Qalbun Salim sebagai Benteng Pertahanan Mental (Bahagian 4 -Terakhir)
Oleh : Fenty Fitriawati, FarEastern Muslimah
Terlepas dari beragam penyebab gangguan mental dari perspektif perubatan dan psikologi klinikal, sebagai makhluk berfikir yang sepenuhnya sedar akan identiti dirinya sebagai hamba Allah, maka kita hendaknya selalu berusaha menempatkan setiap permasalahan hidup dalam kerangka Islam. Bahawa sebagai hamba Allah, standard yang sepatutnya digunakan sebagai tolok ukur dalam menjalani hidup adalah standard pemikiran, standard perasaan dan standard perilaku yang diajarkan oleh Allah dan RasulNya. Sehingga ketika kita menghadapi ujian-ujian hidup hendaknya kita berusaha menganalisa apakah cara kita menyikapi masalah sudah sejalan dengan aturan Islam atau tidak. Ketika yang menjadi fokus adalah keinginan, tuntutan dan harapan dari diri kita sendiri maka kita perlu mewaspadai bahaya terpendam dari dominasi hawa nafsu yang menyebabkan kita tidak lagi menjadikan Allah SWT sebagai fokus dalam kehidupan.
Ketika hawa nafsu sudah mendominasi maka akal tidak mampu berfikir jernih dan hati menjadi kotor. Bagaimana ini boleh berlaku? Secara internal boleh disebabkan oleh keadaan hati yang lemah iman, gangguan akal yang miskin ilmu dan gangguan hawa nafsu yang tidak terdidik, tanpa menafikan adanya faktor perubatan dan psikologi yang berdampak pada kerosakan organ otak manusia. Secara eksternal, persekitaran dimana kita hidup saat ini dengan ideologi sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan telah membuka akses seluas-luasnya bagi manusia untuk memuaskan hawa nafsunya. Keadaan masyarakat yang tidak memposisikan Allah sebagai pemilik kedaulatan, hubungan antara manusia yang berasaskan manfaat, peraturan hidup yang dibuat oleh manusia, ilusi standard kebahagiaan yang semu, kebebasan berekspresi yang tidak terbatas, teknologi dengan kecepatan tinggi, arus informasi yang berlimpah, tekanan hidup dunia moden, sosial media dan berbagai influencer yang dijadikan teladan/ikutan dan kiblat gaya hidup, – semua itu mempengaruhi pemikiran dan perasaan individu yang memberi kesan buruk pada kualiti keperibadian seseorang.
Tanpa memiliki petunjuk yang jelas dan saringan (filter) yang benar, manusia termasuk kaum muslim dengan mudah akan kehilangan tujuan hidup yang hakiki sehingga identiti diri pun semakin kabur dan keperibadian yang dimiliki semakin jauh dari keperibadian Islam. Perlahan-lahan kita temukan semakin banyak muslim di sekeliling kita yang rentan terkena penyakit mental seiring dengan menurunnya kualiti keimanan. Betapa banyak muslim yang mencampuradukkan makna dunia yang semu dengan makna dunia yang sesungguhnya. Di mana dunia yang sepatutnya menjadi sarana menuju kehidupan yang abadi, semakin lama malah semakin dijadikan tujuan hidup. Dunia yang sepatutnya dipegang di tangan, kini malah ditempatkan di hati. Betapa berbahayanya ketika Islam tidak lagi berfungsi sebagai ideologi dalam kehidupan individu dan kehidupan kolektif di mana akidah dan syariat Islam sepatutnya dijadikan pengikat yang memandu pemikiran, perasaan dan perbuatan manusia. Kerosakan ideologi dalam individu dan masyarakat saat ini sangat “massive” seperti sel kanser yang menggigit hati manusia dan perlahan-lahan menumpulkan potensi manusia yang hakiki sebagai hamba Allah SWT.
Jadi bagaimana kita membangun pertahanan mental dalam keadaan dunia yang toksik dan tidak kondusif ini?
Kerosakan mental perlu diatasi secara mendalam dengan menelaah akar permasalahannya. Dengan menggunakan kaca mata Islam, maka boleh disimpulkan bahawa akar masalah dari kerosakan mental adalah kerosakan ideologi, kerosakan cara pandang/perspektif, kerosakan landasan berfikir, kerosakan standard perasaan dan kerosakan peraturan yang dianut dan diterapkan oleh manusia baik di level personal ataupun kolektif. Sesungguhnya manusia diciptakan hanyalah untuk menyembah Allah SWT saja, bukan untuk menyembah dunia, akal atau hawa nafsunya sendiri. Maka sudahkan kita menjadikan Allah SWT senantiasa sebagai satu-satunya fokus dalam kehidupan?
Jika yang menjadi fokus hidup adalah dunia dan diri sendiri, manusia akan selalu merasakan kehampaan hidup kerana hidup yang benar adalah hidup yang sesuai dengan tujuan penciptaan yang hakiki. Manusia tidak akan pernah merasakan kebahagiaan sejati jika hidupnya hanya sekadar mengejar dunia dan memuja hawa nafsunya. Kebahagiaan yang hakiki tidak akan boleh ditemukan di dunia yang semu. Kebahagiaan sejati hanya boleh diperoleh di akhirat nanti ketika syurga menjadi tempat tinggal. Dan agar dapat mencapai kebahagiaan sejati, kita hendaklah menggunakan paradigma yang benar. Bahawa dunia bukanlah syurga, namun dunia adalah jalan perjuangan menuju syurga. Termasuk perjuangan melawan gangguan mental. Bagi siapapun yang diuji dengan penyakit mental teruslah berjuang walaupun terasa berat. Setiap perjuangan yang dilakukan ikhlas kerana Allah akan mengangkat darjat spiritual manusia. Kembalikan semuanya kepada Allah. Sesungguhnya kita hidup untuk Allah maka jalanilah bersama Allah agar yang terasa berat menjadi mudah. Berilah jarak ruang dan waktu agar diri perlahan dapat berproses menjadi hamba Allah yang optimum. Hidup di dunia adalah amanah dari Allah yang selayaknya kita isi dengan amalan yang berguna untuk diri dan lingkungan kita. Bergeraklah di dunia ini sebagai pengemban kebenaran yang diwariskan Rasulullah SAW demi meraih redha Allah SWT.
“Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)” (HR Bukhari no. 52 dan Muslim no. 1599).

