Qalbun Salim sebagai Benteng Pertahanan Mental (Bahagian 2)
Oleh: Fenty Fitriawati (Fareastern Muslimah)
Selanjutnya bagaimana sepatutnya kita hidup di dunia ini dengan identiti diri sebagai hamba Allah? Seorang hamba sudah sepatutnya perlu senantiasa mematuhi perintah pemiliknya. Sehingga setiap aktiviti yang kita jalankan sebagai manusia seharusnya berjalan berdasarkan perintah dan larangan Allah SWT. Agar manusia memahami cara hidup yang benar sebagai hamba Allah, maka Allah SWT mengirimkan utusanNya ke dunia ini untuk mengajarkan dan memberikan contoh bagaimana sepatutnya kita hidup. Dalam surah Al Ahzab ayat 21 Allah SWT berfirman:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا
Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (TMQ Al-Ahzab [33] : 21)
Ini bermaksud, agar kita dapat menjalani hidup sesuai dengan identiti diri yang hakiki sebagai hamba Allah SWT, setiap manusia yang mengaku beriman wajib mengikuti jejak yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dengan mengikuti petunjuk dari Al Quran dan As Sunnah. Hanya dengan mengikuti petunjuk dari Allah dan RasulNya sajalah baru manusia dapat memanifestasikan keperibadiannya menjadi keperibadian Islam yang sejalan dengan identiti dirinya sebagai seorang muslim.
Al Quran sebagai sumber kebenaran yang muktamad dan pasti telah memberitakan kepada kita bahawa Nabi Adam AS dan seluruh keturunannya telah dijadikan Allah SWT sebagai makhluk Allah yang superior terutama dengan kurniaan akalnya yang sewajarnya diisi dengan petunjuk dari langit. Akan tetapi, Al Quran juga memberikan peringatan akan musuh dari dalam diri manusia sendiri iaitu hawa nafsunya.
Hawa nafsu diperlukan untuk menjaga eksistensi diri manusia di dunia sesuai dengan naluri-naluri yang diciptakan Allah SWT untuk manusia. Namun apabila hawa nafsu tidak dilawan, tidak dilatih dan tidak dididik sesuai petunjuk Allah SWT, maka manusia akan tersesat sehingga boleh menjadi lebih buruk dari binatang. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Furqan ayat 43-44 yang maksudnya: “Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)”. (TMQ Al-Furqan 25: 43-44)
Untuk mencapai keperibadian Islam, setiap manusia yang beriman hendaklah terus menerus memperbaiki kualiti akalnya dan senantiasa melawan hawa nafsunya. Agar akal manusia dapat berfungsi sesuai dengan tujuan penciptaan manusia maka akal mestilah terus diisi dengan informasi dan ilmu yang bersumber dari kebenaran, iaitu petunjuk dari Allah SWT dan RasulNya. Ilmu-ilmu yang berasal dari dunia juga diperlukan oleh akal selama ilmu tersebut tidak bertentangan dengan petunjuk dari langit. Sementara hawa nafsu perlu senantiasa dididik dan dilatih untuk tunduk kepada pemiliknya yang hakiki iaitu Allah SWT. Nafsu yang sudah tunduk kepada Allah tidak akan mensabotaj akal yang sudah diisi dengan petunjuk Allah sehingga identiti diri sebagai hamba Allah senantiasa terjaga dari bisikan syaitan dan keburukan hawa nafsu manusia.
Jika kita sambungkan konsep Islam dengan konsep nature vs nurture dalam perspektif sekular, maka dapat disimpulkan bahawa walaupun secara fakta keperibadian manusia merupakan kombinasi output dari genetik, akumulasi pengetahuan dan akumulasi pengalaman hidup masing-masing, namun dengan memahami identiti diri sebagai hamba Allah, apapun keadaan keperibadian yang dimiliki seseorang, dia perlu berusaha keras merubah keperibadiannya menjadi keperibadian Islam demi meraih redha Allah SWT.
Keperibadian adalah suatu keadaan yang dinamik dan berubah-ubah. Kerana kualiti akal boleh berubah sementara keadaan hawa nafsu yang sangat condong kepada dunia pun mudah berbolak-balik. Keadaan hati dimana keimanan bersemayam dipengaruhi secara terus oleh keadaan akal dan keadaan hawa nafsu di setiap momen dan episod kehidupan. Untuk melakukan transformasi diri, sangat penting untuk menelaah kembali ideologi dan sistem nilai yang menjadi dasar pemikiran dan perasaan seseorang sehingga boleh diluruskan kembali agar sesuai dengan kerangka Islam.
*Bersambung ke bahagian 3

