[Nafsiyah] Tipu Daya Dunia
Salah satu punca kemunduran umat Islam adalah kerana cintakan dunia, takut mati, dan meninggalkan amar makruf nahi mungkar. Keterikatan kepada dunia yang begitu kuat boleh menjadi penyebab seorang muslim gagal meraih rahmat Allah SWT.
Daripada sahabat Rasulullah SAW, Abu Sa’id Al Khudri meriwayatkan, pada suatu hari Rasulullah SAW menuju ke mimbar, lalu berkhutbah, “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti mengenai kamu semua adalah keberkahan bumi yang akan Allah berikan untuk kamu semua.” Sebahagian sahabat bertanya, “Apakah keberkahan bumi itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Perhiasan kehidupan dunia.”
Seterusnya seorang sahabat bertanya lagi, “Apakah kebaikan (perhiasan dunia) itu dapat membawa kepada keburukan?” Mendengar pertanyaan itu, Rasulullah SAW terus terdiam, perlakuan baginda seolah-olah sedang menerima wahyu. Kemudian baginda menyapu keringat di dahinya, lalu menyoal, “ Dimana si penyoal tadi?” Sahabat yang bertanya itu pun menyahut, “Inilah saya.”
Kemudian, Rasulullah SAW bersabda kepadanya,
“Kebaikan itu tidaklah mendatangkan, kecuali kebaikan. Sesungguhnya harta benda ini nampak hijau (indah) dan cantik(mempesonakan). Ianya seumpama rumput yang tumbuh di musim bunga. Berapa banyak rumput tumbuh pada musim bunga yang telah menyebabkan haiwan ternakan mati kekenyangan kerana usus mereka membengkak dan akhirnya mati atau hampir mati. Kecuali, haiwan yang hanya makan sehingga perutnya telah penuh,kemudian segera menghadap ke arah matahari, lalu ia mengunyah kembali. Setelah itu, ia berjaya mengeluarkan najis dan air kencing dengan mudah. Seterusnya kembali mengulangi perlakuan yang sama. Dan sesungguhnya harta benda ini terasa manis. Barang siapa mengambilnya dengan cara yang benar dan membelanjakannya dengan benar , maka ia adalah sebaik-baik bekalan. Sebaliknya barang siapa yang mengumpulkannya dengan cara yang tidak benar, maka ianya seumpama binatang yang makan rerumput, tetapi ia tidak merasa kenyang, (yang akhirnya dia mendapat kecelakaan kerananya).” [HR Bukhari dan Muslim]
Hadis di atas menggambarkan bahawa apabila manusia bersaing antara satu sama lain untuk mencapai kebahagiaan dunia, mereka sebenarnya akan mendatangkan kemudaratan kepada dirinya. Sifat manusia yang “takatsur”, saling suka bersaing untuk bermegah-megah dalam kehidupan di dunia. Ini firman Allah SWT, “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! . [TMQ at-Takatsur (102) : 1-8 ].
Tipu Daya Dunia
Al Hasan Al Bashri mengatakan, “Berbangga-bangga dengan anak dan harta benar-benar telah melalaikan kalian dariada ketaatan.”
Daripada Qotadah, daripada Muthorrif, daripada ayahnya, beliau berkata, “Aku pernah mendatangi Rasulullah SAW yang sedang membaca ayat al-hākumut-takāṡur (sungguh berbangga-bangga telah melalaikan kalian dari ketaatan). Kemudian, Rasulullah SAW bersabda, “Manusia berkata, ‘Hartaku-hartaku.’” Baginda bersabda, “Wahai manusia, apakah benar engkau memiliki harta? Bukankah yang engkau makan akan lenyap begitu sahaja? Bukankah pakaian yang engkau kenakan juga akan lusuh? Bukankah yang engkau sedekahkan akan berlalu begitu sahaja?” [HR Muslim].
Firman Allah SWT, “… Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” [TMQ al-Hadid (57) : 20].
Setiap muslim tidak sepatutnya terperdaya dengan kekayaan harta dunia. Sikap kita terhadap dunia seharusnya menjadikan dunia sebagai jalan untuk mencapai redha Allah, bukan untuk menjadikannya sebagai matlamat utama.Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT,
“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” [TMQ at-Taghaabun (64): 15-16 ].
Dunia ini seperti fatamorgana, nampak indah, tetapi pada dasarnya ia lemah. FirmanNya, “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya, akhirat itulah yang sebenar-benarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” [TMQ al-Ankabut (29): 64].
Saudariku, ketahuilah bahawa kesenangan harta di dunia ini hanya ada tiga, iaitu sesuatu yang dimakan hingga lenyap, sesuatu yang dipakai sampai rosak, atau sesuatu yang disedekahkan nescaya kekal lestari. Persiapkan sebaik-baik bekalan sebelum menuju hari akhirat, iaitu beramal soleh dan melakukan pelbagai ketaatan kepadaNya di dunia. Wallahu’alam bissawab.
Sumber web: muslimahnewsid

