Site icon MuslimahHTM News

Arafah dan Khutbah Politik Rasulullah SAW

 [Tapak Tilas] Arafah dan Khutbah Politik Rasulullah SAW

Penulis: Siti Nafidah Anshory, M.Ag.

 

“Wahai umat manusia, dengarkanlah yang akan aku katakan di sini. Mungkin saja setelah tahun ini, aku tidak akan bertemu lagi dengan kalian di tempat ini, untuk selamanya.”

 

Demikian Rasulullah SAW memulakan khutbahnya di Arafah. Sebahagian umat Islam yang hadir berasa hairan. Sementara itu, sebahagian dari  mereka mula terbawa-bawa sehingga ramai di antara mereka tidak dapat menahan air mata.

 

Ketika itu, seluruh mata dan hati kaum muslim tertumpu kepada figura mulia yang berdiri di hadapan mereka. Mereka amat menyintai figura itu, dan pada hari itu mereka bersamanya,jadi mereka menantikan apa yang akan disampaikan seterusnya.

 

Namun begitu, tidak ada sesiapa yang menyangka bahawa khutbah pada hari ke-9 Zulhijjah pada tahun ke-10 H adalah khutbah haji pertama dan terakhir Rasulullah SAW.

 

Haji Akbar, Haji Perpisahan

 

Di dalam buku Sejarah Hidup Muhammad (terjemahan, halaman 547), Muhammad Husain Haekal mengatakan bahawa ketika tersebar berita bahawa Rasulullah SAW telah memutuskan untuk menunaikan haji dan mengajak umat Islam untuk mengambil bahagian, mereka datang dari pelbagai tempat menuju ke Kota Madinah. Suasana ketika itu sungguh meriah kerana lebih seratus ribu orang mendirikan khemah di sekitar kota itu bagi memenuhi seruan Rasulullah SAW yang dikasihi.

 

Hati mereka penuh dengan kegembiraan dan perasaan ukhuwah, seolah-olah sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kemudian pada 25 Zulkaedah tahun ke-10 Hijriah, jemaah bersesak-sesak berangkat menuju ke Mekah. Nabi SAW sendiri berangkat bersama dengan semua isterinya, masing-masing dalam kenderaannya.

 

Diriwayatkan di dalam buku tersebut, para ahli sejarah ada yang menyebut bilangan jemaah 90,000 orang, sebahagian lagi menyebut 114,000 orang. Mereka berangkat dengan keimanan. Hati mereka penuh kemuliaan dan keikhlasan menuju ke Baitullah bagi menunaikan ibadah haji akbar.

 

Setibanya di Dzulhulaifah, Nabi mendirikan khemah hingga lewat tengah malam. Kemudian pada waktu pagi, baginda menyuruh semua jemaah haji memakai pakaian ihram dan berangkat ke Mekah sambil mengucapkan talbiah. Terbayang betapa suka rianya ketika mereka di perjalanan bersama-sama memuji Allah SWT. Dipimpin oleh Rasulullah SAW, mereka serentak mengucapkan kalimah “Labbaika Allahumma labbaika, labbaika laa shariika laka labbaik.” Alhamdulillaah wanni’matu wasy-shukru laka labbaika.”

 

Setelah memasuki Kota Mekah, Rasulullah SAW     dan rombongannya segera menunaikan manasik haji. Bermula dari tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, berdoa di makam Ibrahim, sai antara Safa dan Marwah, dan diikuti dengan tahalul iaitu memerdekakan semua jemaah haji daripada perkara-perkara yang dilarang selama ibadah haji berlangsung yang ditandakan dengan mencukur rambut.

 

Hanya pada 8 Zulhijjah, rombongan jemaah haji bergerak ke Mina dan bermalam di sana. Selesai menunaikan solat Subuh, mereka menuju ke Tanah Arafah dimana jaraknya tujuh kilometer dari kota Mekah untuk berwukuf di sana.

 

Di Arafah, Air Mata Mukmin Mengalir

 

Arafah ketika itu memang tempat yang sangat istimewa. Lebih dari seratus ribu umat Islam berkumpul untuk melakukan wukuf sebagai salah satu ibadah haji bersama Rasulullah SAW. Pada ketika itu, mereka berpeluang mendengar khutbah Haji Wadak yang memberikan kesan yang begitu mendalam kepada mereka sehingga air mata bercucuran.

 

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, dan yang lain mengenai isi kandungan khutbah Rasulullah SAW ketika itu, juga diterangkan oleh Muhammad Husain Haekal dalam kitab yang sama, bahawa apabila Rasulullah SAW mengucapkan kalimat-kalimat tersebut, Rabi’ah RA mengulangi kalimah demi kalimah. Beliau turut meminta orang ramai menjaga kalimat tersebut dengan penuh kesedaran. Rasulullah SAW juga memintanya bertanya kepada mereka, “Hari apakah ini?” Kemudian mereka menjawab, “Hari haji Akbar!” Kemudian Rasul SAW bersabda kepadanya lagi, “Katakan kepada mereka bahawa darah dan harta kamu disucikan oleh Allah, seperti hari ini yang suci, sehingga tiba masanya kamu semua bertemu dengan Tuhan.” Setelah sampai pada kesimpulan sabda baginda, Rasulullah SAW bersabda lagi, “Ya Allah! Sudahkah aku sampaikan?” Kemudian dari segenap penjuru kaum Muslimin menjawab serentak, “Ya!” Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi, “Ya Allah, saksikanlah ini!”

 

Pada Hari Arafah Diisytiharkan Kesempurnaan Islam

 

Ketika Rasulullah SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, baginda turun dari untanya yang bernama Al-Qashwa. Baginda tetap di tempat itu sehingga masuk waktu solat Zuhur dan Asar, kemudian menaiki untanya menuju ke Shakharat.

 

Ketika itu turunlah surah Al-Maidah ayat 3. Kemudian baginda membacakannya kepada kaum muslimin, “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu sebagai agamamu.” [TMQ Al-Maidah(5): 3].

 

Surah ini seolah-olah membingkai kandungan pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah semasa perarakan wukuf. Ketika itu, baginda mengingatkan umat Islam agar sentiasa teguh mempertahankan syiar Islam, bermula daripada perkara akidah sehinggalah kepada hukum-hakamnya. Malah, baginda SAW berpesan kepada umat Islam agar tidak meninggalkan sumber hukumnya iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW agar mereka tidak tersesat selamanya.

 

Saidina Abu Bakar tiba-tiba menangis teresak-esak apabila mendengar ayat itu dibacakan. Ternyata beliau merasakan turunnya ayat ini bukan sahaja menegaskan kesempurnaan syiar Islam, tetapi juga menandakan semakin dekatnya masa baginda kembali ke hadrat Allah SWT.

 

Setelah meninggalkan Arafah, Rasulullah bermalam di Muzdalifah, kemudian paginya turun ke Masyaril Haram, dan terus ke Mina untuk melontar jamrah dan kemudian menuju ke Mekah untuk tawaf perpisahan. Setelah semuanya selesai, beliau kembali ke Madinah dan sangkaan Abu Bakar benar, sekitar tiga bulan selepas itu, baginda SAW wafat menemui Rabbnya.

 

Mengembalikan Semangat Arafah

 

Dalam Tafsir Ibnu Katsir dikatakan apabila ayat ini diturunkan, Saidina Umar turut menangis. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Apa yang membuatmu menangis?” Umar menjawab, “Saya menangis kerana selama ini kita berada dalam proses penambahan agama kita, tetapi jika telah sempurna, tiada yang sempurna melainkan ia akan berkurangan.” Kemudian baginda bersabda, “Engkau betul.”

 

Ya, turunnya Surah Al-Maidah ayat 3 pada Hari Arafah sebenarnya adalah pengisytiharan kesempurnaan risalah Islam. Sementara itu Umar bin Khattab RA menangis mencerminkan keprihatinannya yang besar tentang nasib risalah ini pada masa hadapan.

 

Itulah yang menjadikan para khalifah pengganti Rasulullah SAW dan generasi selepas baginda terus berjuang untuk memastikan agama tidak hilang kesempurnaannya dari generasi ke generasi, institusi penjaga iaitu Khilafah Islam terus ditegakkan, walaupun bukan tanpa kekurangannya. Namun, apabila umat Islam meminum racun sekularisme setelah Khilafah runtuh, kegemilangan mereka lenyap seiring dengan hilangnya kesempurnaan dalam menegakkan syariat Islam.

 

Kebimbangan Umar benar-benar menjadi kenyataan. Risalah Islam yang sempurna semakin tercemar sehingga risalah Islam itu sebatas ibadah ritual semata-mata. Oleh itu, tidak hairanlah detik ibadah haji diteruskan sehingga ke hari ini. Namun jutaan umat Islam yang berkumpul di Arafah ternyata belum mampu menghadirkan semangat Haji Wadak yang diwariskan oleh baginda Rasulullah SAW.

 

Ukhuwah dan kasih sayang kini diikat kukuh dengan semangat kebangsaan. Cinta kepada Nabi hanya terbatas pada lisan sahaja. Mereka tidak berasa sedih dan berdosa apabila syariat yang begitu gigih diperjuangkan oleh Rasulullah SAW itu sebenarnya dicampak begitu sahaja. Malah ada di antara mereka yang beranggapan jika syariat Rasulullah yang sempurna dilaksanakan, keburukan akan menimpa umat.

 

Sesungguhnya jika kita berdiam diri, kita akan termasuk dalam apa yang dikatakan oleh Umar iaitu tanpa disedari menjadi pengkhianat terhadap syariat Islam sehingga syariat ini berkurangan dan hilang kesempurnaannya. Tidak hairanlah Islam kini telah menjadi sesuatu yang asing di kalangan penganutnya sendiri.

 

Cukuplah ayat Allah SWT sebagai sumber keyakinan bahawa syariat Islam adalah syariat yang sempurna dan wajib diperjuangkan. Caranya ialah dengan menegakkan kembali institusi penjaga yang telah dimusnahkan oleh musuh Islam.

Exit mobile version