Site icon MuslimahHTM News

Boleh Bersyirkah

[Syarah Hadis] Boleh Bersyirkah

Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman

 

يقولُ عَزَّ وَجَل: أنا ثالِثُ الشَّرِيكَيْنِ مَا لَمْ يَخُنْ أَحَدُهُمُا صَاحِبَهُ، فَإِذَا خَانَ خَرَجْتُ مِنْ بَيْنِهِمَا

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Aku adalah Yang ketiga dari dua orang yang bersyirkah selama mana yang seorang tidak mengkhianati yang lain. Jika dia berkhianat, aku keluar dari kedua-duanya.” [HR Abu Dawud no. 3383, Ad-Daraquthni no. 2933 dan al-Hakim no. 2322].

 

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubrâ no. 11424, Sunan ash-Shughrâ no. 2104, dan Ma’rifah as-Sunan wa al-atsâr no. 11397; oleh Muhammad Abu Thahir al-Mukhalishi (w. 393 H) di dalam Al-Mukhallishiyât no. 1566; dan oleh Muhammad Abu Bakar Qadhi al-Maristan (w. 535 H) di Ahâdîts asy-Syuyûkh ats-Tsiqât (al-Masyaykhah al-Kubrâ) no. 242.

 

Imam al-Hakim berkomentar, “Ini adalah hadis sahîh al-isnâd walau beliau berdua (Al-Bukhari dan Muslim) tidak mengeluarkannya.”

 

Al-Hafizh Az-Dzahabi di dalam At-Talkhîsh mengulas: (hadis ini) sahih. Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abû Dâwud tidak mengulas: Hal itu mengindikasikan hadis itu hasan menurut beliau.

 

Ibnu al-Qathan menilai hadis ini memiliki penyakit (‘illat) dengan ketidakjelasan (al-jahlu) keadaan Said bin Hayyan, bapanya Abu Hayan. Ini disebabkan dia tidak diketahui keadaannya dan tidak diketahui yang meriwayatkan dari dia selain anaknya, iaitu Yahya bin Said bin Hayyan (Abu Hayyan).

 

Namun, Imam Ibnu Hibban menyebutkan hadis ini di dalam Ats-Tsiqât no. 2901 bahawa selain anaknya, yang meriwayatkan dari dia adalah Al-Harits bin Suwaid. Al-‘Ijliy (w. 261 H) di dalam Târîkh ats-Tsiqât pada no. 538 menilai Said bin Hayyan at-Taymi tsiqah. Syamsuddin adz-Dzahabi (w. 748 H) di dalam Al-Kâsyif fî Ma’rifah man lahu Riwâyah fî al-Kutub as-Sittah pada nomor 1871 menilai Sa’id bin Hayyan tsiqah.

 

Dengan demikian, ‘illat yang dinyatakan oleh Ibnu al-Qathan hilang dengan kejelasan keadaan Abu Hayyan Yahya bin Said bin Hayyan dan keadaan bapanya, Said bin Hayyan. Kedua-duanya dinilai tsiqah. Dengan demikian hadis ini sah untuk dijadikan hujah.

 

Makna hadis ini dijelaskan oleh Al-Munawi (w. 1031 H) di dalam Faydh al-Qadîr, “Aku adalah Yang ketiga dari dua orang yang bersyarikat,” iaitu dengan pertolongan dan diperolehnya keberkahan dan peningkatan. Lalu, “selama mana yang seorang tidak mengkhianati temannya,” iaitu dengan tidak menunaikan amanah dan tidak menjaga diri dari khianat. “Lalu jika dia mengkhianati rakan kongsinya,” iaitu dengan hal itu “Aku keluar dari kedua-duanya,” iaitu keberkahan dicabut dari harta keduanya.

 

Ath-Thibiy menyatakan, persyarikatan Allah dengan kedua-duanya merupakan usluub isti’ârah seolah-olah Allah SWT menjadikan keberkahan pada posisi harta yang dicampurkan. Oleh kerana itu, Allah menyebut DiriNya sebagai Pihak Ketiga untuk kedua-duanya. Firman-Nya “kharajtu” menguatkan isti’ârah itu. Di dalamnya terdapat anjuran syirkah. Di dalamnya juga ada keberkahan dengan syarat amanah. Hal itu kerana masing-masing dari kedua-duanya berusaha memberi manfaat kepada temannya, sedangkan Allah SWT menolong hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya sebagaimana dalam khabar lainnya.

 

Al-Amir ash-Shan’ani (w. 1182 H) di dalam Subul as-Salâm menjelaskan makna hadis ini bahawa Allah bersama kedua-duanya, iaitu dalam menjaga dan memelihara serta memberikan bantuan dalam harta keduanya dan menurunkan keberkahan dalam perniagaan kedua-duanya. Jika terjadi khianat, keberkahan dicabut dari harta kedua-duanya. Di dalam hadis ini ada dorongan untuk bersyirkah disertai tidak adanya khianat dan peringatan dari khianat bersamanya.

 

Abdurrahman as-Sa’diy (w. 1376 H) di dalam Bahjatu Qulûb al-Abrâr wa Qurratu ‘Uyûn al-Akhyâr fî Syarhi Jawâmi’i al-Akhbâr menjelaskan, hadis ini dengan keumumannya menunjukkan kebolehan jenis-jenis syirkah semuanya: syirkah al-‘inan, al-abdân, al-wujûh, al-mudhârabah, al-mufâwadhah dan jenis syirkah lain yang disepakati oleh dua orang yang ber-syirkah.

 

Hadis ini menunjukkan keutamaan dan keberkahan syirkah jika dibangun di atas kejujuran dan amanah. Ini disebabkan oleh, orang yang Allah bersamanya, maka pasti Allah berkahi rezekinya dan memudahkan untuk dirinya sebab-sebab diraih rezeki tersebut. Allah memberi dia rezeki dari arah yang tidak disangka dan menolong serta membantu dirinya.

 

Hal itu kerana syirkah itu di dalamnya terjadi tolong-menolong di antara para syaarik dalam pandangan dan aktiviti mereka. Kadang-kadang ada aktiviti-aktiviti yang tidak mampu dilakukan masing-masing secara sendirian. Lalu dengan dikumpulkan aktiviti dan harta maka hal itu mungkin dicapai.

 

As-Sa’diy juga menyatakan, semua ini mestilah disertai dengan kejujuran dan amanah. Jika dimasuki khianat dan salah satu atau kedua-duanya berniat khianat terhadap yang lain, dan menyembunyikan apa yang dia kuasai darinya, Allah akan keluar dari kedua-duanya, hilanglah keberkahan itu dan sebab-sebab tidak mudah. Pengalaman dan fenomena menjadi saksi untuk hadis ini. Wallahu’alam. Demikian pernyataan As-Sa’diy.

 

Syirkah secara bahasa adalah bercampurnya dua perkara yang mana tidak dapat lagi dibezakan yang satu dari yang lain. Hadis ini dengan dalaalah isyaarah menunjukkan kebolehan syirkah secara umum.

 

Syirkah secara syar’iy dapat berbentuk  syirkah harta (syirkah al-a’yân) iaitu syirkah kepemilikan (syirkah al-amlâk),  persyarikatan dalam kepemilikan suatu harta. Ertinya, harta itu dimiliki secara bersama oleh dua orang atau lebih. Syirkah juga dapat berupa syirkah akad, iaitu dua orang atau lebih berakad bersyirkah untuk melakukan aktiviti perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Ini bentuknya berupa syirkah al-inân, syirkah al-abdân, syirkah al-wujûh, syirkah al-mudhârabah dan syirkah al-mufâwadhah. Semua bentuk syirkah itu boleh sesuai dengan penunjukan hadis ini. Ini kerana lafaz asy-syarîkayn (dua orang yang bersyirkah) itu bermakna umum mencakup semua syirkah.

 

Hal itu ditegaskan dengan iqrâr (persetujuan) Nabi SAW atas syirkah yang dilakukan oleh para sahabat. Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis dari jalur Sulaiman bin Abi Muslim yang berkata, “Aku bertanya kepada Abu al-Minhal tentang sharf secara tunai (yad[an] bi yad[in]). Ia berkata, ’Aku dan rakan kongsiku membeli sesuatu secara tunai dan dengan tempoh.’ Lalu Al-Bara’ bin ‘Azib datang kepada kami dan kami bertanya kepada dia. Ia berkata, ’Aku dan pasanganku, Zaid bin Arqam, melakukan itu dan kami bertanya kepada Nabi SAW. tentang hal itu. Beliau bersabda, ’Mâ kâna yadan bi yadin fakhudzûhu, wa mâ kâna nasî`ah faruddûhu (Apa sahaja yang tunai, ambillah. Apa sahaja yang bertempoh, kembalikanlah).’”

 

Masih ada riwayat-riwayat lain yang menunjukkan persetujuan Nabi SAW terhadap syirkah yang dilakukan oleh para sahabat. Wallahu’alam bissawab.

Exit mobile version