[Kaedah-Kaedah Taklid] Skop Ijtihad
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Sebagaimana definisi ijtihad dalam tulisan sebelumnya, skop atau lingkungan ijtihad hanya terbatas pada penggalian hukum syarak dari dalil-dalil zhanni. Ijtihad tidak boleh memasuki wilayah yang sudah pasti (qath’i) mahupun masalah-masalah yang boleh diindera dan difahami secara langsung oleh akal.
Di dalam Al-Quran ada ayat-ayat yang jelas penunjukannya (qath’i), ada pula ayat-ayat yang penunjukannya zhanni. Ijtihad tidak boleh dilakukan pada ayat-ayat yang jelas (qath’i) maknanya, misalnya masalah-masalah akidah, kewajipan solat lima waktu, zakat, puasa, haji, dan sebagainya. Perkara-perkara semacam ini bukanlah skop ijtihad sebab masalah-masalah seperti ini sudah sangat jelas dan tidak boleh ada kesalahan di dalamnya. Siapa saja yang salah dalam memersepsi perkara-perkara yang sudah qath’i, maka dia telah terjatuh dalam dosa dan berhak mendapatkan azab di sisi Allah SWT. Sedangkan kesalahan dalam perkara-perkara ijtihadiah (zhanni), tidak akan menjatuhkan pelakunya dalam dosa dan maksiat.
Ijtihad hanya terjadi dan berlaku pada wilayah furu’ (cabang) dan zhanni. Perkara-perkara semacam ini disebut perkara ijtihadiah. Disebut demikian kerana ia masih membuka ruang terjadinya perbezaan interpretasi. Adapun perkara yang melibatkan dalil qath’i tidak boleh disebut sebagai perkara ijtihadiah.
Haramnya memilih ketua/pemimpin negara yang berhaluan sekular dan tidak mendukung penerapan syariat Islam bukanlah perkara ijtihadiah sebab kebatilan dan pertentangan sekularisme dengan Islam adalah perkara qath’i. Kewajipan menerapkan syariat Islam dalam kehidupan masyarakat dan negara juga merupakan perkara yang pasti dan tidak boleh ada perselisihan. Begitu juga kewajipan menegakkan kembali Khilafah Islamiah, merupakan perkara pasti yang tidak boleh ada perbezaan di kalangan muslim.
Sayangnya, sebahagian orang malah menolak penerapan syariat Islam dan penegakan Khilafah Islamiah dengan dalih ijtihad dan ijtihadiah. Mereka menganggap bahawa perbezaan dalam masalah semacam ini masih dalam kategori boleh. Alasannya, masing-masing orang mempunyai ijtihad sendiri-sendiri dan bila hasil ijtihadnya berbeza dianggap sah saja.
Akibatnya, umat tidak dapat membezakan mana pendapat yang telah menyimpang dari syariat Islam dan mana pendapat yang masih terkategori sebagai pendapat islami. Ketika disampaikan bahawa berhukum dengan aturan Allah merupakan kewajipan, dengan remehnya mereka menyatakan, “Itu kan ijtihad anda. Kami mempunyai pendapat dan ijtihad sendiri dalam masalah ini. Jika berbeza dengan anda, anda tetap perlu menghargai pendapat kami dan tidak boleh menyalahkan kami. Bukankah salah dalam ijtihad tidak berdosa?”
Itu semua berlaku kerana umat tidak lagi memahami skop ijtihad, mana yang terkategori perkara ijtihadiah dan mana yang bukan. Akhirnya, umat tidak dapat membezakan pendapat islami dan pendapat yang telah menyimpang dari akidah dan syariat Islam. Ini kerana umat tidak lagi memahami definisi, skop, serta syarat-syarat ijtihad.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

