Site icon MuslimahHTM News

Seruan kepada Rasulullah SAW pada Permulaan Kenabian [Tafsir Surah Al-Muddaththir (74): 1-7] – Bahagian 1/3

[Tafsir Al-Quran] Seruan kepada Rasulullah SAW pada Permulaan Kenabian [Tafsir Surah Al-Muddaththir (74): 1-7 – Bahagian 1/3]

Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.

 

Allah SWT berfirman,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُدَّثِّرُ ١ قُمۡ فَأَنذِرۡ ٢ وَرَبَّكَ فَكَبِّرۡ ٣ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرۡ ٤ وَٱلرُّجۡزَ فَٱهۡجُرۡ ٥ وَلَا تَمۡنُن تَسۡتَكۡثِرُ ٦ وَلِرَبِّكَ فَٱصۡبِرۡ ٧

”Wahai orang yang berselimut, bangunlah! Kemudian berilah peringatan! Tuhanmu, agungkanlah! Pakaianmu, bersihkanlah! Perbuatan dosa, tinggalkanlah! Janganlah engkau memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak! Untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah!” [TMQ Al-Muddaththir (74): 1-7].

 

Surah ini dinamakan Surah Al-Muddaththir. Diambil dari ayat pertama. Iaitu orang yang berselimut.

 

Tidak ada perbezaan pendapat bahawa surah ini termasuk Makkiyyah. Menurut Ibnu Abbas, surah ini turun seslepas Surah Al-Muzzammil. [1]

 

Ayat sebelumnya, dalam surah sebelumnya, dimulakan dengan panggilan kepada Nabi SAW dengan menyebut Baginda sebagai al-muzzammil (orang yang berselimut), dalam surah ini Baginda kembali dipanggil dengan makna yang serupa, al-muddaththir (orang yang berselimut). Menurut Abdurrahman as-Sa’di, kedua-dua perkataan tersebut mempunyai makna yang sama. [2]

 

Jika pada awal surah sebelumnya Baginda diperintahkan untuk mendirikan solat malam, dalam surah ini Baginda diperintahkan untuk menyampaikan peringatan kepada manusia.

 

Sabab Nuzul

 

Jabir bin Abdullah RA mendengar Rasulullah SAW pernah menceritakan tentang masa ketika wahyu terhenti, “Ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba aku mendengar suara dari langit, aku melihat ke arah langit. Tiba-tiba malaikat yang pernah datang kepadaku di Hira’ datang kepadaku. Dia duduk di atas sebuah kerusi di antara langit dan bumi. Aku pun merasa takut kepadanya sehingga aku terjatuh ke tanah. Kemudian aku pulang ke rumah keluargaku dan kukatakan, ‘Selimutilah aku, selimutilah aku, selimutilah aku!’ Kemudian turunlah firman Allah SWT, ’Wahai orang yang berselimut, bangunlah, kemudian berilah peringatan!’ [TMQ Al-Muddaththir (74): 1-2] sehingga firmanNya, ’Perbuatan dosa, tinggalkanlah!’ [TMQ Al-Muddaththir (74): 5].” [HR Muslim].

 

Tafsiran Ayat

 

Allah SWT berfirman, “Ya ayyuha al-muddaththir (Wahai orang yang berselimut).” Khithâb (seruan) ayat ini ditujukan kepada al-muddaththir (orang yang berselimut). Para ulama bersepakat bahawa yang dipanggil dengan sebutan tersebut ialah Nabi SAW. [3]

 

Perkataan al-muddaththir ialah ism al-fâ’il daripada perkataan tadaththara (memakai selimut). Maka, asal perkataan itu ialah al-mutadaththir (menggunakan huruf at-tâ‘). Huruf at-tâ‘ kemudiannya di-idgham-kan ke dalam huruf ad-dâl yang terletak selepasnya kerana kedua-duanya dekat makhraj-nya (tempat keluarnya huruf). [4]

 

Menurut Wahbah az-Zuhaili, huruf ad-dâl tidak di-ighmam-kan dengan huruf at-tâ‘. Sebab, huruf al-tâ‘ ialah huruf hams, manakala huruf ad-dâl ialah huruf jahr. Huruf jahr lebih kuat daripada huruf hams. Oleh itu, idhgham huruf yang lebih lemah kepada huruf yang lebih kuat adalah lebih baik daripada sebaliknya. [5]

 

Maksud tadaththara ialah memakai pakaian ad-dithâr. Kata ad-dithâr merujuk kepada pakaian yang dipakai di atas syi’âr. As-syi’âr ialah pakaian yang melekat pada badan. Makna ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda,

 

الأَنْصَارُ شِعَارٌ وَالنَّاسُ دَثَارٌ

“Anshar adalah pakaian dalam, sedangkan orang lain hanyalah pakaian luar.” [HR Al-Bukhari]. [6]

 

Perkataan al-muddaththir juga bermaksud orang yang berselimut dengan pakaian untuk tidur atau untuk menghangatkan badan. [7] Makna ini juga yang disampaikan oleh sebahagian besar ahli tafsir. Menurut Qatadah, makna al-muddaththir ialah orang yang berselimut dalam pakaiannya. [8]

 

Ibnu Jarir at-Thabari juga berkata, “Wahai orang yang berselimut dengan pakaiannya ketika tidur!” Menurut At-Thabari, Nabi SAW dipanggil demikian kerana ketika itu Baginda sedang berselimut dengan kain baldu. [9] Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibrahim, Qatadah, dan Aisyah. [10]

 

Penjelasan yang sama dikemukakan oleh Al-Qurthubi. Menurut Al-Qurthubi, ayat ini bermakna, “Wahai orang yang berselimut dengan pakaiannya.” Iaitu yang menutupi diri dengan selimut dan tidur. [11]

 

Menurut Al-Qurthubi, panggilan tersebut adalah panggilan yang menampakkan kelembutan Al-Karîm, Zat Yang Maha Mulia yang memanggil kekasih yang Dia cintai kerana Dia memanggil Nabi SAW dengan menyebut keadaannya. Allah SWT tidak memanggilnya, “Wahai Muhammad!” atau “Wahai Fulan!” supaya Baginda merasai kelembutan dan kasih sayang Tuhannya. [12]

 

Menurut Al-Qurthubi, panggilan tersebut tidak jauh berbeza dengan panggilan Nabi SAW kepada Ali RA yang sedang tidur di masjid, “Qum Aba Turab (Bangunlah, Abu Turab)!” Sebelum itu Ali RA keluar dari rumahnya dengan perasaan kesal terhadap Fatimah RA. Dia kemudian tersadung bajunya sendiri dan terjatuh ke tanah. Tanpa membersihkan bajunya, dia pun tidur di sebelah masjid. [13]

 

Contoh lain ialah panggilan Nabi SAW kepada Huzaifah semasa Perang Khandaq. Baginda memanggil Huzaifah dengan panggilan, “Qum, ya Nawman (Bangunlah, wahai orang yang sedang tertidur).” [14]

 

Sebahagian ahli tafsir yang lain menafsirkan perkataan berselimut ini dengan makna majazi, bukan hakiki. Maknanya, yang dimaksudkan dengan “orang yang berselimut” di sini ialah “orang yang berselimut dengan kenabian dan kesempurnaan jiwa”. Dalam erti kata, yang memperindah diri dengannya dan menghiasi diri dengan jejak-jejaknya. [15]

 

Ikrimah berkata tentang makna ayat ini, “Wahai orang yang berselimut dengan kenabian dan pelbagai bebannya.” [16]

 

Kemudian Allah SWT berfirman, “Qum fa anzir (Bangunlah, kemudian berilah peringatan!)“. Ini adalah perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Baginda diperintah dengan firmanNya, “Qum (bangunlah).“ Jika dikaitkan dengan panggilan yang digunakan untuk menyerunya, iaitu al-muddaththir (berselimut), maka maksudnya: bangun dan berdiri dari tidurnya. Ibnu Jarir At-Thabari berkata, “Bangunlah dari tidurmu.” [17]

 

Al-Khazin juga berkata, “Bangunlah dari tempat tidur dan selimutmu.” [18]

 

Perkataan anzir (peringatkanlah) ialah fi’l al-amr (kata perintah) daripada perkataan al-inzâr (peringatan). Dari segi bahasa, perkataan tersebut bermaksud pemberitahuan yang disertai dengan ancaman menakutkan. [19] Ini lebih khusus daripada pemberitahuan secara mutlak. [20]

 

Ini sebagaimana dijelaskan oleh Qatadah yang berkata, “Sampaikan peringatan tentang adanya azab Allah dan pelbagai peristiwa yang menimpa umat-umat serta dahsyatnya hukuman-Nya.” [21]

 

Perkataan al-inzâr ialah al-fi’l al-muta‘addiy yang memerlukan dua al-maf’ûl, iaitu pihak yang diperingatkan dan perkara yang diperingatkan. Dalam ayat ini, kedua-duanya tidak disebutkan. Oleh itu, kedua-duanya perlu ditelusuri supaya ia diketahui.

 

Mengenai orang yang diperingatkan, dijelaskan oleh ayat-ayat lain bahawa mereka adalah orang-orang kafir [Surah Maryam (19): 97]. Kadang-kadang juga untuk kaum mukmin kerana merekalah orang yang mendapat manfaat daripadanya [Surah Yasin (36): 11]. Kadang-kadang juga untuk semua manusia [Surah Yunus (10): 2]. [22]

 

Sementara perkara yang diperingatkan ialah hari kiamat. [23] Dua perkara itu telah dijelaskan oleh Ibnu Jarir at-Thabari ketika menjelaskan ayat ini. Menurut At-Thabari, Allah SWT berfirman kepada Nabi SAW, “Muhammad, bangunlah dari tidurmu dan sampaikanlah peringatan tentang adanya azab Allah kepada kaummu yang mempersekutukan Allah dan menyembah selainNya.” [24]

 

Hal yang sama disampaikan oleh Al-Qurthubi yang berkata, “Ancamlah penduduk Mekah dan peringatkanlah mereka dengan azab jika mereka tidak mahu memeluk Islam.” [25] Hal yang sama juga disampaikan As-Syaukani. [26]

 

Menurut Az-Zamakhsyari, makna yang benar ialah, “Berikanlah peringatan kepada setiap orang tanpa terkecuali!” [27]

 

Abu Hayyan al-Andalusi juga mengatakan bahawa peringatan itu bersifat umum untuk semua manusia dan diutus kepada semua makhluk. [28]

 

Abdurrahman al-Alusi berkata, “(Berikanlah peringatan) kepada manusia dengan perkataan dan perbuatan yang dapat mewujudkan tujuan serta menjelaskan keadaan perkara yang diperingatkan supaya ia ditinggalkan.” [29]

 

Ibnu ‘Asyur juga mengatakan bahawa tidak disebutkannya maf’ûl dalam ayat ini memberi makna umum, iaitu semua manusia. Maka maksudnya ialah, “Berilah peringatan kepada seluruh manusia.” Ketika itu mereka semua adalah seluruh manusia selain Khadijah RA kerana, beliau telah beriman dan layak mendapat khabar gembira. [30]

 

Menurut Ibnu Kathir, perintah ini adalah penetapan beliau sebagai rasul sebagaimana dalam wahyu sebelumnya yang telah menetapkannya sebagai nabi. [31]

 

Kemudian Allah SWT berfirman, “Wa Rabbaka fa kabbir (Tuhanmu, agungkanlah!).” Huruf al-wâwu meng-‘athf-kan kalimat dalam ayat ini dengan kalimat dalam ayat sebelumnya, “Qum fa anzir (Bangunlah, kemudian berilah peringatan!).” Nabi SAW diperintahkan untuk bertakbir kepada Allah SWT. Perkataan kabbir ialah fi‘l al-amr (kata perintah) daripada perkataan kabbara yang bermakna ‘azhzhim (agungkanlah). Demikian menurut ramai ahli tafsir. [32]

 

Menurut Ibnu ‘Asyur, perkataan kabbir dimasuki huruf al-fâ` menunjukkan adanya syarat yang dihilangkan. Maka, perkataan kabbir adalah jawapannya.

 

Syarat tersebut bersifat umum kerana tidak ada dalil yang menunjukkan adanya syarat tertentu. Syarat yang diperkirakan tersebut ialah al-maf’ûl yang didahulukan kerana al-maf’ûl yang didahulukan kadangkala menempati kedudukan sebagai syarat.

 

Jadi kalimat asalnya diperkirakan sebagai, “Menjadi apa pun, agungkanlah Tuhanmu.” Maka makna ayat ini ialah, “Janganlah berhenti menyatakan pengagungan kepada Allah SWT dan mentauhidkanNya dalam setiap masa dan keadaan.” Ini termasuk al-îjâz atau peringkasan kalimat. [33]

 

Perkara yang sama juga dikemukakan oleh Syihabuddin al-Alusi. Huruf at-tâ‘ tersebut memberi maksud syarat. Jadi seolah-olah dikatakan, “Apa pun yang terjadi, jangan tinggalkan bertakbir kepadaNya.” [34]

 

Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, Allah SWT berfirman, “Kepada Tuhanmu, wahai Muhammad, fa ‘azhzhim (agungkanlah) dengan menyembah dan memohon dengan sungguh-sungguh kepadaNya dalam segala keperluanmu tanpa menoleh sedikit pun kepada sesembahan dan tandingan-tandingan selainNya.” [35]

 

Abu Bakar al-Jazairi berkata, “Agungkanlah Tuhanmu dengan pengagungan yang sepadan dengan kemuliaan kesempurnaanNya. Kerana Dialah Yang Maha Besar. Tiada yang lebih besar daripadaNya. Dia Yang Maha Agung. Tidak ada yang lebih agung daripadaNya. Oleh itu, umumkanlah perkara itu melalui lisanmu dengan mengucapkan, “Allahu Akbar“ (Allah Maha Besar) dan perbuatanmu. Janganlah engkau menghinakan dirimu kecuali hanya kepadaNya dan janganlah engkau mencintai kecuali keranaNya. Agungkanlah Allah dengan segala perbuatanmu. Oleh itu, janganlah engkau melakukan sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah atau Dia perintahkan kepadamu.” [36]

 

Menurut Ibnu al-‘Arabi, at-takbîr ialah at-ta’zhîm (pengagungan). Maksudnya, mengingat Allah SWT dengan sifatNya yang paling agung dengan hati, memujiNya dengan lisan dengan puncak pujian serta tunduk kepadaNya dengan puncak ibadah, sebagaimana bersujud kepadaNya dengan penuh kehinaan dan ketundukan. [37]

 

Frasa Rabbaka (Tuhanmu) berkedudukan sebagai al-maf’ûl (objek) kepada fi’l (kata kerja perintah) kabbir (agungkanlah, besarkanlah). Perkataan itu didahulukan memberi makna al-ikhtishâsh (pengkhususan). Maksudnya, janganlah kamu mengagungkan yang lain. Ia adalah pembatasan secara khas. Maknanya, bukan patung-patung. [38]

 

Perkataan takbir, iaitu Allahu Akbar, diperintahkan dalam banyak ibadah, seperti dalam azan, iqamat, solat, Aidilfitri, Aidiladha, dan lain-lain. Bahkan dalam solat ia dijadikan sebagai pembukanya dan dibaca setiap kali memulakan gerakan yang lain kecuali sesudah rukuk.

 

*Bersambung di bahagian 2/3 

 

Nota Kaki:

1  –      As-Suyuthi, Al-Itqân fî ‘Ulûm Al-Qur`ân, vol. 1 (Kaherah: Al-Hai’ah al-Mishriyyah, 1974), 42
2-        As-Sa’di, Taysir al-Karim ar-Rahmân (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 895
3-        Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 696; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tan‘zîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 362; Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29 (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’ashir, 1998), 218
4   –     Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 696. Lihat juga Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 59; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994), 388; Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29 (Tunisia: Ad-Dar al-Tunisiyyah, 1984), 294. Lihat juga Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur`ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1412 H), 308
5-        Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29, 218
6-       Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10 (Beirut: Dar al-Fikr, 1420 H), 323. Lihat juga Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1987), 644; Al-Alusi, h al-Ma’ânî, vol. 15 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 129; Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 294. Maknanya: Orang Anshar adalah orang khusus dan bithânah (orang dalam, teman rapat). Lihat Al-Qadhi ‘Iyadh, Ikmâl Mu’lim bi Fawâid Muslim, vol. 3 (Kaherah: Dar al-Wafa’ , 1998), 601
7-        Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 696; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tan‘zîl, vol. 4, 326; Az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 29, 215
8-        At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23 (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2000), 9
9-        At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 7
10-      Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10 (Beirut: Dar al-Fikr, 1420 H), 326
11-      Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishiryyah, 1964), 59
12-      Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 61
13-      Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 61. Ini diriwayatkan dalam Hadis Al-Bukhari.
14-      Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 61. Ini diriwayatkan dalam Hadis Muslim
15-      Al-Alusi, Râh al-Ma’ânî, vol. 15 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah, 1995), 129
16-      As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 388
17-      At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23 ,9
18-      Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tan‘zîl, vol. 4. 362
19-      Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân, 797
20-      As-Syinqithi, Adhwâ‘ al-Bayân, vol. 8 (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 361
21-      At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 9
22-      As-Syinqithi, Adhwâ‘ al-Bayân, vol. 8, 361
23-      As-Syinqithi, Adhwâ‘ al-Bayân, vol. 8, 361
24 –     At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23 (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2000), 9
25-      Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, vol. 19, 61
26-      As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 388
27-      Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4, 645
28-      Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10, 325
29-      As-Sa’di, Taysir al-Karim ar-Rahmân (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 895
30-      Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 295
31-      Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8 (tt: Dar Thayyibah 1999), 262
32-      Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 262; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tan‘zîl, vol. 4, 362; Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2993), 463
33-      Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 296
34-      Al-Alusi, Ruh al-Ma’ânî, vol. 15, 130
35-      At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 23, 9
36-      Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 463
37-      Ibnu ‘Arabi, Ahkâm Al-Qur`ân, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003), 339
38-      Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 29, 294
Exit mobile version