Site icon MuslimahHTM News

[Kaedah-Kaedah Taklid] Definisi Ijtihad

[Kaedah-Kaedah Taklid] Definisi Ijtihad

Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat

 

Secara literal, kata “ijtihaad” merupakan bentuk pecahan dari kata “jaahada”, yang ertinya “badzlu al-wus’iy” (mencurahkan segenap kemampuan).

 

Menurut Imam Al-Amidi, secara literal kata “ijtihad” bermakna, “Istafraagh al-wus’iy fi tahqiiq amr min al-umuur mustalzim li al-kalafat wa al-musyaqqaq” (mencurahkan seluruh kemampuan dalam men-tahqiq (meneliti dan mengkaji) suatu perkara yang menescayakan adanya kesukaran dan kesulitan).

 

Imam Syaukani berpendapat bahawa kata “ijtihad” diambil dari kata al-juhd yang bermakna al- musyaqqah wa al-thaqah (kesukaran dan kemampuan). Ijtihad digunakan secara khusus untuk menggambarkan sesuatu yang membawa konsekuensi kesulitan dan kesukaran (kemampuan paling optimum). Sedangkan suatu usaha yang tidak sampai pada taraf “kesukaran dan kesulitan” (musyaqqah) tidak dinamakan dengan ijtihad.

 

Dalam kitab Al-Mahshuul disebutkan, secara literal, ijtihad bermakna “istafraagh al-wus’iy fi ayy fi’li” (mencurahkan segenap kemampuan pada setiap perbuatan). Untuk itu, kata istafraagh al-wus’iy hanya digunakan pada seseorang yang membawa beban yang sangat berat, tidak bagi orang yang membawa beban yang ringan.

 

Di kalangan ulama usul, ijtihad diistilahkan dengan “istafraagh al-wus’iy fi thalab azh-zhann bi syai’i min ahkaam asy-syar’iyyah ‘ala wajh min an-nafs al-‘ajziy ‘an al-maziid fiih” yakni mencurahkan seluruh kemampuan untuk menggali hukum-hukum syarak dari dalil-dalil zhanni hingga batas dirinya merasa tidak mampu melakukan usaha lebih dari apa yang telah dicurahkannya.”

 

Berdasarkan definisi di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa ijtihad adalah proses menggali hukum syarak dari dalil-dalil yang bersifat zhanni dengan mencurahkan segenap tenaga dan kemampuan hingga dirinya tidak mungkin lagi melakukan usaha lebih dari itu. Walhasil, suatu aktiviti diakui sebagai ijtihad jika memenuhi tiga poin berikut ini:

 

 

Oleh kerana itu, ijtihad tidak berhubungan atau melibatkan dalil-dalil yang bersifat qath’i, tetapi hanya melibatkan dalil-dalil yang bersifat zhanni. Atas dasar itu, ijtihad tidak berlaku pada perkara-perkara akidah mahupun hukum-hukum syarak yang dalalahnya qath’i, misalnya wajibnya potong tangan bagi pencuri, had bagi pezina, bunuh bagi orang-orang yang murtad, dan lain sebagainya.

 

Kedua, ijtihad adalah proses menggali hukum syarak, bukan proses untuk menggali hal-hal yang boleh difahami oleh akal secara langsung (ma’qulat), mahupun perkara-perkara yang dapat diindra (al-mahsusat). Penelitian dan uji cuba di dalam laboratorium hingga menghasilkan sebuah teorema mahupun hipotesis tidak disebut dengan ijtihad.

 

Ketiga, ijtihad hendaklah dilakukan dengan sungguh-sungguh dengan mengerahkan seluruh tenaga dan kemampuan hingga taraf dia tidak mungkin melakukan usaha lebih dari apa yang telah dilakukannya. Seseorang tidak disebut sedang melakukan ijtihad jika dia hanya mencurahkan sebahagian kemampuan dan tenaganya, padahal dia masih mampu melakukan usaha lebih dari yang telah dia lakukan.

 

Ijtihad berbeza dengan tarjih mahupun baths al-masa’il sebab, tarjih adalah aktiviti untuk meneliti, mengkaji, dan menetapkan mana pendapat yang paling rajih (kuat) di antara pendapat-pendapat yang ada. Sedangkan baths al-masail tidak ada bezanya dengan tarjih, walaupun kadang-kadang juga dilakukan pembahasan-pembahasan hukum-hukum tertentu berdasarkan kaedah-kaedah ijtihad. Akan tetapi, aktiviti semacam ini dilakukan secara berkelompok, bukan individual. Sedangkan ijtihad adalah aktiviti individual, bukan aktiviti kelompok. Selain itu, tarjih hanyalah salah satu bahagian dari proses ijtihad. Tarjih bukan satu-satunya proses yang ada di dalam ijtihad, atau identik dengan ijtihad itu sendiri.

 

Hanya saja, kadang-kadang seseorang hanya mampu melakukan ijtihad dalam masalah-masalah tertentu belaka, tetapi dalam masalah yang lain dia tidak mampu melakukan ijtihad di dalamnya. Dari sini kita dapat memahami bahawa untuk disebut mujtahid, seseorang tidak semestinya mampu melakukan ijtihad dalam semua masalah kehidupan (mujtahid mutlak). Jika dia mampu menggali hukum dalam masalah-masalah tertentu, dirinya juga layak disebut sebagai seorang mujtahid (mujtahid fi mas’alah).

 

Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

 

Exit mobile version