Site icon MuslimahHTM News

Qalbun Salim sebagai Benteng Pertahanan Mental [Bahagian 1]

Qalbun Salim sebagai Benteng Pertahanan Mental [Bahagian 1]

Oleh: Fenty Fitriawati (FarEastern Muslimah)

 

Dimensi ruang dan masa di mana kita hidup hari ini penuh dengan ganjaran segera dan gangguan yang tidak pernah berakhir. Sememangnya tidak mudah untuk menghadapi cabaran kehidupan hari ini dengan adanya pelbagai serangan idea-idea dan standard gaya hidup yang materialistik. Tetapi sebagai umat Islam, kita perlu ingat bahawa hidup di dunia tidak sepatutnya mudah. Kerana pada dasarnya dunia dicipta sebagai medium ujian untuk manusia.

 

Bagaimana untuk mendamaikan ajaran Islam dengan cabaran hidup di dunia moden? Mari kita mulakan dengan memahami konsep identiti diri manusia.

 

Dari perspektif empirikal, terdapat perdebatan panjang tentang sifat semula jadi (nature) vs pemupukan (nurture). Identiti manusia dipengaruhi oleh unsur genetik dan unsur persekitaran. Penyelidikan dalam bidang ini menyimpulkan bahawa walaupun faktor genetik mempengaruhi identiti dan keperibadian seseorang, pada dasarnya persekitaran di mana manusia membesar dan berinteraksi juga mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap identiti dan keperibadian manusia. Oleh itu, sifat semula jadi dan pemupukan saling berkerjasama dalam pembentukan identiti diri. Supaya DNA yang telah wujud sejak lahir ditambah pula dengan pengumpulan pengalaman dan pengetahuan hidup seseorang yang diperolehi melalui keluarga, sekolah, komuniti, agama, budaya, media, norma sosial dan peraturan-peraturan yang diterapkan dalam masyarakat dan negara di mana manusia tumbuh, tinggal dan berinteraksi akan membentuk keperibadian seseorang sama ada secara langsung atau tidak langsung.

 

Atas sebab ini, kita perlu mewaspadai apa saja akumulasi pengaruh kolektif dari keluarga, sekolah, komuniti, masyarakat dan negara terhadap individu yang sudah dimaklumi merupakan bahagian terkecil dari kumpulan masyarakat tertentu. Kerana semua faktor eksternal ini mempunyai bahagian dalam peranan yang mempengaruhi perspektif (cara pandang) dan nilai-nilai yang dianuti oleh seseorang yang akhirnya akan termanifestasi dalam bentuk identiti dan keperibadiannya. Satu soalan penting yang perlu ditelaah oleh setiap manusia sebagai makhluk berfikir ialah “apakah cara pandang, sistem nilai dan standard peraturan yang diterima oleh dirinya betul atau salah?”.

 

Dewasa ini kita boleh melihat dan merasakan bagaimana nilai-nilai moral semakin terhakis dan standard aturan semakin lama semakin dinamik dan berubah-ubah. Sehingga tanpa memiliki cara pandang, sistem nilai dan standard peraturan yang benar, manusia mudah keliru, mudah terumbang-ambing dan rentan terbawa arus dominasi opini (pandangan semasa) dalam lingkungan masyarakat dimana dia hidup dan berinteraksi. Maka wajar jika banyak individu yang mengalami krisis identiti termasuk muslim. Banyak kita temukan muslim yang memiliki identiti sebagai pemeluk agama Islam namun pola fikir dan pola sikap yang terlihat tidak mencerminkan keperibadian Islam.

 

Jadi konsep identiti diri seperti apa yang benar dalam kacamata Islam dan bagaimana cara Islam menyelesaikan krisis identiti diri?

 

Dalam al-Quran Surah Al A’raf ayat 172 Allah SWT menceritakan bahawa di alam roh Allah SWT telah mengeluarkan keturunan Bani Adam dari sulbi mereka untuk mengadakan persaksian atas diri mereka bahawa Allah adalah Tuhan dan Pemilik mereka, dan bahawa tidak ada Tuhan selain Dia.

 

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ

 

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (TMQ Al-A’raf [7]:172)

 

Maknanya intipati setiap manusia ialah jiwa dan roh itu dicipta oleh Allah SWT hanya untuk menjadi hamba Allah SWT. Walaupun manusia mempunyai jasad yang juga dicipta oleh Allah SWT, namun jasad itu hanyalah kenderaan untuk roh agar dapat menjalankan aktiviti jasmani dan rohani semasa hidup di dunia sesuai dengan tujuan sebenar penciptaannya. Apabila roh dipisahkan dari badan, jasad tidak lagi mempunyai nilai dan akan terkubur bersama tanah. Sementara itu, roh akan terus hidup di alam yang berbeza sehingga titik kehidupan abadi kemudian nanti. Dalam erti kata lain, identiti sebenar setiap manusia ialah sebagai hamba Allah SWT.

 

 

Exit mobile version