tempat lelaki dan wanita di lingkungan pendidikan dan menjatuhkan hukuman bagi pelaku gangguan seksual, mengawal pelaksanaan penutupan aurat bagi wanita di tempat umum dan sebagainya.

 

Dalam hal ini, Khilafah bertanggungjawab memastikan terpenuhinya hak-hak wanita di dalam rumah oleh walinya. Kerana itu, Islam memperkenankan adanya pengaduan isteri kepada pemimpin jika terdapat kelalaian suami atau wali dalam memberi nafkah atau berlaku kasar dan sebagainya. Semuanya adalah melalui perundingan dan tidak boleh diceritakan pada umum.

 

Khilafahlah yang dapat mewujudkan semua hal di atas. Dalam sistem Khilafah, wanita mendapat jaminan pemenuhan hak-hak asas hidup mereka. Wanita juga mendapat perlindungan terhadap posisi dan peranannya yang strategik dalam kehidupan keluarga dan umat.

 

Wanita adalah warganegara yang bermartabat dan terhormat. Setiap interaksi mereka dengan lelaki dalam kehidupan umum adalah hanya untuk menunaikan tugasnya tetapi semuanya sarat dengan perlindungan. Setiap pandangan, perkataan atau tindakan yang mengandungi unsur gangguan atau eksploitasi terhadap wanita, akan segera ditangani.

 

Sukar untuk membayangkan bahawa terdapat jaminan kemuliaan bagi wanita dalam sistem selain dari sistem Islam. Ideologi sekular tidak akan dapat memberikan wanita kemuliaan sebenar. Ia hanya mampu memberi harapan palsu dengan kebahagiaan material serta fizikal yang sementara, tetapi menggadaikan kebahagiaan sejati wanita.

 

Fitrah penciptaan wanita adalah menjadi seseorang yang berharga, terhormat, dan mulia. Ia akan merasa bangga menjadi ibu generasi umat. Anak-anaknya akan menghargai dan berterima kasih kepada mereka kerana telah mengasuh mereka. Umat juga akan berterima kasih atas pengabdian mereka dalam membina dan melestarikan generasi umat Islam yang membanggakan dan selamat di dunia serta akhirat. Peranan wanita muslimah ini akan menjadi contoh yang layak dan menginspirasi para wanita lain di seluruh dunia.

 

Sungguh, para muslimah berhak membanggakan diri di depan wanita di seluruh dunia kerana penghormatan tinggi yang Islam berikan kepada mereka. Tentu saja kita mempunyai kewajipan untuk menjelmakan kembali kemuliaan wanita dalam sistem Islam, iaitu Khilafah ‘ala minhâj an-nubuwwah.

Exit mobile version